Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ahli Parlimen Pagoh
18 Oktober 2023
Tan Sri Yang Dipertua,
1. Pertamanya, saya ingin menzahirkan di Dewan yang mulia ini, solidariti dan sokongan Perikatan Nasional kepada saudara-saudara kita di Palestin yang sedang berjuang untuk mebebaskan tanah air mereka daripada penjajahan regim zionis Israel. Kami mendoakan agar rakyat Palestin akan mencapai cita-cita untuk mewujudkan sebuah negara yang bebas dan merdeka serta mempertahankan hak mereka sebagai bangsa yang bermaruah. Kami mengutuk sekeras-kerasnya keganasan regim Zionis Israel dan kegagalan kuasa besar dunia yang menjadi sekutu Israel untuk menamatkan penindasan berterusan ke atas rakyat Palestin.
2. Pada hari Jumaat yang lalu, Tambun membentangkan Belanjawan 2024. Belanjawan ini diuar-uarkan sebagai yang tertinggi dalam sejarah dengan peruntukan sebanyak RM393.8 bilion. Walau bagaimanapun, jumlah ini sebenarnya adalah lebih rendah daripada perbelanjaan yang disemak semula bagi tahun 2023 iaitu sebanyak RM397.1 bilion.
3. Samada Belanjawan ini tertinggi dalam sejarah atau tidak bukanlah sesuatu yang penting. Secara realistiknya belanjawan mengembang seiring dengan perbelanjaan kerajaan yang meningkat. Apa yang lebih penting ialah bagaimana peruntukan Belanjawan ini disalurkan secara berkesan kepada rakyat dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Pertumbuhan Ekonomi
4. Bagi saya cabaran semasa yang paling getir buat negara ialah untuk mengekalkan ekonomi berdaya tahan dalam tempoh setahun dua ini, dan lebih baik daripada keadaan sebelum pandemik. Menurut Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), pertumbuhan ekonomi global dijangka kekal lemah, iaitu berkembang hanya sekitar 2.7% pada 2024 berbanding 3.0% pada 2023.
5. Malah baru-baru ini, unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia disemak semula oleh Bank Dunia kepada 3.9% berbanding 4.3% bagi tahun 2023. Ini menunjukkan realiti sebenar ekonomi negara yang mana wujud tanda-tanda penguncupan ekonomi di sebalik senario pertumbuhan global yang mencabar.
6. Saya ingin menegaskan bahawa mengambil kira risiko penguncupan ekonomi, Belanjawan 2024 tidak menyatakan apakah langkah-langkah luar biasa yang akan diambil kerajaan bagi memastikan setiap aspek perbelanjaan dibuat secara berhemat di samping memperkukuh kemampuan kewangan negara bagi membiayai perbelanjaan pengurusan dan pembangunan serta membantu rakyat yang sedang menghadapi kesukaran hidup.
7. Dalam menjana sumber pendapatan Kerajaan, YAB Tambun telah mengemukakan beberapa cadangan reformasi cukai seperti meningkatkan Cukai Perkhidmatan daripada 6% kepada 8%, iaitu peningkatan sebanyak 2%, kecuali bagi sektor makanan, minuman dan telekomunikasi. Menurut unjuran Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2024, hasil Cukai Perkhidmatan diunjurkan meningkat daripada RM16.6 bilion kepada RM17.5 bilion.
8. Walaupun Cukai Perkhidmatan dikecualikan untuk tiga sektor yang disebutkan, tetapi oleh kerana ekonomi bergerak dalam rantaian bekalan yang saling berhubung kait, impaknya sudah tentu memberi kesan kepada sektor lain, yang akan meningkatkan kos pengeluaran barangan dan perkhidmatan yang akhirnya terpaksa ditanggung oleh pengguna. Ini bermakna, kenaikan cukai ini pastinya akan meningkatkan beban yang ditanggung oleh rakyat.
9. Selain itu, pelaksanaan Cukai Keuntungan Modal dan Cukai Barang Bernilai Tinggi juga tidak dinyatakan dengan jelas berapa unjuran pulangan hasilnya untuk dijadikan sebagai pendapatan kerajaan yang besar dan terjamin.
Tan Sri Yang Dipertua,
Rasionalisasi Subsidi
10. Belanjawan 2024 juga menyentuh mengenai pelaksanakan rasionalisasi subsidi. Pada tahun hadapan, sebanyak RM52.8 billion disediakan untuk subsidi dan bantuan sosial, iaitu berkurangan daripada RM64.2 billion yang diperuntukkan pada tahun ini.
11. Saya mendengar dari awal hingga akhir ucapan Belanjawan Tambun. Agak malang tidak dijelaskan mekanisme rasionalisasi atau penyasaran subsidi dan bagaimanakah ia hendak dilaksanakan?
12. Misalnya, subsidi petrol. Bagaimana kerajaan hendak menentukan golongan pendapatan manakah yang masih dapat menikmati subsidi dan golongan mana yang tidak lagi menikmatinya apabila langkah rasionalisasi subsidi dilaksanakan? Adakah kerajaan akan menggunakan kategori kumpulan pendapatan B40, M40 dan T20 sebagai asas penentuan atau terdapat formula baharu untuk menentukan siapa yang dapat dan siapa yang tidak dapat menikmati subsidi?
13. Penentuan ini penting kerana tekanan kos sara hidup dirasai oleh semua rakyat tanpa mengira kelas pendapatan. Misalnya, kumpulan isi rumah M40 yang tinggal di bandar besar seperti Kuala Lumpur dengan bilangan anak yang ramai, beban kos sara hidup yang ditanggung oleh keluarga ini mungkin hampir sama dengan mereka daripada kumpulan B40. Apa akan jadi sekiranya kerajaan memutuskan bahawa kumpulan ini tidak lagi layak menikmati subsidi petrol?
14. Kos ulang-alik ke tempat bekerja pastinya akan meningkat. Jika mereka mempunyai anak yang menggunakan pengangkutan bas sekolah, bayaran bulanan bas sekolah juga berkemungkinan akan meningkat sekiranya pengusaha bas sekolah tidak diberikan subsidi bahan api.
15. Selain itu, harga barangan dan perkhidmatan juga pastinya akan meningkat sekiranya para pengusaha dalam industri pengangkutan dan logistik tidak lagi menikmati subsidi bahan api. Harga beras akan naik lagi. Harga ayam, ikan, telur, sayur, susu, tepung dan macam-macam lagi akan naik juga kerana meningkatnya kos pengangkutan.
16. Apapun, perbelanjaan golongan M40 yang tidak boleh disifatkan sebagai golongan berada, pastinya akan meningkat. Masalahnya, golongan ini tidak menikmati sebarang bentuk bantuan daripada kerajaan, malah pendapatan mereka juga dikenakan cukai. Hasil penjimatan daripada pelaksanaan subsidi petrol yang bersasar tidak akan disalurkan kepada mereka untuk membantu meringankan beban kos sara hidup. Kehidupan mereka akan menjadi semakin terbeban.
17. Malah, golongan miskin yang hendak dibantu oleh kerajaan melalui penjimatan subsidi juga akan terbeban dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan. Bantuan yang diberikan oleh kerajaan hasil penjimatan subsidi akan habis dibelanjakan begitu sahaja untuk menampung kenaikan harga barang, tanpa mereka dapat menikmati apa-apa manfaat tambahan daripadanya.
18. Seperkara lagi, bilakah masanya hasil penjimatan subsidi hendak diagihkan kepada rakyat yang layak menerimanya? Adakah dalam masa setahun atau dua tahun lagi? Dalam keadaan mekanisme rasionalisasi subsidi masih belum diputuskan, ia tentunya akan mengambil masa yang agak lama. Saya tidak mahu Tambun memberikan satu lagi harapan palsu kepada rakyat.
19. Tambun juga sering menyebut golongan maha kaya. Siapa golongan maha kaya ini? Adakah ia merujuk kepada konglomerat besar, pemain industri, atau kawan-kawan Tambun? Kalau kawan-kawan Tambun yang maha kaya itu pastilah mereka tidak layak menerima subsidi. Mereka boleh berikan Tambun menggunakan helikopter dan pesawat mewah, sudah tentulah mereka tidak memerlukan subsidi kerajaan.
20. Apabila rasionalisasi subsidi dilaksanakan, apakah langkah kerajaan untuk mengelakkan insiden penyelewengan dan ketirisan? Kalau kita lihat di stesen minyak sebagai contoh, bagaimanakah kerajaan hendak menentukan hanya mereka yang layak sahaja boleh membeli petrol bersubsidi? Sejauh mana penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan cekap di seluruh negara untuk mengelak ketirisan dalam agihan subsidi?
21. Sementara itu, dengan langkah kerajaan menarik balik subsidi harga ayam dan telur melalui pengapungan harga mengikut pasaran, saya bertambah bimbang dengan nasib rakyat. Hasil penjimatan subsidi masih belum dapat dinikmati oleh mereka, subsidi yang sedang mereka nikmati pada masa ini pula ditarik balik.
22. Menurut pandangan pakar-pakar ekonomi, penarikan semula subsidi terutama ketika harga minyak yang sedang tinggi akan menyebabkan kesan gandaan atau ripple effect (dengan izin) terhadap keseluruhan sektor ekonomi.
23. Jadi, saya ingin bertanya kepada kerajaan. Adakah suatu kajian menyeluruh telah dibuat untuk menilai kesan pelaksanaan rasionalisasi subsidi kepada rakyat dan ekonomi negara? Jika ada, apakah dapatan kajian tersebut? Walaupun kita boleh bersetuju rasionalisasi subsidi dilaksanakan untuk memperkukuh kedudukan fiskal kerajaan, namun pelaksanaan langkah tersebut mesti dipastikan tidak menambah beban yang ditanggung oleh rakyat.
24. Mesti ada suatu langkah untuk menampan atau cushion (dengan izin) impak rasionalisasi subsidi, terutamanya subsidi petrol, ke atas rakyat. Justeru, kaedah pemantauan dan penilaian subsidi secara lebih menyeluruh hendaklah diwujudkan bagi menilai keberkesanannya dan memastikan harga barangan di pasaran tidak meningkat secara mendadak apabila langkah ini dilaksanakan.
Tan Sri Yang Dipertua,
Kos Sara Hidup
25. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar inflasi negara kekal pada 2% pada Ogos 2023, iaitu kadar terendah sepanjang tahun 2023. Namun, hakikatnya kita semua tahu rakyat di luar sana masih terbeban dengan peningkatan kos sara hidup yang tinggi. Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mewakili kadar inflasi tersebut hanyalah satu petunjuk pergerakan harga, sedangkan inflasi sebenar adalah kenaikan harga berterusan yang membebankan pengguna.
26. Pada masa ini, pertumbuhan ekonomi masih lemah dengan inflasi teras terutama kos bahan makanan kekal tinggi. Kerajaan seolah-olah cukup selesa dengan kadar inflasi yang berada pada 2% dan mengandaikan trend ini akan terus menurun.
27. Hakikatnya, pelbagai faktor semasa seperti kejutan geopolitik, kedudukan Ringgit serta tekanan harga minyak dunia yang tidak menentu akan meningkatkan risiko inflasi. Peningkatan kadar SST daripada 6% kepada 8% juga akan menyumbang kepada peningkatan harga barang dan perkhidmatan.
28. Ya, betul kerajaan mengecualikan barangan makanan dan minuman daripada kenaikan cukai SST. Tetapi keperluan harian rakyat bukan setakat makan dan minum sahaja. Setiap kali ke pasaraya, di dalam troli mereka itu ada juga bahan pencuci, sabun mandi, shampoo, peralatan dapur, pewangi dan lain-lain. Sekali sekala ada juga alat-alat kosmetik dan pakaian yang tidak terkecuali daripada kenaikan kadar SST. Semua ini tentunya akan memberi kesan langsung kepada peningkatan kos sara hidup rakyat.
29. Saya khuatir kenaikan kadar SST, pelaksanaan rasionalisasi subsidi dan ringgit yang lemah akan menjadi masalah tiga serangkai yang menyebabkan kenaikan harga barang secara mendadak, mengurangkan kuasa beli pengguna dan meningkatkan kos sara hidup rakyat.
30. Pada masa yang sama, pendapatan rakyat tidak meningkat seiring dengan peningkatan kos sara hidup. Setakat ini, kerajaan masih gagal melaksanakan dasar dan model Gaji Progresif seperti yang dijanjikan sebelum ini. Selain itu, sumbangan komponen pampasan pekerja kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar pada kadar 37.5% sebelum pandemik COVID-19 telah menurun kepada 32.4% pada tahun 2022.
31. Ini menunjukkan keadaan isi rumah yang senantiasa tidak mampu menampung kenaikan harga barang dan perkhidmatan. Jadi apakah perancangan khusus kerajaan untuk mencapai sasaran bahagian pampasan pekerja sebanyak 45% daripada KDNK dalam tempoh 10 tahun. Selagi isu pendapatan tidak dapat diselesaikan, maka selagi itulah masalah bebanan kos sara hidup akan berterusan.
Tan Sri Yang Di-Pertua,
Keterjaminan Makanan
32. Daya pengeluaran makanan tempatan di Malaysia menghadapi cabaran serius akibat kadar pengeluaran domestik yang rendah. Ini mengakibatkan negara terpaksa bergantung kepada import bahan makanan dengan kos mencecah RM60 hingga RM70 bilion setiap tahun. Faktor ini mencetuskan kebimbangan terhadap risiko keterjaminan bekalan makanan dan tekanan kenaikan harga yang tidak munasabah di pasaran tempatan.
33. Malangnya, Belanjawan ini tidak memberi tumpuan untuk menyelesaikan isu sebenar keterjaminan bekalan makanan termasuk soal bekalan dan harga secara menyeluruh. Bagaimana hendak meningkatkan pengeluaran beras tempatan supaya mencapai sasaran 70% tahap sara diri beras negara. Para peswah mesti diberikan sokongan dan insentif untuk melipatgandakan hasil pengeluaran padi dengan menambah peruntukan sebanyak RM1 bilion atau RM2 bilion lagi bagi tujuan ini.
34. Selain itu, tindakan kerajaan yang bersifat ad-hoc dalam menangani isu kekurangan bekalan beras tempatan di pasaran hanya memburukkan keadaan. Bahkan agensi-agensi kerajaan juga seolah-olah tenggelam punca apabila tidak mendapat arahan yang jelas daripada kerajaan. Akhirnya FAMA yang tidak ada kena mengena dengan industri beras terpaksa mengedar beras kepada orang ramai.
35. Apa sudah jadi dengan rantaian bekalan beras di pasaran tempatan? Rakyat ingin membeli beras di pasaraya dan kedai runcit bukan beratur panjang semata-mata untuk membeli beras yang dijual oleh FAMA. Cara kerajaan mengurus masalah mesti diperbaiki.
Tan Sri Yang Dipertua,
36. Belanjawan 2024 mengesahkan masalah kekangan fiskal yang dihadapi oleh kerajaan. Subsidi bakal dikurangkan, cukai dinaikkan dan kemampuan kerajaan untuk membantu rakyat menjadi semakin terhad. Tekanan kos sara hidup rakyat juga dijangka akan terus meningkat. Belanjawan ini secara umumnya gagal mengemukakan suatu penyelesaian yang menyeluruh terhadap masalah rakyat yang mendesak.
Terima kasih.