
Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat.
MESYUARAT KETIGA SIDANG PARLIMEN KE-15
12 OKTOBER 2023
RUU SURUHANJAYA PERKHIDMATAN AIR NEGARA (PINDAAN) 2023 (BACAAN KALI KEDUA)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Tuan Yang Dipertua,
Kemiskinan Air sebagai Kayu Ukur Penambahbaikan Akses Bekalan Air
Saya ingin menarik perhatian Dewan yang mulia ini kepada statistik Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) setakat 2020, yang menunjukkan kira-kira 96.9% populasi rakyat Malaysia di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan menikmati bekalan air bersih dan dirawat.
Namun, secara perbandingannya, daripada jumlah tersebut, hanya 71.7% daripada 1.7 juta penduduk Kelantan mendapat akses bekalan air bersih dan berkualiti menjadikan negeri itu mempunyai peratusan terendah kepada akses air bersih.
Masalah bekalan air juga membelenggu penduduk Malaysia di negeri lain. Malah insiden gangguan bekalan air kerap berlaku di negeri yang dianggap maju. Beberapa hari lepas, rakyat di sekitar Selangor dan Lembah Klang terpaksa ‘menderita’ apabila sekali lagi berlaku gangguan bekalan air akibat pencemaran bau di Sungai Selangor.
Insiden kekurangan dan gangguan bekalan air biasa berlaku akibat peningkatan penduduk dan keperluan industri, namun apakah persediaan dan tindakan proaktif segera Kerajaan Pusat untuk menjamin bahawa rakyat tidak terus berhadapan dengan isu ini. Apakah pula pelan jangka panjang Kerajaan dalam memastikan akses kepada bekalan air bersih dan terawat ini tidak menjadi masalah yang terus menghantui penduduk dan industri di kawasan-kawasan terjejas.
Bagi saya, pindaan yang hendak dilakukan ini merupakan usaha ke arah mengurangkan karenah birokrasi, namun tumpuan perlu diberikan kepada cara menambah baik kecekapan pengurusan air dan liputan kemudahan bekalan air kepada segenap lapisan masyarakat, tanpa memberikan layanan yang berbeza di antara negeri.
Kerajaan Pusat haruslah bersikap adil dalam soal penyediaan utiliti asas secara cekap dan berterusan kerana setiap rakyat Malaysia berhak mendapat bekalan air bersih untuk menjalani kehidupan yang selesa.
Dalam konteks ini, saya menggesa Kerajaan Pusat melihat kayu ukur kemiskinan dari perspektif yang lebih luas.
Sejak sekian lama negara mengukur kemiskinan dengan menggunakan garis pendapatan tanpa mengira akses air bersih sebagai salah satu indikator kemiskinan seperti takrifan Bank Dunia. Apa gunanya jika rakyat mendapat bantuan wang semata-mata, tetapi dinafikan hak asasi untuk mendapat bekalan air bersih dan terawat.
Jika Kerajaan dapat meningkatkan dan mengoptimumkan kemampuan data raya (big data) berdasarkan kepada kayu ukur kemiskinan air ini, maka usaha menambah baik akses bekalan air akan dapat dilakukan dengan lebih cekap dan teratur.
Ini seharusnya menjadi anjakan fungsi SPAN sebagai sebuah entiti yang bertanggungjawab menjamin akses bekalan air yang menyeluruh, berkualiti dan selamat buat semua pengguna.
Tuan Yang DiPertua,
SPAN telah ditubuhkan hampir 17 tahun, tetapi realitinya masalah bekalan air bersih di negara kita masih membelenggu ramai dalam kalangan rakyat, sama ada di bandar mahupun di luar bandar. Pada hakikatnya, akses kepada bekalan air bersih tidak boleh menjadi suatu ‘kemewahan’ kepada mana-mana pihak.
Secara purata, penggunaan air per kapita harian oleh rakyat di Malaysia adalah tinggi iaitu, purata 201 liter setiap orang sehari berbanding 165 liter mengikut saranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Peningkatan ketara jumlah pengguna harian dan pihak industri tentunya memberikan cabaran besar kepada kerajaan negeri untuk menampung kapasiti penggunaan air di sebalik keterbatasan kewangan kerajaan negeri.
Justeru, aspek pengurusan sumber air dan bekalan air terawat tidak wajar dipolitikkan kerana ia adalah hak setiap warga Malaysia untuk mendapat bekalan air bersih.
Tuan Yang DiPertua,
Aspek pengurusan bekalan air
Kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini telah menggariskan strategi komprehensif bagi memastikan sumber air sentiasa diurus dengan baik, selamat dan terjamin demi generasi akan datang. Ini termasuk komitmen untuk mengangkat agenda mentransformasi sektor air menerusi Pelan Transformasi Sektor Air 2040 (WST 2040).
Bagi memastikan keberkesanan pengurusan sumber air, sistem pemantauan bersepadu antara Kerajaan Pusat dan Negeri perlu diperkasakan. Sebagai usaha memastikan kelestarian sumber air, kerajaan menerusi kerjasama SPAN harus mempergiat proses pembesaran dan menaik taraf loji-loji air di seluruh negara.
Penstrukturan semula industri perkhidmatan air negara dapat memastikan pengoperasian loji rawatan air dan pengagihan air yang lancar tanpa gangguan.
Melalui pemantauan berterusan, punca bekalan air kerap terputus dan sumber air mentah yang tercemar dapat dikenal pasti segera, sekaligus mengurangkan insiden pencemaran. Tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang disabitkan kesalahan mencemari sistem bekalan air menerusi pindaan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.
Pada masa sama, kadar air tidak terhasil (NRW) perlu diberi penekanan khusus. Ini kerana secara puratanya sebanyak 37.2% NRW atau hampir 7 juta liter sehari dibazirkan dengan anggaran kerugian mencecah RM2 bilion setahun.
Saya menggesa kerajaan segera mencari penyelesaian menang-menang untuk mengatasi masalah ini. Saya berharap melalui penambahbaikan fungsi SPAN di bawah pindaan ini akan diterjemahkan dalam peningkatan kualiti pengurusan bekalan air serta kelestarian sumber air di dalam negara.
Tan Sri Muhyiddin Yassin
Ahli Parlimen Pagoh
*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.
Berita tepat dan menyeluruh.