
Kedah berada dalam kedudukan negara kedua termiskin di Malaysia meskipun merupakan jelapang padi negara kerana ‘diarah’ untuk menjadi miskin.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa pentadbiran negeri itu sejak dulu tertakluk kepada dasar Persekutuan dalam hal penggunaan tanah yang pada akhirnya menyumbang kepada kadar kemiskinan yang tinggi.
“Kami ada banyak tanah tetapi kami diarahkan untuk menanam padi. Padi adalah tanaman paling murah tetapi tanaman yang terpenting.
“Cukai tanah untuk sawah adalah yang paling rendah. Kira-kira 130,000 hektar diperuntukkan untuk penanaman padi sahaja.
“Kami juga perlu mewartakan lagi hutan untuk tadahan air iaitu lebih daripada 300,000 hektar.
“Oleh itu kami ‘diarahkan’ menjadi miskin,” kata Sanusi, lapor The Star.
Kata Sanusi, Kedah mempunyai hak untuk menentukan masa depannya sendiri.
“Kami orang Kedah mempunyai hak untuk menentukan masa depan sendiri dan kami harus menjadi orang yang menentukan matlamat negeri ini.
“Kita tidak sepatutnya mengikut arahan orang lain tentang apa yang perlu kita lakukan pada tanah kita,” katanya.
Beliau mencadangkan kepada exco Kedah agar 20 peratus daripada tanah yang diperuntukkan untuk penanaman padi iaitu kira-kira 26,000 hektar dibangunkan semula menjadi kawasan perindustrian.
Jelasnya, dengan cara itu tanah terbabit mempunyai nilai lebih tinggi dan berpotensi membawa hasil lebih besar.