
Tiga sungai di Johor melepasi paras amaran petang ini, 20 Mac 2023.
Jumlah mangsa banjir di Batu Pahat menurun kepada 8,650 orang daripada 2,475 keluarga pada jam 4 petang, berbanding 10,396 orang pada 8 pagi hari ini (20 Mac 2023), berikutan penutupan tiga pusat pemindahan sementara (PPS).
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata PPS ditutup adalah di Dewan Orang Ramai Taman Seri Sulong; Sekolah Kebangsaan Seri Bengkal; dan Sekolah Agama Sri Bengkal.
“Dengan penutupan ini, 47 PPS menempatkan 2,475 keluarga masih beroperasi,” menurut laporan Agensi Pengurusan bencana Negara (NADMA) petang ini.
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan sehingga jam 4.15 petang ini, tiga sungai di Johor melepasi tahap amaran.
Ia membabitkan Sungai Batu Pahat dengan bacaan paras air di stesen Empangan Bekok yang mencecah 19.13 meter (m), berbanding 16.00m paras normal, dan bacaan di stesen Empangan Sembrong (11.13m/8.50m).
Bacaan paras air Sungai Senggarang di stesen Sungai Senggarang di Senggarang, Batu Pahat pula ialah 3.30m, berbanding paras normal 2.70m.