‘Ekstradisi segera isteri Najib dari Singapura, jangan jadi seperti Sajat’

December 4, 2021 · Isu semasa

Pemuda Armada Nasional Bersatu Malaysia (Armada) menggesa Kerajaan Malaysia mengekstradisi Datin Seri Rosmah Mansor yang berada di Singapura kerana dengan terang-terang telah menghina mahkamah.

Ketua Penerangan Armada Nasional Bersatu, Mohd Ashraf Mustaqim Munir berkata kerajaan juga wajar membatalkan pasport dan merampas wang jaminan isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu.

Pada masa sama beliau memaklumkan satu laporan polis akan dibuat petang ini di Balai Polis Dang Wangi berhubung kegagalan Rosmah untuk hadir pada perbicaraan kesnya di mahkamah.

“Laporan polis akan dibuat untuk menggesakan kerajaan Malaysia mengekstradisi Datin Sri Rosmah Mansor dari Singapura ke Malaysia akibat dari kegagalan beliau menghormati perintah mahkamah sebelumnya dan hadir perbicaraan pada 02hb Disember 2021.

“Mahkamah sebelum ini telah menetapkan untuk memulangkan sementara pasport Rosmah Mansor untuk ke Singapura dengan syarat wajib Rosmah hanya boleh ke Singapura dari 22 Oktober hingga 21 November dan pasport wajib dipulangkan ke mahkamah selewatnya 6 Disember.

“Malangnya Rosmah gagal hadir perbicaraan kesnya kerana masih berada di luar negara. Terang terang beliau telah langgar dan hina perintah mahkamah. Ini satu penghinaan pada sistem keadilan negara. Perasuah jutaan ringgit dilindungi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Isteri Najib itu didapati tidak hadir ketika perbicaraan pada Khamis lalu, berhubung rayuan mengenai keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk membatalkan perbicaraan kes rasuahnya membabitkan projek tenaga solar dan menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pendakwaan dalam kes terbabit.

Mahkamah Tinggi sebelum ini membenarkan isteri Najib itu ke Singapura bagi melawat anak perempuannya Nooryana Najwa dari 22 Oktober dan mesti pulang ke Malaysia pada atau sebelum 21 November 2021.

Disebabkan ketidakhadirannya pada perbicaraan Khamis lalu, Hakim Datuk Hanipah Farikullah yang mengetuai panel tiga hakim menyoal sama ada pihak pembelaan memohon lanjutan masa dari Mahkamah Tinggi berhubung perubahan jadual perjalanan tersebut.

“Perintah Mahkamah Tinggi jelas menunjukkan bahawa perayu (Rosmah) perlu balik ke Malaysia sebelum atau pada 21 November ini dan perlu pulangkan semua pasport pada 6 Disember. Pindaan jadual perjalan ni, ada minta (kebenaran) daripada Mahkamah Tinggi?,” tegas hakim itu.

Soalan sama turut diajukan Hakim Datuk M Gunalan berhubung kebenaran untuk Rosmah meminda jadual pulang ke Malaysia. Turut bersidang ialah Hakim Datuk Hashim Hamzah.

Bagaimanapun, peguam bela Rosmah, Datuk Jagjit Singh dengan mudah menjawab bahawa pihaknya terlepas pandang berhubung perkara tersebut dan memohon agar kes ditangguhkan kepada Isnin ini sambil mengakui bahawa ketidakhadiran anak guamnya itu adalah satu pelanggaran terhadap perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Peguam itu memberi alasan disebabkan rakyat Malaysia lengkap vaksinasi tidak lagi perlu menjalani kuarantin apabila pulang dari Singapura, maka anak guamnya meminda tarikh perjalanan pulang dari 21 November ke 6 Disember ini.

Mahkamah Rayuan bagaimanapun menggunakan budi bicara untuk tidak mengeluarkan waran tangkap terhadap Rosmah.

Isteri Najib itu menghadapi pertuduhan menerima suapan RM5 juta berhubung Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel untuk 369 sekolah di pedalaman Sarawak.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Rosmah didakwa menerima suapan untuk diri sendiri iaitu wang tunai RM5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, 60, melalui Rizal Mansor, 45.

Perbuatan itu sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Nombor 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di sini, pada 20 Disember 2016 dan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 (Akta 694), yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi.

Pada 15 November 2018, isteri Najib itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan meminta suapan RM187.5 juta, iaitu 15 peratus daripada nilai kontrak daripada Saidi.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Lygon Bistro, G-24, Ground Floor, Sunway Putra Mall, 100, Jalan Putra, Chow Kit, antara Mac hingga April 2016.

Dia turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek itu di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, pada 7 September 2017.

Berita berkaitan
Kes saman fitnah Zahid terhadap Muhyiddin selesai secara baik
5 jam lalu· Politik
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024· Isu semasa
Anwar bantah permohonan ujian poligraf dibuat Yusoff Rawther: Laporan
March 30, 2024· Politik
Saman fitnah: Rayuan Jamal ditolak, perlu bayar RM300 ribu kepada Kok
March 27, 2024· Isu semasa
Popular
Skandal LCS: TLDM kalah bertempur sejak awal, kata bekas panglima
August 15, 2022
Bekas ketua hakim negara cemas di kandang saksi, lapor Bernama
April 12, 2021
Kembalikan deria bau
November 9, 2021
MB Perlis cerai isteri talak satu
August 25, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Kesan hapus subsidi, Bank Dunia jangka inflasi Malaysia naik 2.5 peratus
April 1, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok