
Pelitup muka terpakai yang dibuang merata-rata mungkin telah dicemari Covid-19 dan mendedahkan risiko jangkitan kepada orang lain. - Gambar hiasan
Prosedur operasi standard (SOP), termasuk 10 keperluan dan sembilan garis panduan yang telah biasa diamalkan penduduk Malaysia akan dilaksanakan dalam fasa peralihan endemik bermula 1 April depan, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Sepuluh keperluan itu ialah:
- Memakai pelitup muka di tempat awam;
- Waktu operasi perniagaan mengikut lesen atau permit;
- Menjaga kebersihan tangan;
- Melakukan ujian pengesanan Covid-19 berdasarkan Strategi Pengujian Kebangsaan dan menguruskan kes yang disyaki atau disahkan mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM);
- Menggunakan MySejahtera dan MySJTrace untuk pendaftaran kemasukan;
- Memastikan penjarakan fizikal satu meter
- Memastikan pengudaraan dan sistem ventilasi yang baik;
- Memastikan kebersihan premis: dan
- Mematuhi keperluan vaksinasi untuk aktiviti tertentu.
Hishammuddin dalam kenyataan hari ini berkata satu SOP yang mengandungi 10 keperluan itu telah dipermudahkan daripada 181 SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan ia masih akan dikuatkuasakan mengikut Akta 342 mulai 1 April.
Beliau yang juga Pengerusi Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19 berkata semua peraturan itu penting dalam usaha negara menuju kepada kehidupan normal.
“Kesemua 10 keperluan ini sudah biasa diamalkan oleh orang ramai dalam Fasa PPN. Saya percaya setiap lapisan masyarakat boleh untuk terus melaksanakannya dengan sebaik mungkin,” katanya.
Hishammuddin berkata sembilan garis panduan juga disediakan bagi membantu orang ramai membuat pilihan lebih selamat ketika menjalankan aktiviti harian demi menjaga keselamatan diri, keluarga dan orang sekeliling.
Bagaimanapun, menurutnya sembilan garis panduan itu tidak akan dikuatkuasakan sebaliknya ia akan menjadi panduan yang amat digalakkan untuk dipatuhi supaya rakyat dapat kekal berwaspada dengan risiko jangkitan Covid-19.
Sembilan garis panduan itu merangkumi:
- Pengangkutan dan perjalanan;
- Pendidikan dan penjagaan;
- Aktiviti peruncitan, makanan dan minuman;
- Ruang kerja tertutup;
- Kawasan kerja terbuka;
- Acara, majlis, hiburan dan tarikan pelancong;
- Hotel dan penginapan tetamu;
- Keagamaan, perkahwinan dan pengebumian; dan
- Aktiviti dan fasiliti sukan, rekreasi dan riadah.
“Untuk setiap garis panduan berkenaan, terdapat dua perincian iaitu cara penilaian risiko penularan Covid-19 serta gejala Covid-19 dan cara mengamalkan SOP dengan betul,” katanya.
Sementara itu, Hishammuddin berkata satu laman sesawang sedang dibangunkan dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memudahkan masyarakat memahami dengan lebih lanjut mengenai satu SOP dan sembilan garis panduan tersebut serta Fasa Peralihan ke Endemik secara keseluruhannya.
Beliau berkata laman sesawang itu dijangka dapat diakses dua minggu sebelum 1 April sekali gus membantu masyarakat membuat persiapan sebelum fasa tersebut bermula.