Saad Hariri hari ini mengumumkan meletak jawatan Perdana Menteri Lubnan yang dilantik, setelah lebih enam bulan gagal membentuk kerajaan negara itu.
Pengunduran dibuat setelah beliau mengadakan perbincangan dengan Presiden Michel Aoun di Istana Baabda.
“Saya menarik diri dari membentuk kerajaan. Aoun menuntut beberapa pindaan, yang dianggapnya mustahak, dan mengatakan kami tidak akan dapat mencapai persefahaman antara satu sama lain.
“Dan semoga Tuhan menyelamatkan negara ini,” kata Hariri kepada media hari ini.
Penarikan diri Hariri itu menyebabkan mata wang jatuh ke paras terendah kepada 21,000 lira bagi satu dolar Amerika Syarikat (AS).
Media pemerintah Lubnan juga melaporkan bahawa tunjuk perasaan telah menutup beberapa jalan di Beirut, termasuk jalan raya utama, setelah pengumuman itu.
Lubnan tidak mempunyai kerajaan sejak Perdana Menteri sementara, Hassan Diab mengundurkan diri susulan letupan besar di pelabuhan Beirut pada Ogos 2020 yang mengorbankan lebih 200 orang dan mencederakan ribuan yang lain.
Hariri dijangka bercakap mengenai kegagalam pembentukan kerajaan di televisyen hari ini.
Kebuntuan politik berterusan sejak Hariri dilantik semula pada Oktober lalu, walaupun terdapat tekanan diplomatik dari Perancis, Arab Saudi, dan AS. Kesatuan Eropah pula telah mengancam untuk melaksanakan sekatan ke atas pegawai Lubnan.
Pada Rabu, beliau mengemukakan cadangan pembentukan kerajaan dengan 24 menteri, di mana menurut laporan media lapan daripadanya diberikan kepada Aoun, termasuk menteri pertahanan dan menteri luar negara.
Aoun, yang parti politiknya menguasai blok terbesar di Parlimen negara itu, bertentang pendapat dengan Hariri mengenai ukuran dan pengagihan jawatan menteri dalam kerajaan baharu yang bakal dibentuk.
Aoun menuduh cadangan Hariri tidak memiliki perwakilan Kristian dan menolak sistem perkongsian kuasa berdasarkan sektarian di negara ini, sementara Hariri pula menuduh Aoun menginginkan terlalu banyak bahagian dalam pemerintahan.
Setelah mengundurkan diri pada Oktober 2019 berikutan tunjuk perasaan antikerajaan di seluruh negara, Hariri dilantik semula setahun kemudian, memberi jaminan bahawa kerajaan akan melakukan reformasi terhadap sistem ekonomi negara.
Sejak akhir tahun 2019, Lebanon berdepan krisis ekonomi yang mendorong lebih daripada separuh penduduknya menjadi miskin dan menurunkan nilai mata wang tempatan sekitar 90 peratus.
Masyarakat antarabangsa telah mendesak para pegawai Lubnan untuk menyelesaikan perbezaan politik dan sama-sama membentuk pemerintahan yang boleh melakukan reformasi ekonomi. Agensi