Sekiranya anda mengikuti perkembangan terbaru di Palestin, anda pasti akan mendapat berita serangan-serangan roket ke bandar Ashkelon.
Ashkelon menerima banyak serangan roket kerana kedudukannya yang hampir dan bersebelahan dengan sempadan utara Semenanjung Gaza.
Semasa ke Gaza pada 2013, kami dapat melihat dengan jelas bandar Ashkelon terutama menara serombong stesen janakuasa dari bandar Beit Hanoum, utara Gaza.
Janakuasa ini juga telah menerima serangan roket beberapa hari yang lalu.
Yang menariknya Ashkelon, yang berada hanya kira-kira 5 kilometer dari sempadan Gaza dan kini dijajah oleh Israel adalah kampung kelahiran Imam As-Syafie, dilahirkan tahun 767 masehi.
Ya, Imam Syafie yang menjadi mazhab pegangan kita hari ini dilahirkan di Asqalan, Gazzah; dalam sebutan asalnya. Ya, Imam Syafie adalah orang Palestin. Kemudian barulah beliau pergi membesar dan belajar di Makkah.
Pernahkah anda mendengar nama Imam Ibnu Hajar al-Asqalani?
Beliau adalah seorang ulama’ besar dalam bidang hadis dan antara kitabnya yang termasyhur adalah Fathu Bari, syarah kepada kitab Sahih Bukhari.
Walaupun Ibnu Hajar sendiri dilahirkan di Kaherah, Mesir, ibu bapanya dan keturunannya berasal dari Asqalan, Gazzah. Tu yg jadi ‘al-Asqalani’ tu.
Jadi apa yang dilakukan oleh para pejuang Palestin adalah untuk membebaskan bumi milik umat Islam yang telah melahirkan ramai ulama-ulama besar sejak puluhan generasi dan ratusan tahun dahulu.
Imam Syafie sendiri telah dilahirkan di bumi Palestin sejak 1250 tahun dahulu.
Syed Mohd Radhi