Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menawarkan tujuh tawaran kepada blok pembangkang untuk mengembalikan kestabilan politik negara dan menegaskan tidak akan membiarkan kleptokrat kembali menguasai tampuk kuasa.
Muhyiddin berkata cadangan tersebut bagi memastikan kerajaan sedia ada dapat menumpukan kepada usaha menangani krisis kesihatan negara dan tidak mahu kumpulan kleptokrat yang sedang merancang untuk menjatuhkannya kembali berkuasa.
“Tujuan saya kemukakan cadangan ini ialah untuk membolehkan kerajaan terus berfungsi di waktu pandemik dengan sokongan bi-partisan di Parlimen.
“Pada masa yang sama, saya juga seperti anda semua, mempunyai tanggungjawab untuk tidak membiarkan kumpulan kleptokrat memerintah jika kemelut politik ini tidak diselesaikan segera,” katanya semasa sidang media khas yang disiar secara langsung.
Tawaran pertama adalah memperluaskan bentuk-bentuk bantuan kepada rakyat dalam situasi pandemik, semua Ahli Parlimen akan menerima peruntukan tahunan yang sama tanpa mengira parti politik.
Bagi Ahli Parlimen (MP) pembangkang, peruntukan untuk tahun ini akan dibuat secara prorata mengikut jumlah bulan yang berbaki.
Kedua, bagi mendokong prinsip “Whole of Government” dan “Whole of Society” dalam memerangi pandemik Covid-19, Muhyiddin berkata Menteri Kewangan telah mengadakan libat urus dengan pelbagai pihak termasuk pimpinan parti pembangkang untuk mendapatkan input dan cadangan bagi menambahbaik Pelan Pemulihan Negara.
Sehubungan itu, Kementerian Kewangan telah meneliti dan bersetuju untuk menerima beberapa cadangan dan input yang telah diutarakan.
Mengambil kira cadangan hasil daripada libat urus tersebut, kerajaan akan membentangkan untuk kelulusan Parlimen penambahan siling Dana Covid-19 sebanyak RM45 bilion dari RM65 bilion seperti yang diluluskan oleh Parlimen tahun lalu kepada RM110 bilion.
Tawaran ketiga, sekiranya kerajaan berjaya mendapatkan sokongan bi-partisan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang melebihi majoriti dua pertiga, suatu Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan untuk menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja dan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen.
Keempat, kerajaan juga akan memperkukuhkan reformasi parlimen dengan memastikan jumlah MP Kerajaan dan Pembangkang yang menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen adalah lebih seimbang.
Jumlah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen juga boleh ditambah untuk memastikan semua MP dapat memainkan peranan semak dan imbang yang lebih berkesan menerusi penglibatan mereka dalam jawatankuasa ini.
Sebagai pengiktirafan kepada peranan semak dan imbang di Parlimen, 50 peratus Jawatankuasa Pilihan Khas akan dipengerusikan oleh MP Kerajaan dan 50 peratus lagi oleh MP pembangkang.
Kelima, kerajaan juga bersetuju untuk melaksanakan Undi 18 tanpa menunggu pelaksanaan pendaftaran automatik yang akan mengambil masa.
Keenam rang undang-undang termasuk rang undang-undang perbekalan yang akan dibentangkan di Parlimen akan dirundingi terlebih dahulu dengan semua MP.
Suatu rang undang-undang hanya akan dibentangkan sekiranya mendapat sokongan majoriti MP.
Terakhir, Muhyiddin juga menawarkan pengiktirafan kepada peranan parti pembangkang yang mempunyai jumlah perwakilan yang hampir seimbang di Dewan Rakyat, Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang Menteri Kanan.
Muhyiddin dalam ucapannya juga menjemput semua pimpinan parti politik untuk bersama membincangkan cadangan tersebut dan sekiranya dipersetujui akan memanggil sidang khas untuk membentang usul undi percaya dengan segera.
“Maka, saya dengan penuh takzimnya menjemput semua pimpinan parti politik untuk membincangkan cadangan-cadangan ini pada minggu hadapan.
“Saya akan mengeluarkan jemputan rasmi kepada semua pimpinan parti politik untuk menghadiri perbincangan ini. Saya bersedia untuk mendengar pandangan mereka berhubung cadangan ini.
“Sekiranya cadangan kerjasama bi-partisan ini dipersetujui, saya akan memanggil Sidang Khas Dewan Rakyat untuk membentangkan usul undi percaya kepada Perdana Menteri dalam masa terdekat,” katanya lagi.