Berbincang mengenai topik sensitif khususnya perihal kesihatan bukan perkara mudah bagi golongan lelaki.
Perasaan malu dan suka berahsia mendorong mereka memendam sendirian meskipun kesakitan yang dialami amat memeritkan.
Menurut Pakar Perunding Urologi Gleneagles Kuala Lumpur, Dr. Warren Lo Hwa Loon, penyakit yang kerap dihidapi golongan ini ialah masalah prostat dan erektil atau dikenali sebagai mati pucuk.
“Jika seseorang lelaki pernah menghadapi masalah susah untuk kencing, ataupun kerap ke tandas untuk kencing, terutamanya pada waktu malam.
“Keadaan lebih teruk apabila mengambil jangka masa lama untuk melepaskan air kencing atau terasa seolah-olah baki air kencing terkumpul dalam pundi kencing.
“Setiap petanda tersebut adalah gejala atau tanda awal masalah prostat akan melanda. Golongan lelaki dalam lingkungan umur 50-an ke atas lebih cenderung menghidapi masalah prostat.
“Namun demikian bukan setiap lelaki menghadapi masalah prostat akan mengalami gejala kencing seperti di atas. Terdapat juga segolongan yang tidak mengalami tanda-tanda tersebut,” ujar beliau.
Tambah Dr. Warren, masalah prostat berlaku kepada golongan lelaki yang mengalami ketidakseimbangan hormon apabila mereka menjangkau umur 50-an. Apabila prostat tumbesar dengan kadar yang perlahan, ramai pesakit tidak sedar tumbesaran prostat akan turut menyebabkan saluran kencing bakal tersumbat.
“Ada pesakit yang bergegas ke jabatan kecemasan hospital kerana mereka tidak dapat melepaskan air kencing dengan normal. Sebenarnya pesakit sebegini telah sekian lama mengabaikan tanda-tanda kencing tidak lawas dalam kehidupan harian dan masalah tersebut telah meningkat ke tahap di mana tiub kencing perlu dimasukkan ke dalam saluran pundi kencing untuk melepaskan air kencing.
“Pesakit kerap kali boleh menghadapi masalah jangkitan kuman dalam saluran pundi kencing, pembentukan batu karang dalam saluran pundi kencing dan masalah kerosakan ginjal menjadi bengkak akibat dari takungan air kencing di dalam saluran pundi kencing.
“Yang paling merisaukan adalah risiko kewujudan sel-sel kanser yang mungkin tidak dapat dikesani kerana antara 10 hingga15 peratus daripada pesakit lelaki yang mengalami masalah prostat besar juga berkemungkinan menghidapi kanser prostat,” jelasnya.
Bagi mengenal pasti masalah kanser prostat, beliau memberitahu, ujian darah dikenali ‘Prostate Specific Antigen’ akan dilakukan.
Dr. Warren memberitahu, pesakit perlu menjalani pemeriksaan fizikal untuk menganggar saiz, kepadatan dan kelicinan permukaan prostat.
“Seandainya permukaan prostat bertukar menjadi keras dan ketidakserataan permukaan terbentuk, kemungkinan besar individu tersebut bakal menghidapi risiko kanser prostat adalah lebih tinggi.
“Oleh itu, para pakar kesihatan bertanggungjawab untuk memupuk kesedaran kanser prostat antara golongan lelaki. Melalui kesedaran sebegini, pesakit kanser prostat dapat dirawat pada peringkat awal, dan kes-kes nyata menunjukan ianya boleh sembuh dengan sepenuhnya,” jelasnya.
Selain daripada masalah kelenjar prostat, Dr. Warren berkata, masalah lemah tenaga batin, atau lebih dikenali sebagai “Erectile Dysfunction (ED)” masalah mati pucuk, juga merupakan satu kesulitan yang sering dialami oleh para lelaki moden tidak kira muda atau tua.
“Kebanyakan yang tidak sedar bahawa golongan lelaki muda juga akan menghadapi risiko masalah lemah tenaga batin. Salah satu penyebab utama adalah berpunca daripada masalah mental. Pada kebiasaannya, tekanan mental dari tempat kerja ataupun keluarga adalah faktor utama.
“Punca lain termasuk kerosakan saraf yang berasal dari otak atau saraf tunjang, kesempitan saluran darah, pesakit darah tinggi, kencing manis, masalah kolesterol tinggi dan tabiat merokok. Masalah mati pucuk juga berpunca dari segi penggunaan ubat seperti ubat darah tinggi, ubat sakit mental, ubat sakit jantung atau ubat sawan,” jelasnya.
Selain itu, golongan yang ketagihan pelbagai jenis dadah turut menghadapi masalah yang sama. Terdapat segolongan yang mengalami masalah “andropause” (tahap hormon lelaki yang rendah) juga tidak terlepas daripada masalah mati pucuk.
“Masalah mati pucuk perlu menjalani siasatan teliti, samada dari segi psikologi atau dari segi masalah morbiditi sistemik seseorang pesakit. Selain daripada pemeriksaan fizikal, ujian darah untuk mengenal pasti samada pesakit tersebut menghidapi masalah yang lain seperti kencing manis, kolesterol tinggi ataupun tahap hormon lelaki yang rendah.
“Ramai juga yang menjalani kaunseling terutamanya pesakit yang mengalami tekanan jiwa. Sekiranya masalah masih wujud setelah kaunseling, ubat untuk menguatkan tenaga batin akan diberikan kepada pesakit tersebut. Preskripsi ubat lazimnya adalah untuk golongan pesakit yang mengalami pelbagai masalah kesihatan tersebut,” ujarnya.
Bagi Dr. Warren, masalah prostat dan mati pucuk merupakan masalah yang lazim dihadapi golongan lelaki. Oleh sebab itu, pesakit dinasihatkan supaya berjumpa doktor pakar untuk mendapatkan rawatan serta nasihat yang sewajarnya.
Beliau menasihatkan agar lelaki jangan ‘sorok’ masalah kesihatan mereka. Selain itu, ramai yang hanya bergantung kepada ubat tradisional yang belum dinilai dari segi risiko dan keberkesanan. Pakar kesihatan harus mengambil langkah untuk memupuk kesedaran mengenai masalah ini di kalangan lelaki supaya mereka boleh mendapatkan nasihat serta rawatan profesional yang sewajarnya.
Berita tepat dan menyeluruh.