
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor membidas tuduhan dibuat kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang mengatakan tapak perlombongan haram banyak dikesan di Kedah.
Menurut Sanusi, Fadillah salah faham mengenai maklumat yang disampaikannya pada mesyuarat Majlis Mineral Negara, pagi semalam.
“Ini bukan kategori mendedahkan rahsia sulit negara. Ini satu kewajipan membetulkan salah maklumat yang ditularkan oleh pengerusi mesyuarat dalam sidang akhbar beliau.
“Salah faham YAB TPM2 ialah tentang jumlah lombong haram seluruh negara yang saya sebutkan dalam mesyuarat Majlis Mineral Negara pagi tadi (semalam).
“60 lombong haram yang saya sebutkan itu adalah daripada sumber agensi tertentu yang sampai kepada saya bukan hanya tertumpu di Kedah tetapi di seluruh negara.
“Hal ini diakui benar oleh KSU Kementerian Sumber Asli dan Perubahan Iklim dalam mesyuarat tadi (semalam),” katanya dalam satu hantaran di Facebook, malam tadi.
Fadillah pada sidang medianya semalam memaklumkan 60 tapak lombong haram dikesan di Kedah dan mendakwa maklumat itu disahkan sendiri oleh Sanusi pada mesyuarat tersebut.
Dalam pada itu, Sanusi mengesahkan lombong haram yang mendapat perhatian media sebelum ini sudah pun diambil tindakan.
“Lombong haram di Kedah yang ‘famous’ itu sudah dicekup dan didakwa. Maknanya yang masih beroperasi itu ada di tempat lain, bukan ‘berlambak’ di Kedah.
“Kalau ada betul lombong haram di Kedah, sekalian ‘pakar geologi dan pakar lombong PH-BN’ sudah raya sakan sebelum puasa lagi,” katanya.
Belia sempat meminta agar tidak dicop sebagai mendedahkan rahsia negara kerana hanya mahu memperbetulkan maklumat yang salah dikeluarkan oleh pemimpin nombor dua negara itu.
sekumpulan 40 individu termasuk 35 warga asing didakwa di Mahkamah Sesyen di Baling, Kedah pada 13 April lalu kerana menceroboh Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik.
Media sebelum ini mendedahkan kegiatan mengorek unsur nadir bumi (REE) secara tidak sah di kawasan hutan simpan itu dan 52 lelaki ditahan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) disyaki terbabit aktiviti penerokaan REE secara haram di kawasan Hutan Simpan Bukit Enggang.