
Sehingga 25 Februari 2022, seramai 22,947,671 atau 97.5 peratus populasi dewasa telah melengkapkan suntikan vaksin masing-masing, manakala 23,227,035 atau 98.7 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos. - Gambar TNS
Jawatankuasa Akses Jaminan Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) akan menentukan kaedah penggunaan vaksin Pfizer kepada remaja berusia 12 tahun ke atas, minggu ini.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata keputusan itu akan dibuat pada mesyuarat JKJAV yang dipengerusikannya bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.
“JKJAV akan memutuskan kaedah penggunaan vaksin Pfizer untuk golongan remaja berdasarkan nasihat dan syor yang akan dibuat Jawatankuasa Kumpulan Kerja Pakar.
“Segala maklumat lanjut akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media PICK di Putrajaya, hari ini.
Sementara itu beliau berkata, kerajaan juga akan mempertimbang pemberian CanSino – vaksin dos tunggal – kepada pelarian yang berada di negara ini.
Keputusan penggunaan vaksin itu bagi memudahkan dan mempercepat program imunisasi di negara ini selain kesukaran untuk mengenal pasti jumlah sebenar pelarian di negara ini.
“Vaksin CanSino yang akan diperoleh Julai nanti, hanya memerlukan satu dos. Jadi kita akan bagi mereka (pelarian) vaksin berkenaan,” katanya.