Sri Lanka berdepan muflis, mungkir bayar hutang: Agensi penarafan

April 14, 2022 · Dunia

Sri Lanka hampir gagal membayar hutangnya, dua agensi penarafan kredit terbesar dunia memberi amaran tatkala negara Asia Selatan itu mengumumkan penstrukturan semula obligasi hutang luar negaranya.

Agensi penarafan Fitch Rating menurunkan penilaiannya terhadap Sri Lanka sambil berkata “proses kemungkiran hutang telah bermula”.

S&P Global Ratings turut membuat pengumuman sama dan berkata kegagalan membayar balik hutang luar negara itu sudah kelihatan.

Sri Lanka minggu ini memaklumkan menggantung sementara pembayaran balik semua hutang luar negaranya setelah menghadapi krisis ekonomi terburuk dalam tempoh lebih 70 tahun.

Sementara itu, berdepan dengan bantahan besar-besaran berhubung pemotongan bekalan elektrik, kos makanan dan bahan api yang melambung tinggi, pegawai menggesa warga Sri Lanka yang bekerja di luar negara untuk menghantar wang kembali ke negara itu.

“Kami telah kehilangan keupayaan untuk membayar balik hutang asing. Ia telah sampai ke tahap yang membuat pembayaran hutang adalah mencabar dan mustahil,” kata Gabenor Bank Pusat (CBSL), Nandalal Weerasinghe

Pada Isnin depan, Sri Lanka dijadual membuat pembayaran kadar faedah sebanyak AS$78 juta ke atas bon berdaulat antarabangsanya.

Jika pembayaran tidak dibuat dalam tempoh 30 hari, ia akan menandakan kemungkiran pertama negara itu dalam pembayaran hutang asingnya sejak merdeka daripada United Kingdom (UK) pada 1948.

Penarafan terbaru Fitch meletakkan Sri Lanka pada “hampir gagal” membayar hutang dan menunjukkan kapasiti pembayarannya telah terjejas.

“Kami akan menurunkan (penarafan) sebaik sahaja pembayaran pada terbitan terlepas daripada tempoh tamat,” kata firma itu dalam satu kenyataan pada hari Rabu.

S&P berkata ia sedang menunggu butiran lanjut mengenai rancangan penstrukturan semula hutang Sri Lanka, atau pengesahan bahawa kerajaannya gagal membayar pemiutangnya.

“Kami menjangkakan kerajaan akan terlepas membayar kupon ini,” kata S&P dalam nota. Kupon ialah bayaran faedah yang perlu dibayar kepada bon.

Pada Selasa, kerajaan Sri Lanka mengumumkan penangguhan sementara bayaran hutang asing berjumlah AS$35.5 bilion.

Kementerian Kewangannya memberi alasan kesan pandemik Covid-19 dan perang di Ukraine menyebabkan negara itu gagal untuk membayar balik hutang luarnya dalam tempoh ditetapkan.

Negara itu dijangka memulakan perbincangan dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) minggu depan mengenai program pinjaman untuk memulihkan ekonominya.

Sri Lanka menurunkan nilai mata wangnya bulan lalu sebelum perbincangan dengan IMF. – Agensi

Berita berkaitan
Sekarang rakyat cakap balik kepada Tambun, ‘Hang yang tak reti jaga negeri’
March 5, 2024· Politik
Kerajaan sedar tak rakyat sedang tertekan hari ini? soal Senator UMNO
December 13, 2023· Isu semasa
Kejatuhan ‘rating’ Anwar juga disumbang kegagalan Rafizi, kata penganalisis
November 25, 2023· Politik
Anwar sahkan akan hadir ke sidang APEC walaupun digesa boikot
November 7, 2023· Isu semasa
Popular
Bolehkah RUU GEG kekang empayar vape bernilai berbilion ringgit?
December 23, 2022
Lagi Dunia terkini
Konflik Gaza: Angka korban mangsa kekejaman Zionis meningkat 14,532 orang
November 23, 2023 · Dunia
Ancaman Israel guna senjata nuklear dikecam negara-negara Arab
November 6, 2023 · Dunia
Israel melakukan jenayah perang, dakwa Menteri Luar Jordan
November 6, 2023 · Dunia
Internet dan telefon tidak dapat diakses di utara Semenanjung Gaza: Laporan
October 30, 2023 · Dunia
Letupan bom dan insiden berbalas tembakan di Tak Bai
October 21, 2023 · Dunia
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok