
Kebangkitan rakyat menolak parti tua UMNO.
Pada 11 November 2022, iaitu lapan hari sebelum hari mengundi, saya menulis di FB saya bahawa saya merasakan angin perubahan sedang bertiup kencang di negeri-negeri Malay ‘heartland’, iaitu negeri-negeri yang majoriti besar pengundinya adalah orang Melayu.
Maksud saya, saya sedang merasakan perubahan sikap pengundi Melayu yang ketara menyokong Perikatan Nasional. Ketika saya turun ke Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Pahang, gelombang sokongan Melayu semakin terasa.
Cuma pada ketika itu saya masih belum pasti sekencang mana angin perubahan ini akan bertiup? Adakah ia akan sampai ke Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor?
Dengan angin perubahan ini, berapakah kerusi yang akan dimenangi oleh PN, BN dan PH?
Sebelum kempen pilihan raya bermula, pelbagai ramalan dibuat oleh banyak pihak. Ada yang mengatakan BN akan menang besar. Paling kurang 90 kerusi. Prestasi BN dalam Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor memperkuatkan ramalan ini. Kerana itu BN begitu yakin untuk bergerak solo.
Ada juga yang meramalkan PH akan menang besar. Ini berdasarkan pola sokongan pengundi Cina kepada PH yang dianggarkan mencecah sehingga 90 peratus dan perpecahan undi Melayu kepada tiga parti iaitu PN, BN dan PH, yang diramalkan memberi kelebihan kepada PH.
PH dijangka selamat di 55 kerusi majoriti bukan Melayu dan 30 kerusi campuran di Semenanjung. Jika dicampur kerusi-kerusi boleh menang PH di Sabah dan Sarawak, PH diramalkan boleh menang mudah di sekurang-kurangnya 90 kerusi.
Bagaimana dengan PN? Tidak ramai penganalisis politik yang berani memberikan ramalan positif mengenai pencapaian PN. Ramai yang mengatakan PN akan kalah teruk dan pupus (wiped out) selepas PRU-15.
Sebagai pengkaji politik dan orang PN, saya tentunya berasa lemah semangat dengan komen-komen sebegini. Dalam hati kecil saya, terbit suatu perasaan bahawa mereka ini mungkin membuat ramalan ikut sedap mulut.
Berpandukan siri-siri kajian yang saya terlibat dalam pelaksanaannya sejak dua tahun lalu, saya percaya PN ada peluang. Saya tidak mengatakan PN akan menang besar, tetapi ia tidak akan pupus.
Kenapa saya berkata begitu?
Sebab dalam setiap kajian yang dibuat, saya dapati ada ‘blind spot’ yang sukar diramal.
Saya ingin mengambil sedikit masa untuk menjelaskan ‘blind spot’ dalam kajian-kajian ini.
Terdapat empat kajian nasional yang dilaksanakan sejak tahun 2020 untuk menelusuri sentimen pengundi. Berdasarkan kajian-kajian ini, saya dapati ‘approval rating’ Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi PN, dalam kalangan pengundi Melayu amat tinggi.
Sehingga pada satu masa mencecah 80 peratus. Tidak ada mana-mana tokoh politik yang mencapai tahap kepuasan hati setinggi ini sebelumnya.
Dari segi sokongan kepada parti, semasa PN memerintah, sokongan pengundi Melayu kepada PN dan BN hampir sama iaitu masing-masing sekitar 45 peratus.
Selepas Tan Sri Muhyiddin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan kerajaan tidak lagi diterajui oleh PN, sokongan pengundi Melayu kepada PN menurun kepada sekitar 35 peratus, manakala sokongan kepada BN kekal sekitar 45 peratus (selepas agihan pengundi atas pagar dibuat).
Ini mungkin disebabkan oleh pertentangan antara PN dan BN pada waktu itu semakin ketara dan PN kehilangan sokongan penyokong tegar BN.
Walaupun trend sokongan kepada PN menurun, ‘approval rating’ Tan Sri Muhyiddin dalam kalangan pengundi Melayu masih tinggi dan stabil. Selain itu, saya dapati ada antara 25 peratus hingga 30 peratus pengundi Melayu yang tidak menyatakan sokongan kepada mana-mana parti. Mereka ini diistilahkan sebagai pengundi atas pagar.
Berdasarkan kajian-kajian nasional ini, saya meminta penyelidik membuat simulasi berapa kerusi yang boleh dimenangi oleh PN. Jawapannya amat mendukacitakan. PN diramal boleh menang sekitar 28 kerusi sahaja, iaitu 18 kerusi ‘incumbent’ PAS dan 10 kerusi ‘incumbent’ Bersatu. Saya tidak membuat kajian di Sabah dan Sarawak, jadi tiada ramalan kerusi boleh dibuat untuk kedua-dua negeri ini.
Malah, simulasi yang berdasarkan data yang diambil daripada kajian nasional ini menjangkakan Pagoh pun akan kalah. Saya tidak berpuas hati. Saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan kajian ini. Mungkin cara menganalisisnya tidak tepat.
Langkah seterusnya ialah saya meminta supaya kajian secara spesifik dibuat untuk kerusi-kerusi Parlimen tertentu. Pagoh adalah antara kerusi yang dipilih.
Kajian secara spesifik ini menunjukkan dapatan yang berbeza. Banyak kerusi yang dikatakan kalah hasil simulasi yang berdasarkan data nasional didapati boleh menang melalui kajian spesifik di kerusi-kerusi tertentu.
Pagoh misalnya adalah kerusi boleh menang. Kenapa? Kerana ada faktor lokal yang tidak dapat dikesan melalui kajian nasional.
Pertamanya, faktor calon. Kajian nasional hanya menyatakan pilihan parti, tidak pilihan calon. Ini antara kelemahan utama data kajian nasional yang digunakan untuk meramal keputusan pilihan raya bagi setiap kerusi.
Ketokohan calon seperti Tan Sri Muhyiddin menyebabkan beliau mendapat sokongan melebihi sokongan penyokong parti. Ketika kajian dibuat pada gos, didapati sekurang-kurangnya 30 peratus penyokong UMNO di Pagoh akan beralih mengundi PN jika Tan Sri Muhyiddin diletakkan sebagai calon.
Walaupun ada pihak yang mengatakan Tan Sri Muhyiddin akan kalah di Pagoh, dapatan kajian kami menunjukkan Tan Sri Muhyiddin boleh menang selesa di kerusi tradisinya. Keputusan PRU-15 mengesahkan dapatan ini apabila majoriti undi Tan Sri Muhyiddin meningkat daripada 6,927 pada PRU-14 kepada 10,007 pada PRU-15.
Keduanya, ialah faktor ‘incumbency’. Calon ‘incumbent’ didapati mendapat skor yang lebih tinggi berbanding calon yang tidak dikenali. Dua contoh klasik ialah Masjid Tanah dan Sungai Besar yang masing-masing dimenangi oleh BN dan PH dalam PRU-14.
Walaupun kedua-dua kerusi ini dikira kubu kuat BN dan PH, tetapi penerimaan positif pengundi terhadap Datuk Wira Mas Ermieyati Samsuddin di Masjid Tanah dan Datuk Muslimin Yahya di Sungai Besar membolehkan kedua-kedua kerusi ini dimenangi oleh PN. Pada ketika kajian ini dibuat, gelombang sokongan Melayu kepada PN masih belum ada.
Jadi, walaupun ramai penganalisis politik pada ketika itu meramalkan Bersatu dan PN tidak boleh ‘survive’ dalam pertandingan tiga penjuru dalam PRU-15, saya mengatakan sebaliknya. ‘At least Bersatu will not be totally wiped out’.
Sebelum kempen bermula, tular satu kajian yang dibentangkan di Yale University pada bulan Oktober 2022 yang menunjukkan sokongan Melayu kepada BN sebanyak 37 peratus, PN 14.6 peratus dan PH 10.2 peratus. Ramai penyokong PN cemas dengan dapatan ini.
Saya katakan jangan cemas kerana dua sebab. Pertama, sokongan Melayu kepada BN dalam bulan Ogos berada pada tahap 47 peratus. Pada bulan Oktober telah menurun kepada 37 peratus. Sokongan kepada PH pula stabil pada sekitar 10 peratus.
Kedua, kajian tersebut mendapati 34.9 peratus pengundi Melayu tidak menyatakan pilihan parti. Dapatan ini konsisten dengan kajian-kajian sebelum ini yang mendapati 30 peratus pengundi Melayu tidak menyatakan arah sokongan mereka.
Inilah ‘blind spot’ dalam sentimen pengundi Melayu yang menjadi cabaran besar dalam meramal keputusan PRU-15.
Bagaimana hendak membaca sikap pengundi yang dikategorikan sebagai pengundi atas pagar ini? Adakah mereka menyokong PN, BN atau PH? Lebih menyukarkan, peratusan ‘blind spot’ ini kekal hingga ke hari mengundi.
Pada saya, mereka ini bukan pengundi atas pagar. Mereka telah membuat keputusan, tetapi mereka tidak mahu mendedahkan parti mana yang mereka akan pilih.
Justeru, saya telah meminta penyelidik membuat ‘cross tabulation’ pilihan calon Perdana Menteri dalam kalangan pengundi ‘blind spot’ ini. Dapatan menunjukkan 30 peratus daripada mereka memilih Tan Sri Muhyiddin, 18 peratus memilih Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan 8 peratus memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim. Baki 44 peratus tidak memberikan sebarang jawapan.
Daripada dapatan ini dan trend pengundian pengundi atas pagar sebelum ini, kami meramalkan secara konservatif 55 peratus pengundi atas pagar Melayu akan mengundi PN. Ini bermakna sokongan Melayu kepada PN bukan 14.6 peratus tetapi 33.8 peratus, kurang sedikit daripada BN.
Selain itu, peratusan ini adalah ‘national average’. Melalui kajian-kajian terdahulu kami dapati sokongan pengundi Melayu kepada PN di Malay ‘heartland states’ seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis adalah melebihi ‘national average’ dan mengatasi BN. Bermakna kerusi-kerusi Parlimen di negeri-negeri ini lebih cenderung untuk dimenangi oleh PN.
Jadi, sebelum kempen bermula saya anggarkan PN boleh memenangi maksimum 40 kerusi Parlimen.
Situasi mula berubah apabila kempen bermula. Kajian jejak pengundi kami mendapati sokongan pengundi Melayu kepada PN secara konsisten melebihi BN sepanjang tempoh kempen. Inilah yang saya maksudkan angin sedang bertiup kencang.
Ia bermula dengan 49.5 peratus kepada PN dan 31.3 peratus kepada BN pada hari pertama kempen. Pada hari terakhir kempen, sokongan kepada PN dianggarkan meningkat kepada 55 peratus dan BN menurun kepada 28 peratus.
Populariti Tan Sri Muhyiddin dalam kalangan pengundi Melayu juga meningkat daripada 57 peratus sebelum penamaan calon kepada 70 peratus pada hari terakhir kempen.
Pada ketika ini, masih sukar untuk meramalkan jumlah kerusi yang bakal dimenangi oleh parti-parti kerana faktor pengundi goyah, iaitu ada pengundi BN yang goyah menjadi atas pagar dan ada pengundi atas pagar yang beralih sokongan sama ada kepada PN atau PH dan sebaliknya.
Kesukaran untuk mengenal pasti arah sokongan pengundi goyah inilah yang menyebabkan tidak ada mana-mana pihak yang dapat membuat ramalan tepat mengenai keputusan PRU-15.
Dengan dapatan ini, saya meletakkan sasaran konservatif minimum 40 kerusi untuk dimenangi oleh PN dengan 30 kerusi dikategorikan sebagai 50-50. Saya jangkakan jika angin perubahan sokongan pengundi Melayu kepada PN bertiup kencang hingga ke kawasan ‘Malay belt’ di Pulau Pinang, Perak dan Selangor, PN boleh menang antara 50 hingga 55 kerusi.
Jika angin ini bertiup lebih kencang lagi hingga ke Pahang, Melaka dan Johor, PN boleh menang antara 55 hingga 60 kerusi.
Apabila keputusan PRU-15 diumumkan pada malam 19 November 2022, PN memenangi 71 kerusi Parlimen di Semenanjung, satu di Sarawak dan satu di Sabah.
Selain itu, terdapat empat kerusi Bersatu yang dimenangi atas tiket GRS di Sabah menjadikan jumlah keseluruhan kerusi yang dimenangi oleh PN sebanyak 77 kerusi. PAS memenangi 43 kerusi dan Bersatu (34 kerusi).
Kemenangan ini adalah di luar jangkaan. Dengan jumlah kerusi yang dimenangi ini, dianggarkan sokongan pengundi Melayu kepada PN pada hari mengundi sebenarnya mencecah hampir 60 peratus.
Inilah gelombang pengundi Melayu yang menyebabkan BN gagal memenangi sebarang kerusi di Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Melaka. Kerusi-kerusi majoriti Melayu di negeri-negeri ini hampir disapu bersih oleh PN. Daripada sebuah parti yang dijangka pupus selepas PRU-15, PN khususnya Bersatu dan PAS muncul sebagai parti baharu untuk orang Melayu.
Malangnya, walaupun disokong oleh majoriti orang Melayu, PN menjadi parti pembangkang selepas PRU-15. Inilah kali pertama dalam sejarah negara kita 100 peratus Ahli Parlimen pembangkang adalah Bumiputera.
Manakala di pihak kerajaan, parti Melayu menjadi minoriti. UMNO hanya mempunyai 26 kerusi dalam “Kerajaan Perpaduan” diterajui Pakatan Harapan yang setakat ini mempunyai sokongan 148 Ahli Parlimen, iaitu majoriti 2/3 di Parlimen.
Apakah implikasi keadaan ini kepada kestabilan politik Malaysia apabila parti yang disokong oleh hampir 60 peratus masyarakat majoriti negara ini berada di pihak pembangkang, dan parti yang disokong oleh hanya 12 peratus masyarakat majoriti menerajui kerajaan dengan menguasai majoriti dua pertiga di Parlimen?
Insya-Allah, saya akan ulas isu ini dalam posting yang akan datang.
Datuk Dr Marzuki Mohamad
Bekas Ketua Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri Kelapan.
Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.