Guan Eng kerap jumpa pemilik syarikat projek terowong, kata saksi

September 23, 2021 · Isu semasa

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, diberitahu bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kerap bertemu pemilik syarikat Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group (CZBUCG), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Bekas Setiausaha Sulit Guan Eng, Farida Hani Yacob, dalam keterangannya berkata, pertemuan dengan Zarul itu sering diadakan di Pejabat Ketua Menteri di Bangunan KOMTAR.

Saksi keenam pendakwaan itu berkata, beliau mula mengenali Zarul sejak media mula melaporkan mengenai projek terowong di Pulau Pinang sebagai pemilik CZBUCG, berdasarkan keadaan pada masa itu serta maklumat pegawai.

“Seingat saya, pertemuan yang disusun membabitkan temu janji antara Zarul dan Guan Eng kurang daripada lima kali.

“Sekiranya Zarul datang ke pejabat Ketua Menteri, beliau akan terus ke bilik mesyuarat atau bilik VIP tanpa melalui bilik saya,” katanya ketika membacakan pernyataan saksi pada perbicaraan kes rasuah Setiausaha Agung DAP itu.

Sementara itu seorang lagi saksi, Pengurus Besar WCT Construction Sdn Bhd, Ooi Bok Thian, 49, berkata walaupun syarikatnya mempunyai pengalaman dalam projek pembinaan terowong dasar laut, namun markah penilaian teknikal dan kewangan bagi projek hanyalah sebanyak 59.

Sebaliknya, Bok Thian, berkata syarikat CZBUCG mendapat markah tertinggi sebanyak 93 bagi keseluruhan penilaian teknikal dan kewangan bagi projek pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut di Pulau Pinang.

“Markah kedua tertinggi ialah China State Construction Engineering Corporation Ltd & VST Cemerlang Sdn Bhd sebanyak 77,” katanya.

Beliau berkata, WCT menjalankan usaha sama dengan Kumpulan Daewoo kerana syarikat itu terbabit dalam projek mega pembinaan terowong dasar laut di Korea Selatan.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan itu didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu.

Guan Eng dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, KOMTAR di sini, pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara di antara enam bulan dan lima tahun serta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Guan Eng turut didakwa atas tuduhan pindaan, iaitu sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan bagi dirinya sendiri, wang berjumlah RM3,300,000 dengan mengambil tindakan, bagi membantu syarikat milik Zarul yang dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6,341,383,702.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR, Georgetown, Pulau Pinang.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa ketika menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang meminta suapan, iaitu balasan berjumlah 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh kelak daripada Zarul sebagai upah bagi melakukan perkara yang dicadangkan, iaitu membantu syarikat milik ahli perniagaan berkenaan dilantik untuk projek sama.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011, di antara 12.30 pagi hingga 2 pagi.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 16 Akta SPRM yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok.

Berita berkaitan
Anwar bantah permohonan ujian poligraf dibuat Yusoff Rawther: Laporan
March 30, 2024· Politik
Saman fitnah: Rayuan Jamal ditolak, perlu bayar RM300 ribu kepada Kok
March 27, 2024· Isu semasa
Selepas Zahid, Isa Samad juga dibebas daripada tuduhan rasuah RM3 juta
March 6, 2024· Politik
Isteri Tun Daim cabar kesahihan pertuduhan SPRM di Mahkamah Tinggi
March 5, 2024· Isu semasa
Popular
BNM dijangka naikkan OPR 25 mata asas lagi bulan depan
October 21, 2022
Kenali pereka kasut, Jimmy Choo
November 6, 2021
Harga roti Gardenia naik 1 Disember
November 25, 2021
Banjir: Tiga beradik maut kena renjatan elektrik di Kelantan
December 19, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok