Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wa barakatuh dan salam sejahtera. Apa khabar semua?
PENDAHULUAN
1. Pertamanya, marilah kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t. di atas limpah izin dan inayah-Nya jua, kita dapat bersama-sama hadir ke Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia Kali Ke-5 pada pagi yang berbahagia ini.
2. Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pimpinan parti-parti anggota Perikatan Nasional, wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan dan semua hadirin yang sudi hadir dalam majlis perasmian Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU pada pagi ini.
3. Saya juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua para perwakilan yang hadir dari seluruh pelusuk tanah air untuk melaksanakan tanggungjawab kita kepada parti, iaitu melaksanakan perhimpunan agung pada setiap tahun, selaras dengan kehendak perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan 1966.
4. Kita juga telah melaksanakan persidangan di peringkat cawangan dan bahagian dalam tempoh masa yang telah ditetapkan. Ini semua adalah penting untuk memastikan parti kita sentiasa mematuhi kehendak perlembagaan parti dan undang-undang negara.
5. Di awal ucapan saya ini, saya ingin memaklumkan bahawa di dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU semalam saya telah menawarkan untuk meletakkan jawatan sebagai Presiden BERSATU. Ini adalah disebabkan oleh kedudukan saya pada masa ini yang sedang berhadapan dengan beberapa pertuduhan di mahkamah. Sebagai mendokong prinsip dan motto perjuangan parti kita iaitu “Bersatu, Bermaruah dan Beramanah”, saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas pertuduhan terhadap diri saya.
6. Walau bagaimanapun, Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU telah menolak tawaran saya untuk meletak jawatan. Perwakilan pada hari ini juga telah meluluskan usul menolak peletakan jawatan Presiden dan atas kehendak Perhimpunan Agung Tahunan, saya meneruskan tugas saya sebagai Presiden parti. Saya amat terharu dengan sokongan saudara dan saudari semua kepada saya dan dengan ini saya mengucapkan terima kasih.
PENDAKWAAN POLITIK TERPILIH
7. Saya berdiri di sini pada hari ini untuk merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU. Dua hari yang lalu, saya telah diheret ke mahkamah untuk menghadapi enam pertuduhan menggunakan kedudukan saya sebagai Perdana Menteri untuk menerima sumbangan dana politik untuk BERSATU. Esok, saya akan menghadapi satu lagi pertuduhan yang sama di Mahkamah Sesyen Shah Alam. Kesemuanya tujuh pertuduhan ke atas saya sebagai Presiden BERSATU. Jika didapati bersalah, saya akan dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai sumbangan yang diterima oleh BERSATU.
8. Ini adalah pertama kali dalam sejarah seorang Presiden parti politik didakwa di mahkamah kerana partinya menerima sumbangan dana politik. Saya telah berada di dalam politik selama 50 tahun. Parti politik tidak menjalankan perniagaan untuk menjana pendapatan bagi membiayai kegiatan parti termasuk pilihanraya.
9. Oleh itu, sumber utama dana parti politik adalah sumbangan daripada para ahli dan penyokong parti, termasuklah ahli perniagaan, hartawan dan dermawan yang menyokong perjuangan parti. Tanpa sumbangan dana, tentulah amat sukar bagi sesebuah parti politik untuk menjalankan fungsinya dalam sebuah negara demokrasi.
10. Dalam kes BERSATU, demi untuk memastikan ketelusan dan integriti dalam pengurusan kewangan parti, saya telah menetapkan supaya setiap sumbangan kepada BERSATU mesti dimasukkan terus ke dalam akaun bank BERSATU, bukan ke akaun saya, atau melalui saya. Setiap sumbangan diuruskan dengan telus oleh Bendahari Agung yang menyelia hal ehwal kewangan parti selaras dengan fungsi beliau di bawah Perlembagaan parti. Apabila menerima sumbangan, beliau akan memasukkannya ke dalam akaun parti dan menyimpan rekod.
11. Akaun parti pula diaudit oleh juruaudit bertauliah dan dibentangkan di dalam Perhimpunan Agung Tahunan untuk diteliti oleh para perwakilan. Sebagai sebuah parti yang memperjuangkan nilai integriti dan amanah, kita tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan dalam pengurusan kewangan parti.
12. Rekod akaun BERSATU pula disimpan oleh Bendahari Agung. Setiap aliran wang masuk dan keluar boleh disemak. Adakah terdapat rekod saya mengambil wang yang disumbangkan kepada parti untuk kegunaan saya? Tidak ada. Jika ada, saya pasti SPRM telah menjumpai buktinya kerana semua rekod akaun BERSATU telah dirampas oleh SPRM.
13. Yang jelas, dalam semua tujuh pertuduhan yang dikenakan ke atas saya, tidak ada satu pun pertuduhan yang berkaitan dengan wang masuk ke akaun saya. Semuanya masuk ke akaun parti.
14. Pada mulanya mereka tuduh saya seleweng RM600 bilion. Kemudiannya RM92.5 bilion. Kemudian RM4 hingga RM5 bilion. Selepas itu RM300 juta. Tetapi apabila dituduh di mahkamah, tidak ada satu pun pertuduhan yang mengatakan saya mengambil wang rasuah. Ini penting untuk saya jelaskan kepada para perwakilan dan ahli-ahli BERSATU. Saya tidak ambil rasuah walau satu sen pun.
15. Tetapi oleh kerana kedudukan saya sebagai Presiden BERSATU dan Pengerusi Perikatan Nasional dilihat sebagai pencabar utama kepada Anwar Ibrahim dan Zahid Hamidi, yang kedua-duanya menubuhkan kerajaan campuran luar tabi’e Pakatan Harapan dan Barisan Nasional, saya telah dijadikan mangsa pendakwaan politik terpilih.
16. Saya hendak cabar SPRM supaya siasatlah Anwar Ibrahim dan Zahid Hamidi. Mereka berdua adalah Presiden PKR dan UMNO. Siasatlah dari mana punca pendapatan PKR dan UMNO. Tidakkah mereka juga menerima dana politik daripada ahli-ahli perniagaan?
17. Sebelum PRU 15, UMNO adalah parti utama dalam Kerajaan Persekutuan. Perdana Menteri daripada UMNO. Parti itu juga mengetuai Kerajaan Negeri Perlis, Perak, Pahang, Melaka dan Johor. Adakah UMNO tidak menerima sumbangan dana politik daripada ahli-ahli perniagaan?
18. PKR pula mengetuai Kerajaan Negeri Selangor dan Negeri Sembilan. DAP mengetuai Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Adakah PKR dan DAP tidak menerima sumbangan dana politik daripada ahli-ahli perniagaan?
19. Banyak laporan telah dibuat oleh ahli-ahli parti kita supaya SPRM menyiasat sumber dana parti-parti ini. Tetapi yang disiasat hanyalah BERSATU. Yang didakwa hanyalah saya sebagai Presiden BERSATU. Parti lain dan Presiden parti lain dikecualikan daripada siasatan dan pendakwaan. Bukankah ini suatu bentuk pendakwaan politik yang terpilih?
20. Malah, semasa proses siasatan masih berjalan, banyak kali media arus perdana secara tidak bertanggungjawab dan berniat jahat telah memetik sumber tidak bernama SPRM mengatakan saya akan ditahan dan didakwa. Seolahnya, mereka telah tahu bahawa saya akan didakwa walaupun siasatan belum selesai. Mungkin bagi mereka, by hook or by crook, I must be charged.
21. Apa maknanya ini? Adakah siasatan ke atas saya dilakukan secara bebas jika keputusan untuk mendakwa telah dibuat oleh pihak tertentu sebelum siasatan dilengkapkan?
22. Saya ingin tegaskan bahawa saya tidak bersalah. Saya akan jawab segala pertuduhan ke atas saya di mahkamah kelak. Saya telah berbincang dengan pasukan peguam saya. Pendakwaan ke atas saya mempunyai banyak kelemahan. Ia dibuat bukan kerana ada asas bukti yang kukuh, tetapi kerana arahan orang atas. InsyaAllah, saya berdoa ke hadrat Allah s.w.t. mudah-mudahan saya diberikan keadilan di mahkamah.
PEMANGSAAN POLITIK TERHADAP BERSATU
23. Tetapi pemangsaan politik ke atas BERSATU telah pun berlaku. Akaun bank BERSATU telah pun dibekukan dan mungkin akan disita dan dirampas tidak berapa lama lagi. Ini bermakna, parti kita tidak mempunyai wang untuk membayar gaji pekerja, sewa pejabat dan bil utiliti. Parti kita juga tidak mempunyai dana untuk membiayai aktiviti parti dan kempen pilihanraya di enam buah negeri tidak berapa lama lagi.
24. Inilah sebab sebenar pendakwaan ke atas saya dilakukan dengan begitu cepat. Mereka ingin melumpuhkan BERSATU sebelum berlangsungnya pilihan raya negeri. Mereka takut dengan pengaruh BERSATU dan Perikatan Nasional seperti yang ditunjukkan dalam Pilihanraya Umum yang lalu. Mereka takut kalah!
25. Kerana itu, pemangsaan politik secara terpilih telah dilakukan dengan rakusnya ke atas BERSATU. Selain akaun parti dibekukan dan pemimpin parti ditahan reman dan didakwa, vendor dan pembekal BERSATU juga disiasat.
26. Apa tujuan menyiasat mereka? Sebagai pembekal dan vendor, mereka tidak ada kena mengena dengan sumbangan dana politik kepada BERSATU. Mereka membekalkan perkhidmatan atau barangan dan kita pula membayar mereka atas perkhidmatan dan barangan yang dibekalkan.
27. Saya tidak nampak ada tujuan lain selain untuk menakut-nakutkan pihak ketiga yang berurusan dengan BERSATU. Walaupun semua urusan perolehan dilaksanakan mengikut proses dan tatacara kewangan parti yang sah, mereka tidak peduli. Tujuan jahat mereka ialah supaya selepas ini tidak ada lagi pihak yang ingin berurusan dengan BERSATU kerana takut disiasat. Tidak ada lagi pihak yang ingin memberi sumbangan kepada BERSATU kerana takut menjadi mangsa pendakwaan politik terpilih. Maka lumpuhlah BERSATU. Lumpuhlah Perikatan Nasional. Inilah tujuan sebenar mereka.
28. Selain itu, mereka juga cuba memberikan gambaran buruk terhadap BERSATU dan Perikatan Nasional. Anwar Ibrahim awal-awal lagi menuduh bahawa kita menerima dana politik hasil wang judi. Ini kononnya untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa parti kita ini menerima dana daripada hasil yang haram di sisi agama dan undang-undang negara.
29. Tetapi apabila mereka membuat pertuduhan yang tidak berasas kepada saya, tidak ada pula disebut dana yang diterima daripada tauke judi. Sebahagian besar dana yang diterima oleh BERSATU adalah daripada Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, iaitu rakan baik saya yang saya telah kenal sejak sekian lama. Beliau merupakan seorang hartawan dan dermawan Melayu yang banyak menyumbang untuk tujuan amal dan kebajikan. Saya tidak fikir sumbangan yang beliau berikan kepada BERSATU adalah hasil wang judi. Beliau bukan tauke judi. BERSATU BANGKIT BERJUANG Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,
30. Kita mesti bangkit melawan. Mereka boleh dakwa saya. Mereka boleh aniaya saya. Tetapi mereka tidak boleh hancurkan BERSATU.
31. BERSATU ini bukan saya. BERSATU ini kita semua. Mereka mendakwa saya untuk melemahkan saya. Mereka juga mendakwa Datuk Wan Saiful untuk melemahkan saf kepimpinan BERSATU. Tetapi mereka lupa. Seorang didakwa, jutaan ahli dan penyokong BERSATU akan bangkit menentang kejahatan mereka.
32. Jangan kita berasa lemah dan gundah-gulana dengan siri pemangsaan politik yang mereka cuba lakukan. Kita bukan tidak pernah berhadapan dengan cabaran dan dugaan. Di peringkat awal dahulu, kita pernah melalui episod di mana parti kita hampir-hampir diharamkan oleh Pendaftar Pertubuhan kerana kita didakwa tidak mematuhi perlembagaan parti.
33. Kita tentunya masih ingat, sehari sebelum parlimen dibubarkan untuk mengadakan PRU-14, Pendaftar Pertubuhan mengeluarkan perintah pembubaran sementara terhadap BERSATU.
34. Kita dikatakan gagal untuk mengadakan perhimpunan agung tahunan seperti yang dikehendaki oleh perlembagaan parti. Walaupun kita telah menjelaskan kepada Pendaftar Pertubuhan bahawa semua langkah yang diambil adalah tidak bercanggah dengan perlembagaan parti, tetapi perintah pembubaran sementara tetap diambil terhadap BERSATU.
35. Kita tahu bahawa tindakan tersebut adalah bermotifkan politik semata-mata untuk menyekat kemaraan BERSATU pada ketika itu yang semakin mendapat dokongan rakyat dalam menentang kleptokrasi. Undang-undang dan institusi kerajaan telah digunakan oleh kerajaan Barisan Nasional pada masa itu untuk melumpuhkan BERSATU. Sebagai parti pembangkang, kita menjadi mangsa kerakusan kuasa parti pemerintah yang menjadi parti lawan kita.
36. Namun, itu semua tidak melemahkan semangat kita. Kita bangkit berjuang dengan segala kudrat yang ada sehingga kita berjaya menjatuhkan kerajaan kleptokrat UMNO dan Barisan Nasional, dan menamatkan dominasi mereka selama lebih enam dekad dalam pemerintahan negara.
37. Pada masa itu, ramai yang tidak yakin dengan keupayaan BERSATU untuk menewaskan UMNO dan Barisan Nasional. Ramai yang kata takkanlah ular lidi boleh menelan naga. Malah, ramai penganalisis politik yang mengatakan UMNO dan Barisan Nasional boleh menang majoriti dua pertiga dalam PRU-14. Ternyata mereka silap.
38. Daripada sebuah parti pembangkang yang lahir atas semangat perjuangan menyelamatkan Malaysia daripada cengkaman kleptokrasi, BERSATU telah menjadi parti kerajaan. Dalam Pilihanraya Umum Ke-15 yang baru lalu, Alhamdulillah, sokongan rakyat terutamanya orang Melayu dan Bumiputera kepada BERSATU semakin kuat.
39. Berkat kerjasama dan perpaduan kita yang kukuh dengan rakanrakan di dalam Perikatan Nasional iaitu PAS, GERAKAN dan SAPP, kita telah berjaya menambah bilangan kerusi Parlimen daripada 13 kerusi dalam PRU-14 kepada 31 kerusi dalam PRU-15. Ini adalah peningkatan kekuatan hampir 3 kali ganda dalam tempoh hanya satu penggal pilihanraya.
40. UMNO yang menjadi parti lawan kita pula hanya memenangi 26 kerusi. Kedudukan mereka telah merosot sejak beberapa pilihanraya yang lalu. Sekarang, parti kita lebih besar daripada UMNO. Dalam tempoh hanya tujuh tahun, BERSATU telah berjaya mengatasi UMNO yang kini telah menjangkau usia 77 tahun. Kita bukan lagi ular lidi, dan UMNO bukan lagi naga.
41. Semua ini berlaku kerana terdapat perubahan dalam sikap dan minda rakyat terhadap parti-parti politik. Mereka tidak lagi berfikiran statik atau jumud dalam menyokong sesebuah parti politik. Mereka menilai parti politik berasaskan nilai dan budaya yang dipegang oleh parti, para pemimpin parti dan ahli-ahli parti.
42. Rakyat semakin menghargai nilai-nilai integriti, jujur, bersih, amanah dan prihatin sebagai nilai politik yang utama. Mereka akan menyokong parti yang mengamalkan nilai-nilai ini.
43. Nilai-nilai ini ada pada BERSATU dan Perikatan Nasional. Kerana itu, dalam pilihan raya umum yang lalu, terbentuk suatu gelombang rakyat yang besar, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu dan Bumiputera serta anak-anak muda, untuk menyokong Perikatan Nasional.
44. Dengan gelombang sokongan rakyat, Perikatan Nasional berjaya memenangi 74 kerusi dalam pilihanraya umum yang lalu. Kita juga berjaya membentuk kerajaan di negeri Perlis dengan memenangi 14 daripada 15 kerusi DUN. Kita juga hampir-hampir berjaya membentuk kerajaan di negeri Perak dan Pahang.
45. Ini adalah satu pencapaian yang amat memberangsangkan buat sebuah gabungan parti politik yang baharu pertama kali memasuki gelanggang pilihan raya umum di peringkat persekutuan.
46. Tahniah saya ucapkan kepada semua 74 Ahli Parlimen dan 57 ADUN Perikatan Nasional yang telah menang dalam PRU yang lalu. Tahniah dan terima kasih yang tidak terhingga juga saya ucapkan kepada semua jentera dan penyokong parti yang telah bekerja keras dengan penuh semangat dan komitmen untuk memastikan kemenangan Perikatan Nasional.
47. Lebih memberangsangkan, Perikatan Nasional telah muncul sebagai parti pilihan utama masyarakat Melayu dan Bumiputera di negara kita. Dianggarkan sekitar 60 peratus pengundi Melayu dan Bumiputera memilih Perikatan Nasional dalam pilihan raya umum yang lalu. Saya percaya lebih ramai pengundi Melayu dan Bumiputera telah dan akan beralih menyokong Perikatan Nasional setelah UMNO memilih untuk bersekongkol dengan DAP dan Pakatan Harapan dalam kerajaan.
48. Dengan dokongan sebahagian besar masyarakat Melayu dan Bumiputera, dan juga masyarakat pelbagai kaum, Perikatan Nasional telah muncul sebagai sebuah kuasa politik baharu di negara kita.
PERIKATAN NASIONAL SEBAGAI PEMBANGKANG YANG BERWIBAWA
Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,
49. PRU-15 adalah kemenangan tertangguh buat BERSATU dan Perikatan Nasional. Kita telah berjaya mendapat sokongan majoriti 115 Ahli Dewan Rakyat, namun telah ditentukan oleh Allah s.w.t., Perikatan Nasional tidak menjadi Kerajaan Persekutuan pada kali ini.
50. Mungkin Allah ingin menguji kesabaran kita, dan sesungguhnya Allah bersama-sama orang-orang yang sabar. InsyaAllah, dengan izin Allah s.w.t. dan dokongan rakyat yang semakin kuat kepada Perikatan Nasional, PRU-16 nanti akan menjadi milik kita.
51. Sebagai seorang Islam, saya percaya kepada Qada’ dan Qadar yang menjadi sebahagian daripada rukun Iman. Kerana itu, kita mudah menerima hakikat dengan hati yang terbuka bahawa Perikatan Nasional kali ini menjadi pembangkang. Kita tidak kecewa dan gundah gulana. Malah, dengan jiwa yang besar, kita terus mara ke hadapan sebagai pembangkang yang berwibawa.
52. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada YB Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Setiausaha Agung BERSATU dan Setiausaha Agung Perikatan Nasional, yang telah dipersetujui oleh Majlis Tertinggi Perikatan Nasional untuk dilantik sebagai Ketua Pembangkang.
53. Saya juga mengucapkan tahniah kepada semua Ahli Parlimen Perikatan Nasional yang telah menunjukkan prestasi yang cemerlang di Parlimen. Ucapan Ahli-Ahli Parlimen kita padat, berisi, berfakta dan bernas. Kelakuan Ahli-Ahli Parlimen kita juga tertib dan beradab, tidak seperti gelagat sesetengah Ahli Parlimen di sebelah sana yang menjadikan Dewan Rakyat seperti sarkas.
54. Kita juga telah membentuk kluster Ahli-Ahli Parlimen berdasarkan bidang-bidang utama yang membuktikan kesungguhan kita untuk membawa suara dan isu rakyat ke Parlimen dengan lebih berkesan.
55. Saya percaya rakyat menilai prestasi kita berdasarkan adab, tertib dan nilai yang kita amalkan. Juga idea-idea bernas yang kita kemukakan untuk mengatasi permasalahan rakyat.
56. Apa lagi dalam keadaan kerajaan hari ini yang tidak mempunyai sebarang idea bernas untuk menyelesaikan masalah rakyat. Menambah masalah ada lah.
57. Misalnya, saya hairan apabila Perdana Menteri mencadangkan di Dewan Rakyat beberapa hari lalu supaya wang KWSP dicagarkan untuk mebolehkan pencarum berhutang dengan bank. Yang memohon pengeluaran wang KWSP ini kebanyakannya adalah orang-orang susah. Adakah Kerajaan hendak menggalakkan orang susah berhutang? Jika mereka tidak mampu membayar hutang, wang KWSP mereka juga akan lesap beserta tanggungan faedah yang akan dikenakan oleh bank.
58. Bukankah ini akan semakin membebankan rakyat yang susah? Cadangan ini tak masuk akal. Tak cerdik rupanya Perdana Menteri dan Menteri Kewangan kerajaan luar tab’ie ini.
59. Jadi, tidak hairanlah rakyat memberikan markah yang amat rendah kepada kerajaan campuran PH-BN ini. Dalam satu kajiselidik yang dilaksanakan oleh sebuah firma penyelidikan dengan kerjasama media arus perdana, tidak ada seorang pun Menteri kerajaan campuran ini yang mendapat skor melebihi 50 peratus, termasuk Perdana Menteri. Ini bermakna, dalam tempoh yang singkat, rakyat telah memberikan markah gagal kepada kerajaan.
60. Bukan kita yang kata mereka gagal. Tetapi rakyat yang kata. Mungkin kejayaan mereka yang paling besar setakat ini ialah mendakwa saya di mahkamah. Itu sajalah. Yang lain, yillek.
61. Jika beginilah cara Perdana Menteri dan Menteri-Menteri mengurus negara, saya yakin kerajaan campuran ini akan mendapat markah gagal sepanjang masa. Apabila tiba PRU-16, atau berkemungkinan juga sebelum PRU-16, mereka akan jadi “drop-out”.
62. Walaupun mereka ada majoriti dua pertiga di Parlimen, tetapi mereka sebenarnya tidaklah sekuat mana. Parti-parti yang membentuk kerajaan pun adalah “strange bed fellows”. Ada perbezaan yang ketara sesama mereka. Walaupun namanya Kerajaan Perpaduan, tetapi mereka tidak berpadu. Kita boleh nampak kerapuhan hubungan mereka apabila mereka berbalah sesama sendiri di Parlimen. Ini rakyat pun boleh nampak.
63. Jadi, saya nak pesan kepada Sang Penguasa di Putrajaya. Berpada-pada lah. Jangan terlalu rakus menggunakan kuasa mengikut hawa nafsu dan dendam kesumat. Tidak ada kuasa yang kekal melainkan kekuasaan Allah SWT. Firman Allah SWT dalam Surah Ali-Imran, ayat 3:
إِذْ قَالَتِ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ يَـٰمَرْيَمُ إِنَّ ٱللَّهَ يُبَشِّرُكِ بِكَلِمَةٍۢ مِّنْهُ ٱسْمُهُ ٱلْمَسِيحُ عِيسَى ٱبْنُ مَرْيَمَ وَجِيهًۭا فِى ٱلدُّنْيَا وَٱلْـَٔاخِرَةِ وَمِنَ ٱلْمُقَرَّبِينَ
64. Yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
PERJUANGAN BERSATU MEMBELA MASYARAKAT MELAYU DAN BUMIPUTERA SERTA HAK SEMUA KAUM
Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,
65. Jangan biarkan BERSATU dihancurkan oleh kerajaan luar tabi’e yang dipimpin oleh Pakatan Harapan. Ini kerana BERSATU menggalas amanah perjuangan yang mulia dan besar.
66. Sebagai sebuah parti pribumi, BERSATU memikul amanah memperjuangkan hak dan kebajikan orang Melayu dan Bumiputera, kepentingan umat Islam serta hak-hak yang sah untuk semua kaum dan penganut agama.
67. UMNO tidak lagi menjadi parti yang boleh diharapkan untuk menggalas amanah ini. UMNO kini menjadi parti minoriti dalam gabungan politik yang didominasi oleh Pakatan Harapan. Apa lagi yang boleh diharapkan daripada UMNO?
68. Demokrasi juga telah mati dalam parti UMNO. Perlembagaan parti dilanggar sebegitu rupa semata-mata untuk menjaga kepentingan seorang individu. Tujuan parti itu juga telah berubah daripada menjaga kepentingan orang Melayu dan Bumiputera, kepada menjaga kepentingan individu.
69. Individu ini juga dilindungi oleh pucuk pimpinan Kerajaan Pakatan Harapan. Demi kepentingan untuk mempertahankan kuasa Pakatan Harapan, individu ini mesti dipastikan terus menguasai UMNO. Dengan penguasaan individu ini ke atas UMNO lah, maka Pakatan Harapan akan terus berkuasa.
70. UMNO di bawah individu ini bukan lagi mementingkan kuasa politik Melayu, tetapi menjadi alat untuk meneruskan kelangsungan kuasa Pakatan Harapan. Bagi kita dan sebahagian besar orang Melayu, inilah pengakhiran hayat UMNO. It is the final nail in UMNO’s coffin.
71. Tetapi jatuh bangun UMNO itu bukan masalah kita. Yang kita bimbang ialah masa depan orang Melayu dan umat Islam di negara ini. Semakin lama mereka dibiarkan berkuasa, semakin banyak kerosakan yang akan dibuat yang mungkin sukar untuk diperbaiki lagi.
72. Dengan kuasa yang ada, mereka mungkin akan mengubah persempadanan kawasan pilihan raya untuk mengekalkan kuasa politik mereka buat selama-lamanya. UMNO pula akan mengikut sahaja kehendak penguasa politik mereka di dalam Pakatan Harapan demi survival kelompok kecil mereka.
73. Itulah sebabnya BERSATU memutuskan untuk keluar dari Pakatan Harapan. Itulah juga sebabnya PAS membuat keputusan untuk keluar dari Pakatan Rakyat. Perjuangan mereka berbeza dengan perjuangan kita. Tetapi malangnya UMNO, hanya kerana kepentingan seorang individu, rela menggadai perjuangan partinya sendiri untuk orang Melayu.
74. Namun, saya percaya orang Melayu sedar tentang percaturan politik kotor yang sedang berlaku di depan mata mereka. Orang Melayu semakin celik politik. Mereka tidak boleh dipermainkan. Mereka tahu Sang Penguasa di Putrajaya hanya berminat untuk bergayut di talian hayat kuasa, tanpa ada usaha yang bersungguh-sungguh untuk membela nasib rakyat.
75. Masakan tidak. Ketika harga ayam mahal, mereka dengan senang berkata, jangan makan ayam. Ketika harga telur mahal, mereka kata jangan makan telur. Ketika rakyat tiada wang untuk membiayai perbelanjaan harian dan membayar hutang, mereka kata pinjamlah dengan bank.
76. Inikah kerajaan yang dimahukan oleh rakyat? Inikah jenis pemimpin yang membela nasib rakyat? Jauh panggang dari api!
77. Mereka melakukan pemangsaan politik ke atas saya untuk membunuh BERSATU, tetapi sebenarnya merekalah yang akan terbunuh. Pilihan raya di enam negeri nanti akan menjadi medan yang menyaksikan penolakan besar-besaran orang Melayu terhadap Barisan Nasional dan Pakatan Harapan. Mereka telah mensia-siakan mandat rakyat. Mereka telah gagal membela nasib rakyat.
78. Kerana itu, ahli-ahli BERSATU tidak boleh lemah semangat. Kita sedang menuju ke medan perang di mana kemenangan sedang menanti kita. Kita mungkin terpaksa bergolok bergadai untuk menghadapi pilihan raya. Mereka pula pastinya akan menggunakan segala kuasa yang ada untuk menindas kita dengan rakus.
79. Bersedialah. Kebebasan media akan disekat. Kebebasan bersuara akan dikekang. Kebebasan berhimpun akan dihalang. Jangan terkejut jika ada pengguna tik tok yang akan ditahan. Pengulas di media sosial akan ditekan. Kerana itulah cara mereka. Semasa tiada kuasa kuat memfitnah. Apabila sudah ada kuasa rakus menindas.
80. Tetapi yakinlah. Kemenangan pasti milik kita, insyaAllah.
Patah sayap bertongkat paruh
Patah paruh bertongkat siku
Patah siku bertongkat dagu
Patah dagu bertongkat kuku
81. Inilah azimat orang berjuang. Dengan azimat ini, kumpulan yang kecil dan tertindas pun boleh mencapai kemenangan asalkan mereka bersabar. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 249:
فَلَمَّا فَصَلَ طَالُوتُ بِٱلْجُنُودِ قَالَ إِنَّ ٱللَّهَ مُبْتَلِيكُم بِنَهَرٍۢ فَمَن شَرِبَ مِنْهُ فَلَيْسَ مِنِّى وَمَن لَّمْ يَطْعَمْهُ فَإِنَّهُۥ مِنِّىٓ إِلَّا مَنِ ٱغْتَرَفَ غُرْفَةًۢ بِيَدِهِۦ ۚ فَشَرِبُوا۟ مِنْهُ إِلَّا قَلِيلًۭا مِّنْهُمْ ۚ فَلَمَّا جَاوَزَهُۥ هُوَ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مَعَهُۥ قَالُوا۟ لَا طَاقَةَ لَنَا ٱلْيَوْمَ بِجَالُوتَ وَجُنُودِهِۦ ۚ قَالَ ٱلَّذِينَ يَظُنُّونَ أَنَّهُم مُّلَـٰقُوا۟ ٱللَّهِ كَم مِّن فِئَةٍۢ قَلِيلَةٍ غَلَبَتْ فِئَةًۭ كَثِيرَةًۢ بِإِذْنِ ٱللَّهِ ۗ وَٱللَّهُ مَعَ ٱلصَّـٰبِرِينَ
82. Yang bermaksud: Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar. PENUTUP Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,
83. Perjalanan kita di dalam wadah BERSATU ini penuh ranjau dan duri. Telah banyak liku dan lurah yang kita lalui. Kadangkala langkah kita tetusuk duri. Kadangkala kita jatuh, bangun dan jatuh lagi.
84. Inilah adat orang berjuang. Kita berada di dalam wadah perjuangan parti kita ini atas pilihan kita sendiri. Atas kesedaran kita untuk menyumbang kepada agama, bangsa dan tanah air yang tercinta.
85. Ya, perjuangan itu menuntut pengorbanan yang bukan sedikit. Bukan setakat masa, harta dan tenaga, tetapi juga seluruh jiwa dan raga kita. Apabila kita memilih untuk berada di landasan perjuangan ini, kita mesti bersedia untuk membayar harga yang mahal bagi sebuah perjuangan.
86. Saya diheret ke mahkamah bukan kerana saya mengambil wang rasuah untuk diri saya, tetapi kerana parti menerima sumbangan dana politik. Saya tidak melakukan apa-apa kesalahan. Saya berdoa kepada Allah SWT semoga keadilan akan berpihak kepada saya dan wadah BERSATU ini akan sentiasa dipelihara oleh-Nya.
Wabillahi al-taufiq wal-hidayah wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.
Tan Sri Muhyiddin Yassin
Presiden Bersatu
Pengerusi Perikatan Nasional.