Tan Sri Muhyiddin Yassin,Presiden Bersatu
24 November 2023
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh dan salam sejahtera.
MUKADIMAH
⦁ Alhamdulillah, pada pagi Sayyidul Ayyam yang barakah ini, kita himpunkan seluruh keluarga besar BERSATU, dari Perlis sampai ke Sabah, untuk menggilap iltizam serta menyemarak semangat perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air tercinta. Perhimpunan Agung Tahunan adalah wahana buat seluruh kepimpinan, perwakilan dan pemerhati menggalang wahdatul fikr dan wahdatul amal, kesatuan pemikiran dan kesatuan tindakan untuk menjana BERSATU sebagai sebuah wadah masa depan negara.
⦁ Kita baru kembali dari medan perang di enam buah negeri dengan kemenangan yang lebih bergaya khususnya sokongan padu di kalangan umat Melayu. Tahun lalu, kita bertempur dalam peperangan yang lebih besar di pentas politik nasional dan berjaya melakar lanskap politik
baharu di Malaysia dengan menawan 74 kerusi Parlimen di bawah panji- panji Perikatan Nasional. Semua pihak mengakui bahawa proses perubahan ini berlaku dengan begitu pantas, mencerminkan bahawa BERSATU dan Perikatan Nasional adalah parti politik abad ke-21.
⦁ Alhamdulillah, tekad dan semangat para ahli dan perwakilan, Armada dan Srikandi, bahkan Srikandi Muda dan sayap Bersekutu, terus membara dan istiqamah menjulang panji-panji BERSATU demi menyemarakkan agenda prihatin rakyat.
⦁ Saya yakin, obor perjuangan ini akan terus diperkukuhkan dalam Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri dengan terpilihnya seramai 31 orang Ahli Parlimen dan 60 orang Ahli Dewan Undangan Negeri dari BERSATU.
⦁ Saya ingin menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh ahli BERSATU, khususnya para perwakilan dan pemerhati sekalian yang telah bertukus lumus, mengerah tenaga dan keringat demi memastikan kemenangan BERSATU dalam Pilihan Raya Umum dan Pilihan Raya Negeri yang lalu. Sesungguhnya, kemenangan ini adalah hasil muafakat yang utuh, komitmen yang jitu dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada parti dan perjuangan yang ikhlas untuk rakyat.
⦁ Saya juga ingin melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada teman sejati perjuangan kita yakni PAS dan GERAKAN yang telah bersama-sama melayari bahtera perjuangan Perikatan Nasional sehingga kita mengecapi kemenangan seperti hari ini.
⦁ Adapun kekuatan yang kita bina selama ini adalah untuk menang dalam pilihan raya, namun perjuangan yang sebenar adalah keikhlasan dalam persahabatan, istiqamah dalam perjuangan, melangkah maju demi perubahan dan tidak berundur walau diasak dengan sogokan. Mari kita hayati kata-kata Churchill :
“In War; Resolution. In Defeat; Defiance.
In Victory; Magnanimity. In Peace; Goodwill”.
IDEALISME PERJUANGAN
Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,
⦁ Idealisme dan jalur besar perjuangan BERSATU bertunjangkan cita-cita untuk memastikan negara ini makmur, demokratik, adil dan saksama serta prihatin rakyat. Keazaman untuk meneruskan cita-cita murni rakyat, iltizam politik dan prinsip perjuangan yang teguh adalah faktor kejayaan kita melakukan perubahan besar lanskap politik negara dengan lonjakan sokongan rakyat dalam Pilihan Raya Umum dan Pilihan Raya Negeri yang lalu.
⦁ Justeru, kita mesti mengambil ruang ini untuk kembali tenang dan bermuhasabah bagi merencana gerak langkah yang lebih strategik dan bersesuaian dengan tuntutan masa untuk terus memperkukuhkan tapak dukungan rakyat.
⦁ Yang pasti, musuh politik tidak akan senang dengan kekuatan kita. BERSATU menjadi sasaran Pakatan Harapan kerana BERSATU adalah saingan utama mereka.
⦁ Jangan gundah-gulana bila kita diserang. Jangan takut dan menikus bila kita menjadi sasaran. Inilah mehnah dan tribulasi apabila kita berpegang teguh dan berakar dengan idealisme perjuangan kita.
Firman Allah SWT dalam Al-Quranَ
ِبََأ ٱ ُ س أَن ْر َ ُوٓا ُ أَن َُوُوٓا َءَاْ وَھُمَ َ ُو نَ ْ ُْ
َدََو َ َ ٱ َذ ِ ن ِنْ ِمَِْ َنَْ َ َ َ ٱ ُ ٱ َذ ِ ن َدَُوا
َنَْ َ َ وَ ٱ َ ِ نَِـٰذ ْ
Yang bermaksud:
Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata : “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya ! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta. (Surah Al-Ankabut, Ayat 2 & 3)
⦁ Jangan ingat semua orang boleh dibeli dan disogok dengan laba. Jangan goyah apabila parti kita ini diuji. Kita diuji kerana kita kuat. Kita
diuji kerana tekad dan keteguhan kita. Kita diuji kerana keikhlasan kita memperjuangkan nasib rakyat.
⦁ Justeru, jangan goyah dengan ujian kerana saat itulah martabat dan harakat kita sedang diangkat untuk kemenangan yang lebih besar pada masa hadapan.
⦁ Jadikan iktibar dan pedoman daripada sirah lima orang Rasul, yakni Nabi Muhammad SAW, Nabi Isa AS, Nabi Ibrahim AS, Nabi Musa AS dan Nabi Nuh AS, yang diangkat martabatnya oleh Allah SWT dengan gelaran Ulul Azmi kerana kecekalan dan ketabahan mereka dalam menghadapi liku-liku serta onak dan duri perjuangan.
⦁ Pada masa yang sama, Mahatma Ghandi juga menukilkan satu pesan bahawa :
“Strength doesn’t come from winning, your struggles develop it. When you go through hardship and decide not to surrender, that is strength.”
PENDIRIAN MENGENAI PALESTIN
Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,
⦁ Abad ke-21 akan menyaksikan perubahan geopolitik terbesar di seluruh dunia. Malaysia tidak boleh lari dari gelombang yang mengheret pelbagai konflik ini. Di dalam negeri, kita bergelut dengan cabaran politik, ekonomi dan moral. Di persada antarabangsa, kita melihat perang di Ukraine yang masih belum selesai. Kita marah dengan
pembunuhan yang terancang oleh Zionis Israel terhadap wanita, bayi, orang awam dan warga tua yang tiada kesudahannya.
⦁ Gaza kini menjadi kubur para syuhada yang mempertahankan kedaulatan tanah air mereka. Genocide di Gaza melihat kegagalan sistem antarabangsa yang lesu menahan serangan Zionis Israel yang secara jelas melanggar hukum antarabangsa dan kemanusiaan. Ini berlaku kerana kemunafikan kuasa-kuasa besar dan sekutunya.
⦁ BERSATU mendesak Kerajaan untuk menyemak semula pendirian ‘two-state solutions’ yang diluluskan pada tahun 1967 tetapi masih gagal diterjemahkan dalam bentuk tindakan bagi mempertahankan kedaulatan umat Palestin di bumi Gaza.
⦁ Sebelum ini Malaysia mengambil pendirian yang tegas dalam menghapuskan rejim Apartheid di Afrika Selatan. Penghapusan Apartheid dilihat sebagai kejayaan besar perjuangan politik abad ke-20.
⦁ Mandela dalam satu ucapan pada tahun 1997, sempena solidariti sedunia bersama perjuangan Palestine menegaskan “… our freedom is incomplete without the freedom of the Palestine.” Beliau menukilkan, “choose peace rather than confrontation. Except in cases where we cannot get, we cannot proceed, when we cannot move forward. Then if the only alternative is violence, we will use violence.”
⦁ PLO mengambil jalan damai melalui Persetujuan Oslo dengan menerima two-state solution, dan mendapat ‘the right to self- determination.’ Namun, Israel tetap berkeras dan mengkhianati perjanjian dan terus menlancarkan agenda Greater Israel.
⦁ Two-state solution tidak menampakkan penyelesaian. Negara Israel yang ditubuhkan pada tahun 1948 di bawah ideologi zionisme merupakan sebuah negara apartheid.
⦁ Jika abad ke-20 membebaskan Afrika Selatan dari cengkaman apartheid, Insya Allah, abad ke 21 adalah giliran Palestine untuk menikmati sebuah negara berdaulat dan merdeka. Umat Islam dan negara Islam mesti bersatu untuk terus berjuang mempertahankan hak rakyat Palestine untuk kekal berada di bumi Gaza dan membina sebuah negara yang berdaulat.
⦁ Semasa berucap di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Perdana Menteri mengutuk Rusia yang dikatakan memulakan perang di Ukraine. Beliau telah menampilkan sikap bermuka-muka dengan kuasa Barat. Apakah beliau tidak sedar bahawa kuasa besar tersebut menjadi punca kepada perang Iraq, Afghanistan dan Libya hingga menyebabkan berjuta nyawa terkorban, ekonomi hancur dan umat menderita.
⦁ Baru-baru ini Menteri Dalam Negeri membuat kenyataan di Parlimen bahawa Perdana Menteri sedang mengusahakan untuk membawa keluar rakyat Palestin dari Gaza. Ramai pihak telah mempersoalkan apakah ini bermaksud Perdana Menteri menyokong agenda Zionis untuk membawa rakyat Palestin keluar dari Gaza? Jika benar, ini merupakan suatu pengkhianatan kepada perjuangan rakyat Palestin.
⦁ Dasar Malaysia mengenai Palestin adalah jelas. Negara kita menyokong perjuangan rakyat Palestin dan mengutuk sekeras-kerasnya
kezaliman dan genocide yang dilakukan oleh rejim Israel. Atas jenayah yang dilakukan, Benjamin Netanyahu mesti dibawa ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa untuk dihukum.
WAWASAN KEMAKMURAN BERSAMA
Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,
⦁ BERSATU dan Perikatan Nasional telah melakar satu gagasan besar untuk Malaysia. Kita mahu membina negara yang lebih gagah, menyuburkan perpaduan dan kestabilan dalam kerangka kepelbagaian bangsa dan budaya. Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 adalah dasar yang digagaskan oleh BERSATU untuk mencapai matlamat ini. Ia mengungkap objektif yang utuh untuk menjamin kestabilan dan keharmonian seluruh rakyat Malaysia. Antaranya ialah menangani jurang ekonomi antara kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan untuk membela dan meningkatkan keupayaan rakyat tanpa tercicir.
⦁ Membangun sebuah ekonomi yang dinamik dan mampan adalah satu kemestian yang bukan sahaja bertunjangkan kemampanan ekonomi dan pembangunan fizikal tetapi turut merangkumi prinsip manusiawi, nilai dan prihatin.
⦁ Wawasan Kemakmuran Bersama adalah dasar yang dapat menangani perihal peningkatan populasi masyarakat Melayu dan pribumi yang pastinya menuntut Kerajaan untuk melaksanakan tindakan affirmative berdasarkan prinsip kesaksamaan keberhasilan (equitability of outcomes).
⦁ Keadilan sosial dan pengagihan kekayaan yang saksama merupakan prasyarat yang signifikan kepada kestabilan. BERSATU komited kepada agenda kestabilan yang berteraskan keadilan sosial. Menerusi wawasan ini, semua rakyat akan dapat menikmati taraf kehidupan yang wajar (decent standard of living).
⦁ BERSATU juga percaya bahawa pengagihan kekayaan yang adil hanya akan dapat dicapai dalam situasi ekonomi yang berkembang pesat dan berdaya maju. Jika ekonomi tidak berkembang, tidak ada apa yang boleh diagihkan kepada rakyat. Kerana itu, WKB 2030 mempunyai perancangan yang komprehensif untuk membangunkan sektor-sektor ekonomi baharu untuk menjana pertumbuhan ekonomi negara yang lebih pesat.
⦁ Di bawah pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional, Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 telah dijajarkan dengan Rancangan Malaysia Ke-12. Malangnya, apabila Pakatan Harapan memerintah, dasar ini tidak lagi dilaksanakan oleh mereka.
⦁ Sebaliknya, PH memperkenalkan kerangka Ekonomi Madani yang tidak mempunyai sasaran yang jelas dalam suatu tempoh yang tertentu mengenai pertumbuhan ekonomi negara dan pengagihan kekayaan yang adil dan saksama untuk semua rakyat. Malah, Ekonomi Madani gagal mengemukakan satu komitmen yang jitu untuk membangunkan masyarakat Bumiputera.
KEDUDUKAN EKONOMI SEMASA
⦁ Sehingga hari ini, Pakatan Harapan masih gagal membuktikan bahawa mereka mempunyai perancangan pembangunan ekonomi yang tuntas untuk negara. Proses pemulihan ekonomi masih perlahan walaupun ancaman COVID-19 telah berakhir dan semua sektor ekonomi telah dibuka.
⦁ Sepatutnya, dengan berakhirnya COVID-19 dan pembukaan ekonomi dunia, Malaysia segera mengambil peluang untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi negara. Sebaliknya, pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka menyusut kepada 3.9 peratus pada tahun ini berbanding unjuran 4.3 peratus pada bulan April. Jumlah pelaburan langsung asing (FDI) juga merudum sebanyak 60%, iaitu dari RM55.4 bilion bagi tempoh 9 bulan pertama tahun 2022 ke RM22.3 bilion bagi tempoh yang sama tahun ini.
⦁ Ini suatu kegagalan besar yang memperlihatkan kelemahan kerajaan mengurus ekonomi negara. Ramai pakar ekonomi yang berpandangan sekiranya keadaan ini berterusan, kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim ini akan menemui jalan buntu untuk memulihkan ekonomi negara.
⦁ Masalah kos sara hidup rakyat juga gagal ditangani oleh kerajaan. Dalam keadaan rakyat merungut tentang harga barangan keperluan harian yang semakin mahal, kerajaan akan melaksanakan rasionalisasi subsidi dan kenaikan cukai SST bermula tahun hadapan yang pastinya akan menambah beban rakyat.
⦁ Masalahnya, sehingga hari ini tidak dijelaskan mekanisme rasionalisasi subsidi. Siapa yang masih layak menerima subsidi? Siapa yang tidak layak? Apa bentuk sistem yang akan digunapakai? Apabila subsidi ditarik balik, adakah wang darpada penjimatan subsidi akan disalurkan terus kepada mereka yang layak menerimanya? Berapa jumlah penerimanya? Berapa billion wang yang akan disalurkan kepada penerima? Atau adakah penjimatan daripada subsidi akan digunakan untuk tujuan lain seperti melangsai bayaran hutang negara dan membiayai lain-lain belanja mengurus?
⦁ Jika rasionalisasi subsidi hendak dilaksanakan pada tahun hadapan, sepatunya mekanisme rasionalisasi subsidi termasuk kelayakan penerima dan pengagihan hasil penjimatan subsidi kepada penerima yang layak dijelaskan kepada rakyat sekarang.
⦁ Jika subsidi dihapuskan dan SST dinaikkan dalam keadaan mekanisme pengagihan penjimatan subsidi kepada rakyat masih belum jelas, maka sudah tentu rakyat akan menanggung beban berganda. Sudahlah subsidi dipotong, harga barang dan perkhidmatan naik, bantuan kerajaan tidak diterima.
⦁ Sekarang pun rakyat mengeluh tentang kenaikan harga barang. Saya turun ke bawah berjumpa dengan orang ramai. Hampir semuanya kata harga barang mahal. Sehingga ada yang berkata kepada saya, “kita ini macam dah tak ada kerajaan”. Maknanya, mereka sudah sampai ke tahap letih dan kecewa dengan sikap kerajaan yang tidak ambil peduli tentang nasib mereka.
⦁ Bagi saya, Perdana Menteri dan seluruh Jemaah Menteri tidak tahu buat kerja. Mereka gagal segagalnya. Tidak pernah terjadi dalam sejarah, perkara mudah seperti bekalan beras pun menjadi suatu masalah meruncing yang gagal diselesaikan oleh kerajaan.
⦁ Sebab itulah saya tidak berasa hairan dengan dapatan terkini kajian Merdeka Center yang disiarkan beberapa hari lalu. Kajian ini menunjukkan rakyat semakin tidak yakin dengan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim. Hanya 41% yang berpuas hati dengan prestasi kerajaan pada bulan Oktober tahun ini berbanding 54% pada bulan Disember tahun lalu. Hanya 32% yakin bahawa kerajaan boleh memacu pertumbuhan ekonomi, 44% meningkatkan kecekapan, 41% membela kedudukan Islam, 45% membela kepentingan Melayu dan 40% memperbaiki hubungan kaum. 78% mengatakan masalah ekonomi adalah antara kebimbangan rakyat yang paling utama.
⦁ Dalam tempoh tidak sampai satu tahun, prestasi kerajaan Madani telah merudum jatuh di bawah paras 50%. Ini bermakna lebih ramai rakyat yang tidak berpuas hati berbanding yang berpuas hati dengan prestasi kerajaan. Rakyat sebenarnya telah memberikan markah gagal kepada Anwar Ibrahim dan kerajaannya.
⦁ Ini berbeza dengan prestasi kerajaan Perikatan Nasional di mata rakyat. Dalam tempoh setahun pertama mentadbir negara kita masih dapat mengekalkan sekitar 60 peratus tahap puas hati rakyat. Walaupun pada masa itu kita berhadapan dengan cabaran yang paling getir dalam sejarah negara, iaitu wabak COVID-19 dan penutupan ekonomi. Ini bermakna, walaupun dahulu PH kata kita gagal, rakyat kata kita lulus. Yang gagal sebenarnya adalah mereka.
Orang Cina dari Seberang,
Bawa jual ikan tenggiri,
Mengata orang jangan sebarang,
Tak pernah cermin diri sendiri
⦁ Saya fikir, jika kita tanya kepada rakyat pada hari ini, sebahagian besar pastinya mahu Perikatan Nasional kembali mentadbir negara. InsyaAllah, kita akan bekerja keras untuk kembali ke Putrajaya!
SUSUR GALUR PERJUANGAN BERSATU
Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,
⦁ Dalam perhimpunan agung kali ini, saya ingin menghimbau sedikit sejarah perjuangan BERSATU. Bagaimana parti ini ditubuhkan dan apakah tekad perjuangan BERSATU yang membentuk jatidiri parti kita pada hari ini.
⦁ BERSATU ditubuhkan sebagai sebuah parti pribumi. Saya masih ingat di peringkat awal penubuhan parti, ada yang mencadangkan supaya BERSATU menjadi sebuah parti pelbagai kaum dengan menerima keahlian daripada kaum Melayu dan juga bukan Melayu.
⦁ Tetapi, kebijaksanaan pimpinan pada masa itu ialah untuk menjadikan BERSATU sebagai parti berteraskan pribumi dengan menerima kaum bukan Melayu sebagai ahli bersekutu. Ini menjadikan BERSATU sebagai sebuah parti pribumi yang inklusif.
⦁ Ketika BERSATU ditubuhkan, saya juga menegaskan supaya peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai perkara-perkara asas yang telah dipersetujui oleh pemimpin-pemimpin bangsa kita yang terdahulu dijadikan matlamat perjuangan BERSATU yang termaktub dalam perlembagaan parti. Ini termasuk memperjuangkan kedudukan istimewa orang Melayu dan hak yang sah untuk semu kaum, Islam sebagai Agama Persekutuan dan hak semua individu untuk mengamalkan agama masing-masing secara aman dan harmoni, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan hak semua kaum untuk mempelajari bahasa ibunda masing-masing, dan kemuliaan institusi Raja-Raja Melayu sebagai Raja Berperlembagaan.
⦁ Ini merupakan suatu penegasan bahawa tekad perjuangan BERSATU adalah selari dengan perjuangan nasionalisme Melayu yang adil, seimbang dan inklusif dalam sebuah negara berbilang kaum seperti yang diperjuangkan oleh pejuang-pejuang bangsa kita yang terdahulu. Inilah mata rantai perjuangan parti kita. Walaupun parti kita baru berusia tujuh tahun, susur galur, semangat dan matlamat perjuangannya telah berakar umbi di tanah air kita dan sebati dengan citra, jiwa dan identiti bangsa kita sejak puluhan dekad lamanya.
⦁ Saya percaya matlamat perjuangan parti kita sebagai sebuah parti nasionalis yang inklusif menjadi semakin relevan pada hari ini.
⦁ Ya, negara kita telah lama merdeka. Dengan kemerdekaan itu, orang Melayu bukan sahaja bebas daripada cengkaman penjajah, malah mempunyai kuasa politik untuk menentukan nasib dan masa depan bangsa. Orang Melayu dahulunya miskin. Tetapi dengan kuasa
politik yang ada pada orang Melayu, dasar-dasar kerajaan digubal dan dilaksanakan untuk memajukan orang Melayu.
⦁ Yang tiada pendidikan diberikan pendidikan. Yang kurang mampu diberikan biasiswa. Yang mahu berniaga disediakan latihan, geran dan lesen. Bermacam bentuk bantuan diberikan oleh kerajaan kepada orang Melayu. Akhirnya, dengan kuasa politik yang ada pada orang Melayu, bangsa Melayu dapat bangkit keluar daripada pusaran ganas kemiskinan. Bangsa Melayu bukan lagi sebuah bangsa yang miskin.
⦁ Semua ini boleh berlaku kerana orang Melayu ada kuasa politik. Semasa bangsa Melayu terjajah, orang Melayu bukan sahaja miskin malah dihina. Penjajah tidak peduli tentang nasib bangsa Melayu. Mereka hanya pentingkan kekuasaan dan kekayaan mereka sahaja dengan membolot hasil mahsul tanah jajahan mereka.
⦁ Hanya setelah Tanah Melayu merdeka dan kuasa politik ada di tangan orang Melayu, nasib orang Melayu mula berubah.
⦁ Selama lebih enam dekad sejak merdeka, kuasa politik di negara ini dimiliki oleh parti politik Melayu yang menerajui kerajaan. UMNO menjadi parti teras yang menerajui kerajaan selama 61 tahun sejak merdeka sehinggalah parti itu tewas dalam Pilihanraya Umum ke-14. Selepas itu BERSATU menjadi parti yang menerajui kerajaan Pakatan Harapan dan kemudiannya kerajaan Perikatan Nasional yang dibentuk pada 1 Mac 2020. UMNO mengambil semula teraju kerajaan pada bulan Ogos 2021 sehinggalah Pilihanraya Umum ke-15 diadakan pada 19 November 2022. Selama 65 tahun selepas merdeka, parti Melayu menguasai kerajaan.
⦁ Keadaan ini berubah selepas PRU-15. Pakatan Harapan yang hanya memenangi 82 kerusi parlimen membentuk kerajaan dengan sokongan parti-parti lain. Buat pertama kali dalam sejarah, Perdana Menteri bukan dari parti Melayu. Malah, parti cauvinis yang anti-Melayu dan anti-Islam, iaitu DAP merupakan parti yang terbesar dalam kerajaan hari ini.
⦁ Perikatan Nasional yang memenangi 74 kerusi dengan dokongan besar orang Melayu pula menjadi pembangkang. Buat pertama kali dalam sejarah juga, pembangkang di negara kita adalah 100% Melayu dan Bumiputera.
MELAYU TELAH HILANG KUASA
⦁ Sebab itulah saya katakan orang Melayu telah hilang kuasa di tanah air sendiri. Kuasa politik yang selama ini diterajui oleh parti Melayu, kini telah hilang dari tangan orang Melayu akibat percaturan kuasa selepas PRU-15.
⦁ Walaupun UMNO sebagai sebuah parti Melayu berada di dalam kerajaan, mereka tidak ada kuasa. UMNO yang hanya mempunyai 26 kerusi Parlimen sekadar menumpang kerajaan yang diterajui oleh Pakatan Harapan. Tanpa UMNO pun Pakatan Harapan masih boleh memerintah.
⦁ Jadi, walaupun kita berasa bangga dengan pencapaian parti kita dalam Pilihanraya Umum dan Pilihanraya Negeri yang lalu, namun hakikatnya orang Melayu telah hilang kuasa.
⦁ Kerana itu, janganlah kita berasa hairan apabila kerajaan hari ini secara sedar mengambil tindakan-tindakan yang menyentuh sensitiviti orang Melayu dan umat Islam.
⦁ Misalnya, rayuan kes kalimah Allah ditarik balik oleh kerajaan. Sedangkan umat Islam percaya bahawa Allah adalah nama khusus untuk Tuhan bagi orang Islam dan tidak boleh digunakan oleh penganut agama lain. Kes kalimah Allah ini amat sensitif bagi umat Islam kerana ia menyentuh kesucian agama Islam.
⦁ Sekarang saya hendak tanya kerajaan. Apa jadi dengan kes ini? Apakah penyelesiannya? Adakah kerajaan telah menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor supaya suatu penyelesaian dicari bagi menyelesaikan kemelut berkaitan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam?
⦁ Saya menyebut perkara ini bukan bermaksud untuk membangkitkan sentimen perkauman. Apatah lagi untuk mewujudkan sengketa antara kaum dan agama atau mencetuskan huru-hara. Itu bukan maksud saya. Tetapi untuk memperbetulkan keadaan. Orang Melayu dan Bumiputera adalah masyarakat majoriti di negara ini. Apabila mereka berasa terpinggir atau hak mereka tercabar atau maruah mereka tercalar, sukar untuk kita mewujudkan keharmonian dan kestabilan politik di dalam negara.
CABARAN TERHADAP UNDANG-UNDANG ISLAM
⦁ Selain itu, undang-undang Islam yang telah wujud di negara kita sejak zaman berzaman sedang dicabar di mahkamah. Undang-undang Islam telah menjadi undang-undang yang diterima pakai di tanah air kita sejak zaman kesultanan Melayu Melaka lagi, iaitu lama sebelum British menjajah Tanah Melayu.
⦁ Bahkan, dalam banyak perjanjian British dengan Raja-Raja Melayu, hal mengenai hukum Islam dan adat istiadat Melayu diletakkan di bawah tanggungjawab Raja-Raja Melayu untuk melindunginya. Ini membuktikan bahawa undang-undang Islam telah lama mempunyai kedudukan yang istimewa di negara kita.
⦁ Oleh sebab itu, semasa Tanah Melayu hendak mencapai kemerdekaan, dimasukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan peruntukan tertentu mengenai bidang kuasa Dewan Undangan Negeri untuk menggubal undang-undang Islam termasuk undang-undang jenayah Islam dan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri. Parlimen pula diberikan kuasa untuk menggubal undang- undang Islam bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan di negara kita.
⦁ Mahkamah Syariah juga ditubuhkan bagi mengadili kes-kes melibatkan orang-orang Islam. Mereka yang pakar dalam bidang undang-undang syariah dilantik sebagai hakim mahkamah syariah.
⦁ Dengan itu, umat Islam di Malaysia amat bertuah kerana mereka mempunyai suatu sistem perundangan Islam untuk mentadbir hal ehwal kehidupan mereka menurut hukum-hakam agama. Ini termasuklah hal- hal yang berkaitan dengan pernikahan, perceraian, hak penjagaan anak- anak, pembahagian harta dan lain-lain yang bagi umat Islam amat
penting ditadbir menurut hukum agama. Jika perkara-perkara ini tidak ditadbir menurut hukum agama yang sah, ia akan memberi kesan yang besar terhadap kehidupan umat Islam di sisi agama, termasuk terjerumus dalam perlakuan dosa besar.
⦁ Umat Islam di Malaysia jangan mengambil mudah tentang hak ini. Di negara-negara bukan Islam, umat Islam menghadapi kesukaran untuk mengamalkan kehidupan menurut cara Islam yang sebenar. Di India umpamanya, ada undang-undang keluarga Islam untuk orang Islam. Tetapi undang-undang ini ditadbir oleh mahkamah sivil yang hakim-hakimnya adalah bukan Islam. Terdapat keadaan di mana hakim- hakim bukan Islam mentafsir undang-undang Islam menurut pemahaman mereka yang bercanggah dengan hukum Islam yang sebenar. Perceraian yang sah menurut hukum Islam diisytiharkan sebagai tidak sah oleh mahkamah sivil. Maka terjadilah kekeliruan dan kecelaruan dalam kehidupan umat Islam.
⦁ Jumlah umat Islam di India hampir 200 juta orang. Jauh lebih ramai daripada umat Islam di Malaysia. Tetapi malangnya mereka tidak menikmati hak yang dinikmati oleh umat Islam di Malaysia.
⦁ Di negara-negara Eropah, jumlah umat Islam sekitar 44 juta orang pada tahun 2010 dan dijangka meningkat kepada 58 juta orang menjelang tahun 2030. Mereka ini terdiri daripada penduduk asal negara-negara Eropah seperti Bosnia, Albania dan Kosovo serta pendatang dari negara-negara Timur Tengah, Afrika Utara dan Asia Selatan.
⦁ Negara-negara Eropah adalah negara sekular. Umat Islam di Eropah terpaksa patuh kepada undang-undang sekular yang bercanggah dengan Islam. Di Perancis, orang Islam yang mengamalkan poligami dianggap melakukan suatu kesalahan jenayah dan boleh dihukum menurut undang-undang sekular. Wanita Islam juga dilarang memakai tudung di sekolah-sekolah dan di tempat awam kerana pakaian yang menutup aurat dianggap sebagai penonjolan imej agama yang bertentangan dengan nilai sekularisme.
⦁ Di Jerman, umat Islam dilarang menyembelih haiwan untuk ibadah Qurban kerana penyembelihan cara Islam ditentang oleh kumpulan pejuang hak haiwan. Merek menganggap penyembelihan cara Islam adalah zalim. Maka di negara itu, hak haiwan menjadi lebih mulia daripada hak umat Islam untuk melaksanakan ibadah Qurban.
⦁ Di negara-negara Barat yang sekular ini, nasib golongan LGBT jauh lebih baik daripada nasib umat Islam. Golongan liberal di negara- negara ini membela golongan LGBT kerana mereka dianggap sebagai kumpulan minoriti yang memerlukan pembelaan. Umat Islam yang merupakan golongan minoriti tidak mendapat layanan yang sama.
⦁ Kerana LGBT dianggap sebagai kumpulan yang istimewa perkahwinan sesama mereka dihalalkan di sisi undang-undang. Festival dan perayaan tertentu diadakan secara terbuka untuk meraikan hak kumpulan ini. Kumpulan ini juga tidak boleh dicemuh. Di negara-negara seperti Belgium, Denmark, Jerman, Sepanyol dan Perancis, cemuhan terhadap golongan LGBT adalah satu kesalahan jenayah.
⦁ Walaupun agama Kristian tidak membenarkan amalan LGBT, tetapi oleh kerana masyarakat Barat telah sebati dengan nilai dan amalan sekular, agama tidak ada tempat dalam menentukan undang- undang dan dasar negara. Agama hanya menjadi amalan peribadi sahaja. Akibatnya, ramai yang tidak mengamalkan ajaran agama.
⦁ Islam tidak menganggap agama sebagai amalan peribadi sahaja. Islam adalah suatu cara hidup – Islam is a way of life – yang merangkumi segenap segi kehidupan manusia termasuk ekonomi, politik, sosial dan undang-undang. Konsep sekularisme yang mengasingkan agama dan negara adalah bertentangan dengan Islam.
⦁ Kerana itulah umat Islam yang tinggal di negara-negara sekular sukar untuk mengamalkan Islam sebagai satu cara hidup yang sempurna. Mereka tidak dilarang untuk menganut agama Islam, tetapi amalan cara hidup Islam mereka terhad kepada ruang lingkup peribadi mereka sahaja.
⦁ Itulah nasib umat Islam di negara-negara sekular. Mereka menghadapi nasib yang sedemikian kerana mereka tidak mempunyai kuasa politik di negara-negara itu.
⦁ Malaysia bukan negara sekular. Kerana itu, Perlembagaan Persekutuan memberikan kedudukan yang tinggi kepada agama Islam. Kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan menurut Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan bukan bersifat ceremonial semata-mata. Terdapat peruntukan-peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjadikan Islam sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan dan undang-undang negara.
⦁ Misalnya, Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan membenarkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri menubuhkan atau menyenggarakan atau membantu dalam menubuhkan atau menyenggarakan institusi-institusi Islam termasuk menyediakan pendidikan Islam yang dibiayai oleh kerajaan.
⦁ Senarai 2 Jadual Kesembilan pula membenarkan Dewan Undangan Negeri membuat undang-undang diri dan keluarga Islam termasuk mewujud dan menghukum kesalahan yang dilakukan oleh orang Islam terhadap perintah agama Islam, kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan.
⦁ Perlembagaan Persekutuan juga memberi kuasa kepada Negeri untuk menentukan keanggotaan, susunan dan tatacara mahkamah Syariah yang mempunyai bidang kuasa ke atas orang Islam.
⦁ Negara sekular tidak mempunyai peruntukan-peruntukan seperti ini di dalam perlembagaan negara. Malah menjadi satu kesalahan bagi kerajaan negara sekular untuk membiayai pendidikan bagi umat Islam, apatah lagi mewujudkan dan membiayai sistem kehakiman Islam yang melaksanakan undang-undang Islam.
⦁ Di negara kita telah ada cubaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara sekular sepenuhnya. Golongan sekular-liberal di negara ini mendesak supaya pendidikan Islam tidak diajar di sekolah-sekolah. Bagi mereka, kerajaan tidak mempunyai tanggungjawab untuk menyediakan pendidikan Islam kepada rakyat. Itu tanggungjawab ibu- bapa secara peribadi, bukan tanggungjawab kerajaan. Duit pembayar
cukai tidak boleh digunakan untuk menyediakan pendidikan agama kepada rakyat kerana itu bertentangan dengan fahaman dan nilai sekular yang mereka anuti.
⦁ Mereka juga menentang pelaksanaan undang-undang Islam, terutamanya undang-undang jenayah syariah seperti pengharaman arak, judi, zina, liwat dan khalwat bagi umat Islam. Bagi mereka semua ini bukan jenayah walaupun inilah yang dikatakan kesalahan terhadap perintah agama Islam sepertimana yang termaktub di dalam Senarai 2, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.
⦁ Kerana itu cabaran terhadap undang-undang Islam di mahkamah pada hari ini tidak boleh dipandang ringan oleh umat Islam. Dalam Kes Iki Putra, Mahkamah Persekutuan memutuskan Dewan Undangan Negeri Selangor tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubal undang-undang jenayah Syariah mengenai liwat atas alasan perkara mengenai jenayah termasuk di dalam bidang kuasa Parlimen.
⦁ Rentetan daripada kes ini, seorang peguam bernama Nik Elin, memohon supaya Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 20 seksyen kesalahan jenayah syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 terbatal dan tidak sah. Sekiranya Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan ini, lebih banyak undang- undang jenayah Syariah di negeri-negeri akan diisytiharkan sebagai tidak sah kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
⦁ Saya tidak ingin mempersoal atau menafikan hak mahkamah untuk mentafsir Perlembagaan Persekutuan. Itu bidang kuasa mahkamah dan hakim-hakim yang bijaksana yang mesti kita hormati.
⦁ Tetapi negara kita mengamalkan prinsip pengasingan kuasa. Walaupun mahkamah mempunyai kuasa untuk mentafsir undang-udang, kuasa untuk membuat dan meminda undang-undang, termasuk undang- undang perlembagaan, terletak di bawah bidang kuasa Parlimen. Ini bermakna, Parlimen boleh pada bila-bila masa meminda Perlembagaan Persekutuan untuk memastikan undang-undang Syariah yang sedia ada tidak diisytihar terbatal dan tidak sah oleh mahkamah.
⦁ Kerajaan hari ini yang mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen boleh membawa satu Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan untuk mempertahan dan memartabatkan kedudukan undang-undang jenayah Syariah di negara ini. Ini penting untuk memastikan agenda “grand design” golongan sekular untuk menghapuskan undang-undang jenayah Syariah menerusi saluran mahkamah dan menjadikan Malaysia sebuah negara sekular sepenuhnya dapat dihalang.
⦁ Tetapi adakah kerajaan akan melakukannya? Minta maaf, saya amat ragu. Kenapa saya kata saya ragu?
⦁ Kerana kerajaan hari ini bukanlah kerajaan yang dikuasai oleh parti yang berjuang untuk memartabatkan agama Islam. Malah, parti DAP yang antara matlamat utama perjuangannya ialah untuk menjadikan Perlembagaan Persekutuan sebagai perlembagaan yang sekular adalah parti yang terbesar dalam kerajaan.
⦁ Jadi, mustahil DAP yang menguasai kerajaan akan membenarkan kerajaan untuk membawa suatu Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan di Parlimen untuk memartabatkan undang-undang
Syariah. Malah, tindakan pihak-pihak yang mencabar undang-undang Syariah di negara ini adalah amat selari dengan perjuangan DAP.
⦁ Saudara-saudari, kerana itulah saya katakan Melayu telah hilang kuasa di negara ini. Walaupun Perdana Menteri Melayu, walaupun Menteri-Menteri Melayu, tetapi parti yang berkuasa tidak memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam.
PERSEMPADANAN SEMULA KAWASAN PILIHANRAYA
Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian
⦁ Melayu akan hilang kuasa selama-lamanya apabila persempadanan semula kawasan pilihanraya dilaksanakan. Ahli Parlimen DAP telah bercakap dengan lantang di Dewan Rakyat baru- baru ini tentang perlunya proses persempadanan semula kawasan pilihanraya dilaksanakan, terutamanya untuk menambah kerusi-kerusi Parlimen di kawasan bandar.
⦁ Timbalan Menteri di-Jabatan Perdana Menteri telah mengesahkan bahawa proses persempadanan semula kawasan pilihanraya telah dimulakan bagi negeri Sarawak pada tahun ini, Sabah pada tahun 2025 dan Semenanjung Malaysia pada tahun 2026.
⦁ Saya jangkakan kerusi DAP akan bertambah sekali ganda jika proses persempadanan semula kawasan pilihanraya dilaksanakan oleh kerajaan PH. Daripada 40 kerusi yang dimiliki oleh DAP sekarang mungkin akan bertambah menjadi 80 kerusi. Ini tidak termasuk “gerrymandering” yang akan dibuat di kawasan-kawasan Parlimen sedia
ada untuk memberi kelebihan kepada parti DAP dan rakan-rakan sekutunya di dalam PH.
⦁ Jika ini berlaku, DAP akan menjadi sebuah parti yang amat berkuasa di dalam kerajaan. Saya percaya, pada masa itulah cita-cita utama DAP yang memperjuangkan kesamarataan hak dan penghapusan dasar-dasar pro-Bumiputera seperti yang terkandung di dalam Deklarasi Setapak 1967 dan Perlembagaan DAP akan dilaksanakan.
⦁ Adakah kita sanggup biarkan perkara ini berlaku saudara- saudara?? Adakah kita sanggup biarkan ia berlaku?? Adakah kita sanggup biarkan ia berlaku??
⦁ Jika saudara-saudari mengatakan tidak, maka usaha mesti digerakkan segera untuk menyatu padu parti-parti Melayu. Janganlah sengketa sesama kita menyebabkan bumi yang kita pijak ini menjadi milik orang. Masa tidak menyebelahi kita lagi kerana kuasa pun sudah tiada di tangan kita.
⦁ Usaha juga mesti dilakukan segera untuk Perikatan Nasional kembali ke Putrajaya sebelum nasi menjadi bubur. Hanya dengan cara inilah, cita-cita songsang mereka itu boleh kita halang.
Patah atap kerana buluh Atap dijalin dengan tali,
Patah sayap bertongkat paruh Namun undur pantang sekali
BERSATU SEBAGAI WADAH POLITIK ABAD KE-21
Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,
⦁ Saya himbaukan cabaran-cabaran terhadap kelangsungan politik orang Melayu dan Bumiputera sebagai persoalan kepada diri saya dan kita semua tentang wadah perjuangan BERSATU. Siapakah yang akan menjadi pembela dan pejuang kepentingan orang Melayu dan Bumiputera serta hak-hak yang sah untuk semua kaum di saat kita berhadapan dengan pelbagai krisis?
⦁ Jawapannya, hari ini BERSATU bersama rakan-rakan dalam Perikatan Nasional, adalah wadah perjuangan utama orang Melayu dan Bumiputera. Justeru, kita harus menampilkan citra BERSATU sebagai sebuah parti politik abad ke-21 yang akan memayungi kepentingan orang Melayu dan Bumiputera serta melindungi hak-hak yang sah untuk semua kaum.
⦁ BERSATU sentiasa tuntas mendaulatkan dan mempertahankan Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan di samping menghormati hak semua kaum untuk menganuti agama dan mengamalkan bahasa ibunda dan budaya masing-masing secara aman dan harmoni seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Inilah pasak keseimbangan, kestabilan dan keharmonian negara yang berbilang kaum dan agama.
⦁ BERSATU akan terus mempertahankan kemuliaan institusi Raja- Raja Melayu sebagai Raja Berperlembagaan. Institusi Raja Berperlembagaan adalah payung kestabilan dan kemakmuran negara.
Ianya bagaikan sauh, agar bahtera bangsa tidak dihanyutkan oleh taufan dan badai yang melanda.
⦁ Slogan ‘BERSATU, BERAMANAH, BERMARUAH’ bukanlah sekadar cogan kata. Ianya adalah dasar perjuangan dan nilai abad ke-
21 yang menampilkan citra BERSATU sebagai sebuah wadah politik yang inklusif, sederhana, progresif dan berintegriti.
⦁ Realiti ini menuntut ahli-ahli BERSATU khususnya Armada dan Srikandi Muda untuk lebih cakna dengan permasalahan dan isu-isu semasa dengan mengadaptasi kemajuan sains dan teknologi dalam mencorak politik masa hadapan.
⦁ Maka, BERSATU juga harus segera meningkatkan kesiapsiagaan untuk berhadapan dengan realiti dan cabaran zaman menerusi usaha pembangunan kepimpinan di semua peringkat, latihan yang berterusan untuk menggilap potensi dan bakat baru khususnya dalam kalangan anak muda dan wanita.
⦁ Saya mahu supaya BERSATU segera menggerakkan program perkaderan dengan modul yang terangkum di dalamnya prinsip nilai, integriti dan disiplin organisasi termasuk pengukuhan nilai kesetiaan dan keikhlasan dalam perjuangan. Suatu kerangka nilai dan sahsiah ahli BERSATU sedang dirangka dan akan dilancarkan tidak lama lagi sebagai panduan untuk ahli-ahli BERSATU menghayai semangat, roh dan jiwa perjuangan BERSATU. Langkah ini mesti dilaksanakan segera bagi membina kekuatan BERSATU dengan ahli-ahli yang umpama ‘bunyanul marsus’, bangunan yang tersusun kukuh.
PELAPIS KEPIMPINAN PARTI
Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,
⦁ Pemimpin silih berganti, wadah perjuangan mesti kekal abadi. Itulah lumrah dalam mana-mana perjuangan.
⦁ Saya telah mengasaskan parti BERSATU dan memimpin parti ini sebagai Presiden dari awal penubuhan parti hingga ke saat ini. Telah banyak cabaran dan rintangan, ranjau dan duri yang parti kita lalui.
⦁ Ketika BERSATU mula ditubuhkan, kita hanya mempunyai dua Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri. Selepas PRU
15 dan Pilihanraya Negeri yang lalu, BERSATU mempunyai 31 Ahli Parlimen dan 60 Ahli Dewan Undangan Negeri. Ini satu pencapaian yang amat membanggakan bagi parti kita dalam tempoh hanya tujuh tahun atau dua kali pilihanraya umum.
⦁ Dalam tempoh ini juga, BERSATU menjadi parti teraju dalam Kerajaan Persekutuan dengan dua orang Perdana Menteri adalah dari parti kita.
⦁ Prestasi BERSATU meningkat dari satu pilihanraya ke satu pilihanraya. Dokongan rakyat kepada BERSATU, khususnya orang Melayu, semakin kuat khususnya selepas kita membentuk Perikatan Nasional.
⦁ Saya percaya, rakyat menyokong BERSATU kerana mereka yakin dan percaya dengan perjuangan kita. Walaupun parti kita masih baharu
dan jentera parti kita masih perlu diperkuatkan, tetapi rakyat menyokong parti kita dalam pilihanraya kerana mereka yakin dengan tekad perjuangan parti kita. Mereka yakin BERSATU berada di landasan yang betul dan mampu membela nasib mereka.
⦁ Maka, selagimana kita istiqamah dengan perjuangan parti, dan terus prihatin dengan nasib rakyat, datanglah ribut, taufan dan badai melanda, parti kita tetap akan berdiri teguh dan utuh dengan dokongan rakyat. Maka tugas kita semua, baik pimpinan di atas, dan ahli-ahli di bawah, ialah untuk memperkukuhkan tekad perjuangan parti.
⦁ Saya juga percaya BERSATU mempunyai barisan kepimpinan pelapis yang amat berpengalaman dan hebat semuanya. Sebahagian besar ahli-ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti kita adalah bekas Menteri termasuk dua Menteri Kanan, tiga bekas Menteri Besar dan ramai lagi bekas Timbalan Menteri yang mempunyai pengalaman luas dalam mengurus parti dan mentadbir kerajaan.
⦁ Saya percaya apabila tiba masanya saya mengundurkan diri sebagai Presiden parti, BERSATU akan dipimpin oleh sepasukan pemimpin yang hebat dan berpengalaman luas untuk memacu parti ke mercu yang lebih tinggi.
⦁ Maka, pada hari Jumaat yang mulia dan penuh barakah ini, saya ingin mengumumkan bahawa masa untuk saya mewariskan kepimpinan parti kepada barisan kepimpinan yang baharu telah pun tiba. Untuk itu, saya tidak akan mempertahankan jawatan Presiden dalam pemilihan parti yang akan diadakan sebelum hujung tahun hadapan yang tarikhnya akan ditentukan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi. Keputusan
saya ini dibuat untuk memberi ruang kepada pemimpin pelapis BERSATU mengambil alih kepimpinan parti menurut proses demokrasi yang diamalkan oleh parti kita.
⦁ Dalam proses ini, sayugia saya ingin mencadangkan supaya barisan kepimpinan kanan parti bermusyawarah terlebih dahulu untuk memastikan tokoh-tokoh yang berpengalaman luas yang ada bersama kita pada hari ini mempunyai tempat dan peranan dalam barisan kepimpinan parti yang baharu nanti. Ini penting supaya kekuatan yang ada pada parti kita dapat kita gembeleng dengan lebih jitu lagi pada masa hadapan.
⦁ Ini adalah Perhimpunan Agung kali terakhir saya berdiri di pentas ini sebagai Presiden parti. Ini kerana pemilihan parti akan datang akan dibuat di peringkat bahagian terlebih dahulu sebelum perhimpunan agung diadakan. Justeru, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf kepada semua barisan pimpinan dan ahli BERSATU sekiranya saya melakukan sebarang kesalahan atau kesilapan sepanjang saya memimpin parti. Pesan saya, jagalah parti ini baik-baik.
⦁ Saya berdoa mudah-mudahan dengan kesatuan hati dan semangat setiakawan yang tinggi dalam kalangan barisan kepimpinan dan ahli-ahli BERSATU, proses peralihan kepimpinan parti akan berlangsung dengan penuh tertib dan harmoni. Junjunglah perlembagaan parti. Elakkan perpecahan. Utamakan perpaduan supaya parti kita dapat bangkit dengan lebih gagah dan sakti lagi selepas ini.
PENUTUP
⦁ Buat semua pewaris perjuangan parti, ingatlah bahawa parti kita ini adalah wadah utama penyambung risalah perjuangan bangsa kita yang menjadi harapan dan sandaran umat Melayu dan pribumi di tanah air ini.
⦁ Bangkitlah menjulang panji-panji parti walau dilambung ombak, walau dirempuh badai, walau disambar halilintar. Jangan kita berganjak walau seinci. Jangan kita goyah walau sedetik.
Buluh aur jangan dibelah,
Titi dibuat berikat akar,
Teguh setia tidak berubah,
Janji ikrar jangan bertukar
⦁ Ingatlah, perjuangan ini menuntut pengorbanan. Perjuangan ini menagih keikhlasan. Perjuangan ini meruntun setiakawan. InsyaAllah, berkat istiqamah dan sabar, berkat doa dan ikhtiar, dengan izin Allah
s.w.t. jua, wadah perjuangan kita ini akan beroleh kemenangan.
⦁ Marilah kita bersama-sama manadah tangan, bermunajat ke hadrat Allah s.w.t semoga dimakbulkan segala permintaan kita.
Bismillahirrahmanirrahim.
Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui
Bahwa hati-hati ini berkumpul atas dasar cinta kepada-Mu Bertemu atas dasar taat pada-Mu
Bersatu atas dasar dakwah kepada-Mu
Dan berjanji setia untuk membela syariat-Mu.
Maka kuatkanlah ya Allah, ikatan pertaliannya Lestarikanlah kasih sayangnya
Tunjukkanlah jalannya
Dan penuhilah dengan cahaya-Mu yang tiada redup Lapangkanlah dadanya dengan limpahan iman kepada-Mu Dan indahnya tawakal pada-Mu
Hidupkanlah ia dengan makrifat kepada-Mu Dan matikanlah ia sebagai syahid di jalan-Mu. Sesungguhnya Engkau sebaik-baik pelindung Dan sebaik-baik penolong.
Berita tepat dan menyeluruh.