Aktivis alam sekitar syak naib bupati mati dibunuh atas pesawat

June 14, 2021 · Dunia

Ketika Naib Bupati Kepulauan Sangihe, Helmud Hontong dalam perjalanan pulang dengan menaiki pesawat dari Denpasar, Bali ke Makassar di Sulawesi Selatan minggu lalu, beliau dalam keadaan sihat.

Beliau dilaporkan dalam perjalanan pulang ke gugusan pulau terpencil di wilayah Sulawesi Utara, setelah mengadakan perjumpaan dengan beberapa bupati tempatan lain.

Namun tidak sampai sejam berada dalam penerbangan Lion Air yang dijadual mengambil masa 90 minit itu, Helmud mengadu berasa pening dan hendak pengsan.

Beliau kemudian mula batuk dengan teruk sehingga darah keluar dari mulut dan hidungnya. Helmud, 58 tahun kemudian disahkan meninggal dunia sebaik pesawat itu mendarat di Makassar.

Kejadian itu mencetuskan keributan di Indonesia apabila kumpulan alam sekitar dan suruhanjaya hak asasi manusia menggesa siasatan telus dan terperinci dijalankan terhadap kematian misteri Helmud.

Di media, beberapa pemerhati membuat spekulasi bahawa Helmud mungkin menjadi sasaran pihak tertentu, dengan menggambarkan pola kekerasan yang biasa dialami mereka yang memperjuangkan isu alam sekitar di Indonesia.

Pengarah Amnesty Indonesia Usman Hamid berkata beliau telah menggerakkan aktivis kanan untuk menggesa bedah siasat dilakukan sepenuhnya secara telus.

“Dalam beberapa tahun terakhir, ada peningkatan tahap ancaman terhadap mereka yang bekerja dalam lingkungan isu alam sekitar dan tanah.

“Cara Helmud meninggal dunia mengingatkan saya kepada Munir, rakan aktivis hak asasi manusia yang diracun di dalam pesawat,” kata Usman merujuk kepada Munir Said Thalib.

Munir, salah seorang aktivis hak asasi manusia dan alam sekitar yang terkenal di Indonesia diracun menggunakan bahan arsenik dan meninggal dunia di atas pesawat Garuda yang dalam perjalanan dari Jakarta ke Amsterdam pada 2004.

Bekas juruterbang pesawat Pollycarpus Budihari Priyanto didapati bersalah membunuh Munir pada 2005, namun sejak sabitan kesnya itu dibatalkan, muncul dakwaan bahawa wujud konspirasi pihak tertentu.

Helmud sebelum ini menentang konsesi 42,000 lombong emas yang diberikan kerajaan Indonesia kepada firma PT Tambang Mas Sangihe, yang 70 peratus sahamnya dimiliki firma Kanada, Baru Gold.

Pada 28 April lalu, Helmud menghantar surat kepada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli Indonesia menggesa permit operasi lombong emas itu dibatalkan kerana memusnahkan alam sekitar.

Kabupaten Kepulauan Sangihe, di utara Indonesia dihuni sekitar 140,000 penduduk. Oleh kerana lanskapnya banyak gunung berapi dan pergunungan, tanah di kepulauan itu dikatakan sangat subur dan kawasan ini juga menikmati industri perikanan yang kukuh.

Perlombongan mineral dan arang batu juga merupakan industri yang signifikan di Indonesia dan menurut Biro Perangkaan Nasional Indonesia, ia menyumbang lebih 16 bilion rupiah (AS$1.1 juta) kepada ekonomi pada 2017.

Keadaan itu menyebabkan pertembungan antara agenda mengeksploitasi sumber semula jadi dan risiko bahawa projek yang dijalankan memberi kesan kepada populasi penduduk dan alam sekitar.

Polis Sulawesi Utara berkata berdasarkan hasil ujian toksikologi awal, penyebab kematian Helmud bukan kerana racun seperti yang disangka beberapa pihak, tetapi komplikasi penyakit kronik.

Bagaimanapun, hasil autopsi penuh belum selesai.

Aktivis Greenpeace Indonesia Ariefsyah Nasution pula tidak menafikan usaha untuk menutup mulut penduduk dan aktivis yang menentang kegiatan industri perlombongan atau industri yang mengeksploitasi sumber semula jadi, adalah amalan biasa dan semakin banyak dilakukan oleh syarikat dan sekutu mereka.

Beliau merujuk kepada aktivid anti melombong, Salim Kancil yang dipukul hingga mati di Jawa Timur pada 2015, sambil menyatakan perbuatan dengan cara demikian kerap dilakukan pihak ketiga, menyebabkan bukti untuk mengaitkannya dengan syarikat perlombongan adalah sedikit. – Agensi

Berita berkaitan
Suspek tikam isteri ditahan reman tujuh hari
October 1, 2023· Isu semasa
Kes bunuh: Lelaki tikam isteri sehingga mati serah diri kepada polis
September 30, 2023· Isu semasa
13 warga asing ditahan berhubung siasatan kes bunuh peniaga buah
September 29, 2023· Isu semasa
Bunuh teman wanita: Bekas pemandu bas terlepas hukuman gantung, dipenjara 40 tahun
September 26, 2023· Isu semasa
Popular

Sorry. No data so far.

Lagi Dunia terkini
Mangsa maut gempa bumi di Maghribi cecah 2,800 orang
September 12, 2023 · Dunia
Suhu dunia rekod hari paling panas
July 5, 2023 · Dunia
Gunung Semeru di Indonesia meletus, muntahkan abu
June 22, 2023 · Dunia
Letusan gunung berapi di Filipina punca penduduk jatuh sakit
June 19, 2023 · Dunia
Suhu bumi paling panas direkodkan awal Jun
June 16, 2023 · Dunia
Video / Foto
[VIDEO] Anwar kena tenang tak perlu agresif, Pelangai tetap pilih PN
6 jam lalu
[VIDEO] Malaysia macam negara miskin sejak Anwar Ibrahim jadi PM
8 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok