Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang dikeluarkan oleh persatuan sekolah persendirian Cina tidak mematuhi kurikulum kebangsaan yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1996.
Felo Majlis Profesor Negara, Prof Emeritus Dr Teo Kok Seong berkata selain tidak mematuhi penggunaan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama, UEC hanya menggunakan bahasa Cina dan Inggeris.
“UEC juga tidak mematuhi bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama dan kurikulum kebangsaan yang termaktub di bahagian IV, sistem pendidikan kebangsaan dalam Akta Pendidikan 1996.
“UEC hanya menggunakan bahasa Cina dan Inggeris serta silibus China, sebab itu ia diiktiraf di China, Taiwan dan Hong Kong serta beberapa negara asing lain.
“Namun, ia bertentangan secara terang-terangan dengan sistem pendidikan negara kerana mereka tidak guna bahasa Melayu dan kurikulum nasional,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas desakan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) memohon sijil berkenaan dibincang dibincang secara rasional berikutan ia membabitkan isu akademik.
Desakan itu muncul semula setelah Pakatan Harapan (PH) yang turut disertai DAP, serta disokong UMNO, menubuhkan kerajaan Persekutuan setelah didakwa memperoleh sokongan majoriti ahli Parlimen, walaupun pada PRU-15 lalu parti itu tidak dapat membentuk kerajaan sendirian.
DAP juga sebelum ini pernah menuntut supaya UEC diiktiraf.
Dong Zong juga sudi berdialog serta berbincang dengan pelbagai lapisan masyarakat untuk meningkatkan pemahaman mengenai UEC, selain meningkatkan muafakat supaya isu pendidikan dapat didalami secara rasional dan pragmatik.
Untuk rekod padaa 2018 lalu sebuah jawatankuasa telah dibentuk bagi mengkaji UEC yang bukan sahaja melibatkan isu peperiksaan semata-mata, tetapi soal perundangan, integrasi nasional dan masa depan anak-anak bangsa.
Jawatankuasa khas mengkaji UEC itu diketuai anak kepada pakar sejarah, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, Dr Eddin Khoo dan dibantu Timbalan Presiden Dong Zong, Tan Yew Sing serta Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Mohamad Raimi Ab Rahim.
UEC adalah satu silibus sekolah persendirian Cina yang mana sukatan pelajarannya diambil dari Taiwan. Pengiktirafan UEC bercanggah dengan Dasar Pendidikan dan Akta Pendidikan 1996.
Mengulas lanjut, Kok Seong berkata kebanyakan anak-anak Cina ada UEC kerana ibu bapa mereka tidak yakin dengan sistem pendidikan kebangsaan yang dikatakan terlalu Malay-centric (berpaksikan Melayu).
“Mereka pula taksub dengan budaya Cina, jadi mereka mahukan aliran bahasa Cina, sebab itu mereka tidak boleh terima sistem pendidikan lain,” katanya.
Justeru, beliau meminta supaya kerajaan mencari penyelesaian dan menggesa ahli-ahli politik tidak memainkan lagi isu UEC.
“Kerajaan perlu membuat pertimbangan pendidikan bukan pertimbangan politik. Saya percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pun tidak menyokong UEC tetapi beliau dalam keadaan terperangkap.
“Kerajaan perlu tolak terus UEC. Ahli-ahli politik pun tak bolehlah letak manifesto pasal UEC sehingga memberi harapan palsu dan akhirnya menjerat sendiri. Ini dah macam kaduk naik junjung kerana main politik. Kerajaan sepatutnya awal-awal lagi menoktahkan isu ini,” katanya.