Perikatan Nasional (PN) mengumumkan Datuk Rosol Wahid akan mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), 19 November ini sekaligus menjadi satu-satunya calon Bersatu di Terengganu.
Terengganu memiliki lapan kerusi Parlimen dan rakan gabungan PN, PAS bakal bertanding di tujuh kerusi lagi yang dijangka bakal diumumkan malam ini.
Pada PRU-14, Rosol bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) meraih 30,925 undi dengan majoriti 2,868 undi sementara lawannya, Muhyidin Abdul Rashid (PAS) mendapat 28,057 undi dan Razali Idris (Bersatu) mendapat 3,364 undi.
Kali ini beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dijangka bakal bertembung dengan anak didiknya, Rozi Mamat daripada Barisan Nasional (BN).
Pada PRU lalu, PAS menang enam kerusi Parlimen iaitu Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman manakala BN menawan Besut dan Hulu Terengganu namun selepas Rosol keluar menyertai Bersatu, BN hanya tinggal 1 kerusi di Besut yang disandang Tan Sri Idris Jusoh yang sebelum ini mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi itu.
Ketika mengumumkan pencalonan Rosol di Dewan Besar Majlis Daerah Hulu Terengganu, malam tadi, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan kebimbangan terhadap nasib negara jika rakyat membuat pilihan yan silap pada pilihan raya nanti.
“Saya cukup takut kalau lepas pilihan raya kita berdepan situasi yang tak boleh nak kata apa tetapi kalau nasi sudah menjadi bubur kita nak buat macam mana, jadi sebab itu, pilihan raya ini ialah untuk menyelamatkan negara kita.
“(Untuk pastikan) negara kita ini jangan menjadi sebuah negara yang sudah begitu rosak dan tak boleh dibetulkan lagi dan jatuh ke dalam satu gaung yang cukup dalam yang tak boleh diselamatkan.
“Sekarang masih ada waktu untuk kita selamatkan dan jika nak selamat, tidak lain tidak bukan kita menyeru kepada semua pengundi menyokong PN,” katanya.