Polis sudah mengenal pasti lokasi persembunyian usahawan kosmetik yang diburu sejak beberapa bulan lalu, Nur Sajat, namun Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed enggan mendedahkan lebih lanjut.
Katanya, polis sudah mengetahui lokasi Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruzzaman dan siasatan sedang dijalankan.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan lokasi sebenar kerana dibimbangi akan menganggu siasatan.
“Kita tahu, cuma saya tak boleh dedahkan kerana ia adalah sebahagian daripada siasatan,” katanya pada sidang akhbar yang diadakan secara maya pada Isnin.
Kelmarin polis Ampang Jaya dalam kenyataan memberitahu sedang mencari Nur Sajat bagi membantu siasatan kes penipuan menukar maklumat kad pengenalan.
Sajat adalah saksi yang perlu hadir bagi prosiding perbicaraan kes berkenaan di Mahkamah Ampang Jaya pada 14 Julai ini.
Nur Sajat dikesan beralamat terakhir di No 2, Jalan Polo Country Club Selangor, 10/3 Kota Damansara, Seksyen 10, Petaling Jaya.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun keseksaan kerana menipu.
Media sebelum ini melaporkan, Nur Sajat berkemungkinan berada di luar negara selepas diburu susulan waran tangkap dikeluarkan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 23 Februari lalu kerana gagal hadir pada prosiding kes berpakaian wanita tiga tahun lalu.
Pada 6 Januari lalu, Nur Sajat di Mahkamah Tinggi Syariah atas tuduhan sebagai seorang lelaki berpakaian menyerupai wanita pada 2018 lalu, tetapi mengaku tidak bersalah.