
Penduduk Jepun.
Jepun akan membuat pelaburan tambahan sebanyak 3.5 trilion yen (kira-kira US$25 bilion) setiap tahun untuk menangani penurunan kadar kelahiran di negara itu, kata Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida pada Selasa.
“Kadar kelahiran di Jepun mencatat penurunan mendadak menyebabkan populasi berkurangan. Jika kita tidak dapat mengubah arah aliran ini sekarang, ekonomi dan masyarakat kita akan menyusut dan sukar untuk mengekalkan komuniti setempat serta menyediakan jaringan keselamatan sosial, seperti penjagaan kesihatan, pencen dan penjagaan kanak-kanak,” katanya kepada pemberita, menurut Sputnik.
Kabinet Jepun sebelum itu meluluskan pakej yang bertujuan untuk meningkatkan kadar kelahiran di negara itu.
Jepun khususnya mahu mengetepikan had pendapatan isi rumah apabila memperuntukkan elaun untuk kanak-kanak.
Selain itu, elaun bulanan anak akan dinaikkan kepada 30,000 yen untuk anak ketiga dan seterusnya dalam sesebuah keluarga.
Pembayaran juga akan dibuat sehingga penghujung tahun fiskal (31 Mac di Jepun) apabila kanak-kanak itu mencapai umur 18 tahun. Langkah ini akan berkuat kuasa pada Oktober 2024.
Kishida berkata Kabinet berhasrat untuk menampung kos bersalin melalui insurans kesihatan bermula pada tahun fiskal 2026.
Pada masa ini, keluarga yang sedang menunggu kelahiran bayi, perlu membayar sendiri untuk bersalin di institusi perubatan pilihan mereka dan kemudiannya menerima pampasan daripada kerajaan.
Jepun turut merancang untuk membina kira-kira 300,000 kompleks kediaman negeri dalam tempoh 10 tahun akan datang bagi keluarga yang mempunyai anak-anak untuk berpindah atas dasar keutamaan, menurut perdana menteri.
Pakej itu dijangka dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini dan dibentangkan di parlimen pada sesi tetap 2024. Bagaimanapun, potensi sumber pembiayaan masih belum jelas.
Kadar kelahiran di Jepun terus menurun sejak 1973 dengan seramai 2.09 juta kanak-kanak setahun. Pada 2016, bilangan kanak-kanak yang dilahirkan setiap tahun lebih rendah daripada sejuta.
Pada 2022, buat pertama kali sejak 1899, semasa kerajaan Jepun mula memantau kadar kelahiran, kurang daripada 800,000 bayi dilahirkan di negara itu.-Bernama