
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.
Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC) memfailkan saman terhadap Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dan kerajaan susulan keputusan mengeluarkan cecair nikotin daripada Akta Racun 1952, lapor MalaysiaNow.
CodeBlue memberitahu MCTC mewakili lebih 40 pertubuhan, Pertubuhan Green Lung Malaysia (MGLA) dan Voice of the Children (VoC).
Badan pemikir kesihatan itu memohon perintah untuk membatalkan keputusan menyahsenarai cecair nikotin sebagai racun berjadual.
Mereka juga memohon penangguhan prosiding atas perintah itu sementara menunggu pendengaran.
Mereka memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 Jun lalu.
Badan itu mendakwa Zaliha melanggar Akta Racun dengan mengetepikan Lembaga Racun berhubung perkara itu dan menyahsenaraikan cecair nikotin bertentangan dengan objektif dasar Kementerian Kesihatan (KKM) sendiri iaitu Generasi Penamat (GEG).
GEG melarang produk tembakau, rokok elektronik dan vape dijual kepada mereka yang lahir bermula 1 Januari 2007.
Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok yang dibentangkan Khairy Jamaluddin sebelum ini masih belum diluluskan di Parlimen.
Menurut CodeBlue, badan pemikir tersebut dalam pemfailan mahkamah menyatakan adalah ‘tidak jelas’ bila RUU itu akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua atau diluluskan.
Mereka mendakwa penyahsenaraian cecair nikotin akan ‘menghalalkan’ mana-mana tahap kandungan nikotin dalam vape dan e-rokok memandangkan kekurangan perundangan mengenai perkara itu, malah perintah yang diwartakan Zaliha serta kuasa untuk berbuat demikian tidak mengikut Perlembagaan.
Mereka juga berkata penyahkawalseliaan cecair nikotin melanggar komitmen antarabangsa Malaysia, memetik Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan Konvensyen Hak Asasi Kanak-kanak.
Zaliha mengumumkan pengecualian itu pada 30 Mac sekali gus berdepan bantahan daripada Persatuan Farmasi Malaysia, Majlis Kawalan Tembakau Malaysia dan Galen Centre.
Industri vape dianggarkan bernilai RM2.49 bilion setakat Februari tahun ini dan dijangka terus berkembang.
Pada 13 Jun lalu, KKM mengumumkan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2022 merekodkan peningkatan dalam vape atau penggunaan rokok elektronik dalam kalangan remaja berumur 13 hingga 17 tahun, daripada 9.8% pada 2017 kepada 14.9% pada 2022.
Ia berkata peningkatan ketara itu turut direkodkan dalam kalangan remaja perempuan daripada 2.8% pada 2017 kepada 6.2% pada 2022.