DAP antara parti tertua di negara kita dan sepanjang 56 tahun penubuhannya, ia dilabel oleh musuh politiknya sebagai parti cauvinis, mengamalkan partisan melampau dan parti perkauman.
Walaupun pimpinan DAP berulang kali menafikan tuduhan itu, ia tidak disokong oleh tindak tanduk sesetengah pemimpinnya.
Paling terserlah adalah Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC), Ronnie Liu yang sentiasa mencetus kontroversi dengan kenyataan demi kenyataan yang dilihat berbaur perkauman.
Melalui tulisannya di pelbagai platform, beliau pada September 2005 pernah mengangkat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PLM), Chin Peng sebagai pejuang kemerdekaan.
Dua tahun lalu, selepas kekalahan Pakatan Harapan (PH) kepada Umno pada Pilihan Raya Kecil Dun Semenyih, beliau mengingatkan PH agar tidak menjadi ‘lebih Melayu’.
Terbaharu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Pelek itu menegaskan “… kita (DAP) tidak boleh menjatuhkan maruah atau menggambarkan diri kita sebagai parti bukan Cina.. ”
Beliau meluahkan pendirian itu dalam tulisannya yang disiarkan di sebuah portal berita ketika merungkai kerjasama di antara DAP dengan parti-parti Melayu di Malaysia.
Apa yang mengelirukan adalah apabila Ronnie menulis bahawa DAP untuk semua rakyat Malaysia, tetapi ia tidak boleh digambarkan sebagai ‘parti bukan Cina’.
Jika kenyataan Ronnie tidak berkait dengan partinya, wajarlah pemimpin besar paling berkuasa dalam DAP, iaitu Setiausaha Agung, Lim Guan Eng keluarkan kenyataan rasmi memberi amaran dan membuat penafian.
Namun, apa yang dilihat dalam beberapa hari terdahulu, hanya pemimpin barisan kedua seperti Tony Pua, Hannah Yeoh dan Anthony Loke yang mengambil peranan menempelak rakan seperjuangan mereka itu.
Lim Kit Siang, veteran DAP dan bapa Guan Eng dilihat sekadar menjauhkan diri daripada Ronnie melalui kenyataan retoriknya bahawa parti itu tidak menganjurkan dasar untuk Cina, Melayu, India, Iban atau Kadazan.
Adakah Kit Siang dan Guan Eng takut berdepan reaksi masyarakat Cina jika tindakan tegas diambil ke atas Ronnie?
Kembali kepada kenyataan Adun Sungai Pelek itu, apa sebenarnya maksud beliau ketika mengingatkan DAP supaya tidak ‘mencairkan ke-Cinaannya’ untuk meraih sokongan Melayu.
Adakah ia bermaksud DAP bermain ‘wayang politik’ selama ini? Adakah DAP sekadar bermuka-muka untuk meraih sokongan orang Melayu dan kepercayaan parti-parti bertunjangkan Melayu dalam PH, iaitu PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) atas niat untuk berkongsi kuasa di Putrajaya?
PKR, Amanah dan mungkin juga Umno selepas ini wajar menilai, sama ada mahu terus bekerjasama dengan DAP yang dilihat masih memerlukan ‘semangat Cina’ Ronnie agar undi masyarakat kedua terbesar di Malaysia itu tidak lari.
Timbul juga persoalan mengapa parti bertunjangkan Melayu-Islam masih sanggup bekerjasama dengan DAP sedangkan bukan rahsia bahawa perpecahan PH sehingga tumbangnya kerajaan 22 bulan sebelum ini disebabkan ramai pemimpin pakatan tidak bersetuju dengan cara DAP.
Sedarlah diri, adakah pemimpin parti-parti Melayu sekutu DAP itu sanggup membutakan mata, memekakkan telinga dan rela berdepan lagi episod yang sama?
Zukri Mohd Yatim
Pemerhati politik