
Orang ramai terperangkap di dalam sebuah gimnasium di bandar Upi di wilayah Maguindanao, selatan Filipina, pada 28 Oktober 2022. - Gambar AFP
Sekurang-kurangnya 42 orang terbunuh apabila hujan lebat akibat ribut tropika Nalgae menyebabkan banjir separas dada dan mencetuskan tanah runtuh di beberapa wilayah di seluruh Filipina pada Jumaat (28 Oktober 2022).
Semua korban itu setakat ini adalah dari wilayah Maguindanao di pulau wilayah selatan Mindanao, kata Naguib Sinarimbo, jurucakap dan ketua pertahanan awam bagi kerajaan wilayah Bangsamoro.
Sepuluh daripada yang maut adalah dari bandar Datu Blah Sinsuat yang dilanda banjir, manakala penyelamat dengan bot getah membawa 27 lagi mayat di bandar jiran Datu Odin Sinsuat. Lima orang turut ditemui mati di pekan Upi.
Video yang disiarkan oleh penduduk Remar Pablo menunjukkan orang ramai terperangkap di gimnasium perbandaran di bandar Upi selepas air banjir setinggi lutut memasuki premis itu.
Orang ramai, yang menghadiri satu acara di sana sehingga larut malam Jumaat, berlindung di tempat tinggi di gimnasium itu ketika air mula naik.
Di wilayah jiran Cotabato, beberapa kawasan dinaiki air setinggi dada, memaksa orang ramai meninggalkan rumah mereka.
Sinarimbo berkata banjir teruk berkemungkinan menjejaskan lebih 90 peratus kampung dan lebih 67,000 penduduk di Bandar Cotabato.
“Dalam beberapa dekad kami tinggal di sini di Cotabato, ini kali pertama air banjir memasuki rumah saya sendiri. Ia benar-benar teruk,” katanya kepada pemberita. – Agensi