Sekat kelahiran cara sistematik hapus etnik Muslim Uyghur: Penyelidik

June 7, 2021 · Dunia

Dasar perancang keluarga dikenakan Kerajaan China ke atas etnik Muslim Uyghur dan beberapa suku kaum minoriti yang lain di selatan Xinjiang sejak 20 tahun, mengurangkan di antara 2.6 juta hingga 4.5 juta kelahiran – sepertiga populasi minoriti yang diunjurkan di rantau itu, menurut analisis baharu oleh penyelidik Jerman.

Laporan itu, yang dikongsi secara eksklusif dengan Reuters menjelang penerbitannya, juga menyertakan data penyelidikan yang sebelum ini tidak dilaporkan oleh akademik dan pegawai China mengenai hasrat Beijing di sebalik dasar kawalan kelahiran di Xinjiang, di mana kadar kelahiran turun sebanyak 48.7 peratus antara 2017 dan 2019.

Penyelidikan Adrian Zenz muncul di tengah-tengah gesaan di kalangan sesetengah negara Barat supaya siasatan dijalankan sama ada tindakan China di Xinjiang layak dikategorikan sebagai ‘penghapusan yang disengajakan’ – satu dakwaan yang dibantah Beijing.

Penyelidikan oleh Zenz adalah analisis pertama yang dilakukan mengenai kesan jangka panjang penduduk terhadap tindakan keras Beijing selama bertahun-tahun di wilayah barat China.

Kumpulan hak asasi manusia, penyelidik dan sesetengah penduduk berkata polisi China, termasuk mengehadkan kelahiran bayi Uyghur dan etnik Muslim lain, pemindahan pekerja ke wilayah lain dan ‘latihan paksa’ ke atas sejuta etnik Uyghur dan minoriti lain di beberapa rangkaian kem tahanan.

“Penyelidikan dan analisis ini dengan jelas menunjukkan hasrat di sebalik pelan Kerajaan China terhadap populasi Uyghur,” kata Zenz kepada Reuters.

Kerajaan China belum mengumumkan secara rasmi jumlah sasaran pengurangan populasi masyarakat Uyghur dan etnik minoriti lain di Xinjiang.

Namun, berdasarkan kepada analisis data kelahiran, unjuran demografi dan nisbah etnik yang dicadangkan oleh ahli akademik dan pegawai China, Zenz menganggarkan polisi Beijing itu akan menambah populasi etnik dominan di selatan Xinjiang iaitu kaum Han kepada kira-kira 25 peratus berbanding 8.4 peratus sekarang.

“Matlamat ini hanya dapat dicapai jika mereka melakukan apa yang telah mereka lakukan, yang secara drastik mengurangkan kadar kelahiran Uyghur,” kata Zenz.

Kadar kelahiran etnik Muslim Uyghur di selatan Xinjiang mengalami penurunan susulan polisi tegas Parti Komunis China ke atas etnik minoriti. – Gambar AP

China sebelum ini mendakwa penurunan kadar kelahiran etnik minoriti sekarang disebabkan oleh pelaksanaan sepenuhnya kuota kelahiran di wilayah itu selain faktor pembangunan, termasuk peningkatan pendapatan per kapita dan akses yang lebih luas ke perkhidmatan perancang keluarga.

“Apa yang dikatakan sebagai ‘genosid’ di Xinjiang adalah tidak berasas,” kata Kementerian Luar China dalam kenyataan kepada Reuters.

“Ini adalah manifestasi daripada motif tersembunyi pihak anti-China di Amerika Syarikat (AS) dan Barat,” kata kenyataan itu.

Penyelidikan terbaharu itu membandingkan unjuran populasi dilakukan penyelidik berpangkalan di Xinjiang untuk diserahkan kepada Akademi Sains China berdasarkan data terdahulu, dengan data rasmi kadar kelahiran, serta apa yang Beijing sifatkan sebagai ‘langkah mengoptimumkan penduduk’ etnik minoriti di Xinjiang sejak 2017.

Penyelidikan itu mendapati di bawah dasar pencegahan kelahiran baharu, populasi etnik minoriti Uyghur yang mendominasi selatan Xinjiang akan mencapai 8.6 hingga 10.5 juta menjelang 2040, sedangkan penyelidik China yang menggunakan data lama mengunjurkan 13.14 juta kelahiran.

Zenz, penyelidik bebas di Yayasan Peringatan Korban Komunisme yang tidak berasaskan keuntungan berpangkalan di Washington DC, dikecam oleh Beijing kerana penyelidikannya yang mengkritik polisi China menangkap etnik Muslim Uyghur. pemindahan tenaga kerja dan pengurangan kelahiran di Xinjiang.

Kementerian Luar China juga mendakwa Zenz ‘mengelirukan’ orang ramai menggunakan data dan ‘pembohongannya tidak perlu disangkal’.

Central Asian Survey penerbit jurnal akademik bersetuju menerbitkan penyelidikan Zenz selepas melakukan semakan pada 3 Jun lalu.

Reuters turut berkongsi penyelidikan metodologi dengan puluhan pakar dan penganalisis populasi, dasar menyekat kelahiran dan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa, yang mengatakan bahawa analisis dan kesimpulannya adalah tepat.

Sebilangan pakar mengingatkan bahawa unjuran demografi selama beberapa dekad boleh dipengaruhi oleh faktor yang tidak dijangka. Pemerintah China di Xinjiang belum secara terbuka menetapkan kuota populasi etnik di selatan wilayah itu dan kuota yang digunakan dalam analisis berkenaan adalah berdasarkan cadangan pegawai dan ahli akademik China.

Etnik Uyghur dipenjara jika miliki anak lebih daripada kuota

Langkah mencegah kelahiran di kalangan etnik Uyghur dan minoriti lain sangat berbeza dengan dasar kelahiran China yang lebih luas.

Minggu lalu, Beijing mengumumkan pasangan yang sudah berkahwin boleh memiliki tiga orang anak, naik daripada dua yang ditetapkan sebelum ini. Perubahan polisi terbesar sejak dasar satu anak dimansuhkan pada 2016. Pengumuman itu tidak merujuk secara khusus kepada mana-mana kumpulan etnik.

Sebelum ini, peraturan rasmi mengehadkan etnik majoriti Han dan minoriti termasuk Uyghur hanya boleh mempunyai dua anak – tiga di luar bandar. Bagaimanapun, Uyghur dan etnik minoriti lain secara sejarah dikecualikan daripada had kelahiran sebagai sebahagian daripada dasar pilihan yang dirancang untuk memberi manfaat kepada masyarakat minoriti.

Sesetengah penduduk, penyelidik dan kumpulan hak asasi manusia berkata peraturan baharu sekarang ini memberi kesan ketidakseimbangan terhadap minoriti Muslim yang berdepan penjara jika melebihi kuota kelahiran, berbanding denda jika melakukan kesalahan lain.

Dalam catatan Parti Komunis yang bocor pada tahun 2020, juga dilaporkan oleh Zenz, sebuah kem pemulihan di daerah Karakax di selatan Xinjiang menyenaraikan pelanggaran kuota kelahiran sebagai alasan penahanan 149 individu daripada 484 kesalahan lain. Beijing mendakwa catatan itu ‘palsu’.

Kuota kelahiran untuk etnik minoriti dikuatkuasakan dengan ketat di Xinjiang sejak 2017, termasuk pemisahan pasangan suami isteri, dan penggunaan prosedur pensterilan, peranti kawalan mencegah kehamilan (IUD) dan pengguguran, kata tiga individu Uyghur dengan seorang daripadanya pegawai kesihatan kepada Reuters.

Penyelidikan Zenz juga mendapati kadar kelahiran etnik Uyghur di wilayah Xinjiang turun sehingga 50.1 peratus pada tahun 2019, berbanding 19.7 peratus di wilayah etnik majoriti Han.

Laporan Zenz mengatakan analisis yang diterbitkan oleh akademik dan pegawai China antara tahun 2014 dan 2020 menunjukkan pelaksanaan ketat polisi kelahiran didorong masalah keselamatan nasional, dan hasrat untuk mengurangkan populasi Uyghur, tetapi meningkatkan migrasi Han dan etnik yang setia kepada Parti Komunis.

Sebagai contoh, 15 dokumen yang disediakan oleh ahli akademik dan pegawai China yang ditunjukkan dalam laporan Zenz termasuk komen dari pegawai Xinjiang dan ahli akademik berkaitan, telah merujuk kepada keperluan untuk meningkatkan peratusan penduduk Han dan mengurangkan nisbah Uyghur atau menggambarkan jumlah Muslim Uyghur yang tinggi adalah ancaman terhadap kestabilan sosial.

“Masalah di selatan Xinjiang adalah struktur penduduk yang tidak seimbang … populasi Han terlalu rendah,” kata Timbalan Setiausaha Agung Parti Komunis China di Xinjiang Liu Yilei di satu simposium pada Julai 2020 yang kemudian disiarkan dalam laman sesawang Universiti Xinjiang. Ia kemudian dipetik oleh Zenz ke dalam laporan penyelidikannya.

Demikian juga kenyataan dekan sebuah institut sejarah dan geografi di Universiti Tarim Xinjiang, Liao Zhaoyu pada 2015 yang mengatakan Xinjiang mesti menamatkan dominasi etnik Uyghur, tidak lama sebelum polisi kelahiran dikuatkuasakan.

Langkah penghapusan etnik Uyghur

Zenz dan beberapa pakar lain merujuk kepada Konvensyen 1948 mengenai Pencegahan dan Hukuman Jenayah Pembunuhan Beramai-ramai yang turut menyenaraikan sekatan terhadap kelahiran oleh etnik tertentu adalah satu tindakan yang melayakkan dikategorikan sebagai genosid.

Amerika Syarikat, Britain dan Kanada menyifatkan peraturan sekatan kelahiran dan penahanan besar-besaran oleh China adalah genosid.

Bagaimanapun, tidak ada sebarang tuduhan dan tindakan tegas diambil terhadap China atau pegawai di Xinjiang, kerana kekurangan bukti. Lagi pula China bukan anggota Mahkamah Jenayah Antarabangsa – mahkamah tertinggi yang membicarakan kes genosid dan jenayah serius yang lain. – Reuters

Berita berkaitan
Dengar cerita warga China sertai MM2H layak dapat PR, dakwa MP Masjid Tanah
December 16, 2023· Politik
Bursa dibuka rendah, pasaran lemah
December 7, 2023· Isu semasa
Pengecualian visa 30 hari akan tingkatkan pelancong China: King Sing
December 5, 2023· Isu semasa
PM umum pengecualian visa untuk rakyat China dan India bermula 1 Dis
November 27, 2023· Isu semasa
Popular
Tipu cukai, Shakira berdepan hukuman penjara lebih 8 tahun
July 30, 2022
Penulis ‘The Satanic Verses’ buta sebelah mata, saraf tangan putus
October 24, 2022
Ujian Covid-19 ketika ketibaan di Thailand dimansuh bermula 1 Mei
April 22, 2022
Lagi Dunia terkini
Konflik Gaza: Angka korban mangsa kekejaman Zionis meningkat 14,532 orang
November 23, 2023 · Dunia
Ancaman Israel guna senjata nuklear dikecam negara-negara Arab
November 6, 2023 · Dunia
Israel melakukan jenayah perang, dakwa Menteri Luar Jordan
November 6, 2023 · Dunia
Internet dan telefon tidak dapat diakses di utara Semenanjung Gaza: Laporan
October 30, 2023 · Dunia
Letupan bom dan insiden berbalas tembakan di Tak Bai
October 21, 2023 · Dunia
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok