
Kenyataan Pemangku Ketua Bahagian Bersatu Kepala Batas
Baru-baru ini, saya telah terbaca rencana bertajuk “Muhyiddin’s acquittal deviates from legal norms: lawyers” yang disiarkan oleh portal berita yang dikenali sebagai “SCOOP” pada 1 Oktober 2023. Saya merasakan komentar peguam dalam rencana tersebut telah disusun untuk menghakis keputusan Hakim Mahkamah Tinggi yang membebaskan Tan Sri Muhyiddin Yasin(“TSMY”). Saya kemukakan alasan saya dibawah ini.
Saya berpendapat bahawa Hakim Mahkamah Tinggi Dato’ Muhammad Jamil bin Hussin telah secara betul dan tepat melepaskan dan membebaskan TSMY daripada empat pertuduhan salah guna kuasa yang dikenakan terhadap beliau pada 10 Mac 2023 kerana pertuduhan-pertuduhan tersebut bukan sahaja cacat kerana kekurangan butiran material, tetapi juga kerana pertuduhan-pertuduhan tersebut tidak mendedahkan sebarang kesalahan yang diketahui undang-undang (‘disclose no offence known to law’), iaitu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia sebagai sebuah pertubuhan yang didaftarkan di bawah Seksyen 7 Akta Pertubuhan 1966 tidak boleh ditafsirkan sebagai “sekutu” bagitujuan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Dalam keadaan sedemikian, tiada sebarang bukti dalam apa jua bentuk yang boleh dikemukakan oleh pihak Pendakwaan untuk membaiki atau membetulkan pertuduhan cacat tersebut. Oleh itu, adalah sangat tidak adil dan jelas tidak wajar untuk membuat TSMY menghadapi perbicaraan di mana pihak Pendakwaan pasti akan gagal dari permulaannya.
Keputusan yang dibuat oleh Hakim Dato’ Muhammad Jamil dalam kes ini bukan sahaja berdasarkan logik tetapi juga selaras dengan prinsip undang-undang yang lazim seperti yang dinyatakan oleh Mahkamah Atasan (‘Superior Courts’) dalam beberapa kes terkenal seperti Karpal Singh & Anor v Public Prosecutor [1991] 2 MLJ 544, Abdul Azeez bin Abdul Rahim lwn Pendakwa Raya [2022] 6 MLJ 909 dan Anuar bin Ghazali v Public Prosecutor [2021] 9MLJ 409.
Perlu diingati bahawa sebarang prosiding jenayah yang tidak dimulakan mengikut undang-undang seperti yang dikehendaki oleh Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan bukan sahaja akan menyebabkan kerosakan besar ke atas kehidupan individu yang terlibat tetapi juga akan membawa kepada pembaziran besar yang tidak perlu ke atas kewangan negara kita. Perkara initelah diperjelaskan sendiri oleh Ketua Hakim Negara kita, YAA Tun Tengku Maimun binti Tuan Mat, dalam kes Sundra Rajoo Nadarajah lwn Menteri Luar Negeri, Malaysia & Ors [2021] 5 MLJ 209.
Khaliq Mehtab
Pemangku Ketua Bahagian Bersatu
Kepala Batas, Penang
*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.
Berita tepat dan menyeluruh.