
Anggota tentera turut membantu membawa pelajar dan guru ke sekolah.
Seramai 89 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Johor terkandas akibat banjir di negeri itu, dan tidak dapat menduduki peperiksaan berkenaan, hari ini (1 Mac 2023).
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri, Norliza Noh dalam satu kenyataan hari ini, berkata pelajar terbabit terdiri daripada lapan pusat peperiksaan – tujuh di Segamat dan satu di Kulai.
“Sehingga jam 10.30 pagi, 89 calon SPM di Segamat dan Kulai terkandas dan tidak dapat menduduki peperiksaan.
“Ini melibatkan SMK Tenang Stesen, SMK Bandar Putra, SMK Tinggi, SMK Gemereh, SMK LKTP Pemanis, SMK Dato Bentara Dalam, dan SMK Labis di Segamat, serta SMK Taman Putri di Kulai.
“Subjek yang terlibat ialah Sains, Fizik dan Ekonomi Rumah Tangga (SRT).”
Beliau berkata calon lain di Pasir Gudang, Johor Bahru, Kluang, Batu Pahat dan Kota Tinggi turut terjejas akibat banjir menyebabkan mereka terpaksa memulakan peperiksaan lewat atau mengambilnya di pusat lain.
“Seramai 127 calon di Kota Tinggi menduduki peperiksaan di pusat lain. Ini melibatkan SMK Laksamana, SMK Tun Habab, SMK Agama dan SMK Bandar.”
Norliza berkata, pejabat pendidikan daerah sedang memantau keadaan banjir bagi memastikan keselamatan calon di pusat peperiksaan.
Sementara itu, jumlah mangsa banjir di enam daerah di Johor meningkat daripada 2,162 orang setakat 9 pagi kepada 5,878 mangsa pada tengah hari tadi.
Pada masa ini terdapat 1,575 keluarga mendapatkan perlindungan di 54 pusat pemindahan sementara (PPS), meningkat daripada 581 keluarga di 25 pusat sebelum ini di enam daerah.
Jawatankuasa pengurusan bencana negeri dalam satu kenyataan berkata daerah yang dilanda banjir ialah Johor Bahru; Kulai; Kota Tinggi; Kluang; Pontian; dan Segamat.
“Kluang mempunyai jumlah mangsa tertinggi iaitu 1,952 orang daripada 518 keluarga di 10 pusat diikuti Segamat 1,431 mangsa daripada 419 keluarga di 16 PPS,” kata kenyataan itu.
Kota Tinggi mempunyai 1,156 orang daripada 259 keluarga di 13 PPS; Johor Bahru (1,004 mangsa daripada 296 keluarga di sembilan PPS); Kulai (320 orang daripada 80 keluarga, lima PPS); dan Pontian (15 mangsa, tiga keluarga, satu PPS).
“Sungai di Segamat, Kluang, Kulai, Pontian dan Johor Bahru sudah melepasi paras berbahaya.”
Paras air semasa di Sungai Segamat Kecil ialah 38.32m (paras berbahaya 37.30m), Sungai Batu Pahat pada 13.74m (13m) dan Sungai Lenik, Ladang Chaah pada 6.73m (5.50m) – semuanya di Segamat.
Paras air sungai di Kampung Contoh, Kluang adalah pada 15.49m (14.50m), manakala tiga sungai di Kulai juga melebihi paras berbahaya – Sungai Sayong pada 18.93m (18.10m), Sungai Skudai 18.80m (18m) dan Sungai Pontian Besar 12.01m (11m).
Paras air di Sungai Pulai di Pontian kini berada pada 2.85m (2.50m), dan Sungai Skudai di Kampung Laut di Johor Baru pada 5.60m (3m) dan Sungai Skudai di Kampung Pasir, Johor Baru pada 1.05m (1.0m).
“Jalan-jalan di Kluang dan Segamat ditutup kepada semua kenderaan berikutan peningkatan paras air di sepanjang laluan,” tambah kenyataan itu.
Jalan terbabit ialah Jalan Kluang-Mersing (Ladang Greenway) dan Jalan Mohd Salim di Kluang, serta Jalan Bekok dan Kampung Tenang di Segamat.
“Sebuah jalan keluar di Jalan Masai Lama, Johor Bahru juga ditutup kepada semua kenderaan berikutan tanah runtuh di kawasan itu,” katanya.