Najib ada masa 10 hari kemuka notis kepada Mahkamah Persekutuan

Datuk Seri Najib Razak mempunyai tempoh masa selama 10 hari untuk memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan menolak permohonannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara serta denda yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkaitan kes SRC International Berhad (SRC).

Bekas Perdana Menteri Malaysia keenam itu boleh memfailkan notis rayuan sebagaimana diperuntukkan mengikut Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995, yang dibuat secara e-filing.

Berdasarkan arahan amalan Mahkamah Persekutuan 2018, notis usul bagi kes jenayah adalah sebagaimana diperuntukkan dalam Bab 4, Bahagian II Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

Walaupun, pemfailan notis usul dan afidavid dilaksanakan secara e-filing, pihak perayu dikehendaki menyerahkan salinan bercetak ke Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan, mengikut jumlah panel hakim yang akan bersidang.

Arahan itu juga menyatakan, bagi kes rayuan jenayah, pengurusan kes hanya ditetapkan sekiranya Timbalan Pendaftar atau Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Persekutuan berpendapat pengurusan kes adalah perlu.

Sementara itu, Peguam Bela dan Peguam Cara, Datuk Salehuddin Saidin, berkata Najib mempunyai tempoh masa 10 hari untuk memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Persekutuan atas keputusan yang telah dibuat di Mahkamah Rayuan itu.

“Di Mahkamah Persekutuan akan berlaku proses sama, kedua dua pihak (pembelaan dan pendakwaan) akan bentang kes mereka berdasarkan alasan diberikan Mahkamah Rayuan di dalam mengekalkan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi,” katanya memetik laporan Astro Awani.

Beliau juga menjelaskan pihak pembelaan mempunyai peluang untuk mengemukakan keterangan dan bukti baharu seperti mana yang ditolak Mahkamah Rayuan sebelum ini.

“Apa yang boleh saya katakan berdasarkan keputusan Mahkamah Rayuan, proses pentadbiran keadilan negara telah dilaksanakan dengan cara baik berdasarkan konsep ‘Rule of law’.

“Di mana pihak terbabit dalam kes ini telah diberi peluang di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan membentangkan kes mereka bagi memastikan sabitan dan hukuman telah mengambil kira pelbagai perspektif.

“Ini bukan berakhir di sini sahaja, malah ada satu lagi peluang Datuk Seri Najib meneruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan, dan akan dibicarakan di hadapan hakim lebih berpengalaman dan senior untuk meneliti semula segala hujahan kedua-kedua pihak,” katanya.

Mengenai peluang pihak pembelaan membawa keterangan dan bukti baharu itu, Salehuddin berkata ianya bergantung kepada syarat-syarat yang dikenakan Mahkamah Persekutuan ketika prosiding rayuan berlangsung.

Semalam, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu bagi dipertimbangkan dalam rayuan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd dihadapinya.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, yang bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, memutuskan demikian selepas mendapati Najib gagal menunjukkan bukti itu adalah perlu dan tiada keadaan istimewa bagi membolehkan ia diterima oleh mahkamah.

“Kami mendapati bukti tambahan tidak diperlukan untuk rayuan. Tiada keadaan luar biasa atau syarat luar biasa ditunjukkan untuk mahkamah mengambil keterangan tambahan dalam rayuan.

“Permohonan ditolak. Penyampaian keputusan (keputusan rayuan SRC Najib) esok akan diteruskan seperti yang ditetapkan,” kata Abdul Karim.

Mengulas lanjut, Salehuddin berkata pihak pembelaan mempunyai ruang membangkitkan isu berkaitan keterangan baharu jika mereka dapat membuktikan keterangan baharu tidak relevan ketika perbicaraan lalu, dan keterangan ini adalah satu keterangan sahih, relevan dan boleh membangkitkan keraguan munasabah pada pihak pendakwaan.

“Tetapi ini telah ditolak di Mahkamah Rayuan. Tetapi semalam (mahkamah) ada menyatakan mereka boleh cuba membuat permohonan sama di Mahkamah Persekutuan, ini bermakna memberi ruang pihak pembelaan membangkitan isu di sana,” katanya.

Hari ini, panel hakim berkenaan sebulat suara menolak rayuan bekas Presiden UMNO itu untuk mengetepikan tujuh tuduhan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd dan mengekalkan sabitan serta hukuman penjara dan denda dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Mahkamah Rayuan mendapati Datuk Seri Najib Razak diberikan kuasa istimewa dalam SRC kerana peranannya sebagai Perdana Menteri ketika itu.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa dalam pembelaan, tindakannya adalah bagi kepentingan nasional.

“Ini bukan bagi kepentingan nasional seperti didakwa, ini adalah memalukan negara (Nationali embarrassment),” kata Abdul Karim.

Abdul Karim berkata, Mahkamah Rayuan mendapati wang yang dipindahkan dalam akaun Najib adalah hasil daripada aktiviti haram dan perayu mengetahui mengenai kemasukan wang daripada dana SRC dalam akaunnya.

“Kami bersetuju dengan dapatan hakim Mahkamah Tinggi bahawa tuduhan pengubahan haram berjaya dibuktikan melampaui keraguan munasabah.

“Kami mendapati Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dalam mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes pecah amanah jenayah melampaui keraguan munasabah.

“Kami mendapati sabitan Mahkamah Tinggi terhadap semua tuduhan pengubahan wang haram terhadap perayu juga adalah selamat,” katanya.

Najib, 68, memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lalu, yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atasnya selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan, membabitkan RM42 juta dana SRC.

SRC ialah subsidiari kepada syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Najib bagi setiap tuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram (masing-masing tiga tuduhan) serta penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau penjara lima tahun, bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Bagaimanapun, beliau hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun selepas hakim itu memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak.

BERITA BERKAIT
POPULAR