
Pesawat tempur canggih F-35B Lightning II United Kingdom terhempas di Laut Mediterranean, semalam.
Sebuah pesawat pejuang canggih F-35B Lightning II United Kingdom (UK) yang beroperasi di atas kapal pengangkut HMS Queen Elizabeth (R08) terhempas di Laut Mediterranean, semalam, lapor Kementerian Pertahanan (MoD) UK.
Bagaimanapun, juruterbang pesawat berkenaan terselamat apabila sempat menggunakan kerusi lenting dalam nahas yang berlaku ketika penerbangan rutin harian Laut Mediterranean, kata MoD dalam kenyataan.
“Juruterbang telah selamat dikembalikan ke kapal dan siasatan telah dimulakan, jadi adalah tidak wajar untuk mengulas lanjut pada masa ini,” kata MoD.
Nahas berlaku kira-kira jam 10 pagi waktu London dan tidak ada kapal atau pesawat lain yang terlibat. Sehingga hari ini semua pesawat F-35 UK masih terbang dan tidak dikenakan sekatan, kata jurucakap MoD.
HMS Queen Elizabeth digerakkan dengan sayap udara campuran yang merangkumi Skuadron Pesawat Pejuang Marin 211 ‘Wake Island Avengers’ Amerika Syarikat (AS) dan Skuadron 617 Tentera Udara Diraja Britain (RAF) ‘The Dambusters’.
Jet pejuang canggih berharga kitra-kira AS$115 juta itu digunakan oleh RAF dan Tentera Laut Diraja Britain.
Armada kapal pengangkut itu berada di sekitar Laut Mediterranean setelah bertolak dari UK pada 22 Mei lalu turut mempunyai lapan RAF F35B dan 10 pesawat F-35B Marin
Sehingga kini, UK memiliki 21 F-35B yang ditempatkan di atas dua kapal pengangkut tentera UK.
Kelajuan tertingginya mencapai 1.6 Mach atau 1,200 batu sejam – iaitu 1.6 kali ganda kelajuan bunyi – dan tujahan maksimumnya melebihi 40,000 paun.
Nahas itu adalah yang ketiga membabitkan pesawat F-35B. Tahun laly, pesawat F-35B Marin AS terbabit dalam nahas dengan pesawat KC-130 ketika mengisi minyak di ruang udara California.
Pada 2018, kerosakan talian bahan bakar menyebabkan nahas F-35B berhampiran Pangkalan Udara Maron di Beaufort, AS. Nahas itu menyebabkan semua penggunaan varian F-35 digantung sementara. – Agensi