
Aaron Chia dan Soh Wooi Yik berjaya memberi mata kedua untuk Malaysia dalam perlawanan akhir badminton di Kejohanan Pasukan Badminton Asia (BATC) 2022, hari ini.
Skuad lelaki negara melakar sejarah apabila muncul juara Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) buat kali pertama selepas menundukkan seteru utama, Indonesia 3-0 pada aksi final, hari ini.
Kemenangan itu sekali gus membalas dendam kekalahan kepada Indonesia pada final dua tahun lalu di Manila, Filipina yang menyaksikan skuad negara tewas 1-3.
Pada perlawanan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City itu, jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia seperti diramal memungut mata pertama negara selepas menewaskan Chico Aura Dwi Wardoyo 14-21, 21-12, dan 21-10 dalam tempoh 52 minit.
Juara Seluruh England itu menerima tentangan sengit daripada lawannya itu apabila tewas di set pertama namun bangkit mengatur strategi selepas itu.
Beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pula meraih mata kedua untuk skuad negara selepas mengetepikan gandingan Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin, 17-21, 21-13, dan 21-18.
Seperti Zii Jia, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo itu berdepan cabaran sengit gandingan muda Indonesia tetapi akhirnya meraih kemenangan pada perlawanan yang berlangsung selama 54 minit.
Ng Tze Yong yang turun selaku perseorangan kedua negara muncul wira apabila meraih mata kemenangan.
Tze Yong nyata tidak berdepan masalah menewaskan Ikhsan Rumbay 21-14, 21-15.
Selepas ini skuad negara akan memberi fokus kepada saingan Piala Thomas yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand, Mei depan.