Kementerian Kewangan (MoF) berkata RM1.9 bilion wang sebahagian daripada dana berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disita oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) telah dikembalikan kepada Malaysia.
Dalam kenyataan media hari ini, MoF berkata sehingga kini, jumlah Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset (ARTA) di bawah seliaan Jabatan Akauntan Negara telah menerima sebanyak RM16.05 bilion dana yang disita dan dipulangkan yang berkaitan 1MDB.
Jumlah dalam ARTA akan digunakan untuk melunaskan baki hutang 1MDB dan SRC. Setakat ini kerajaan telah melunaskan RM12.4 bilion hutang 1MDB dan RM3.1 bilion hutang SRC, kata MoF.
MoF berkata, baki hutang merangkumi prinsipal dan kupon, keuntungan dan faedah bago bon, sukuk dan pinjaman berjangka adalah sebanyak RM39.8 bilion bagi 1MDB dan RM2.57 bilion (SRC).
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pula berkata, baki semasa akaun amanah itu hanya cukup untuk melunaskan prinsipal dan faedah hutang 1MDB bagi tahun 2021 dan 2022 sahaja.
“Baki ini tidak termasuk jumlah penyelesaian sebanyak RM2.83 bilion yang akan diterima dari Kumpulan Ambank dan RM336 juta dari Deloitte Plt,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan tetap perlu menanggung obligasi bayaran baki hutang 1MDB memandangkan hutang itu adalah disokong oleh kerajaan melalui jamnian kerajaan dan surat sokongan ketika hutang-hutang itu diterbitkan.
MoF juga berkata, usaha pemulihan aset 1MDB dan SRC oleh kerajaan pada masa ini memfokuskan kepada pihak-pihak yang telah menyebabkan kerugian kepada 1MDB dan SRC ketika menjalankan tanggungjawab mereka, sama ada melalui pembabitan secara langsung atau tidak langsung dalam pelbagai operasi dan transaksi 1MDB dan SRC.
“Semua yang terlibat akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas salah laku melalui penglibatan di dalam 1MDB dan, atau SRC,” kata MoF.
Setakat ini beberapa pihak sedang didakwa di mahkamah Malaysia atas tuduhan jenayah membabitkan penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan pecah amanah.
Antara mereka termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang pada 28 Julai tahun lalu dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta setelah didapati bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kedudukan, melibatkan RM42 juta dana SRC International.
Najib turut berdepan beberapa pertuduhan lagi membabitkan dana 1MDB.