Persoalan sama ada memadai menggunakan surat majikan dan kementerian berkaitan atau masih perlu mendapatkan kebenaran polis bagi tujuan rentas negeri dan daerah untuk sektor ekonomi dibenarkan mulai esok hingga 6 Jun, masih dalam perbincangan.
Bagi pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), mereka dilaporkan sedang mengemas kini prosedur operasi standard (SOP) pergerakan rentas negeri dan daerah sama ada memadai menggunakan surat majikan dan kementerian atau perlu mendapatkan kebenaran polis.
Ia susulan keputusan kerajaan melarang pergerakan rentas negeri dan daerah di seluruh negara tanpa kebenaran polis bermula esok hingga 6 Jun depan.
Memetik kenyataan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar yang dilaporkan BHOnline, SOP yang dikemas kini termasuk keperluan kebenaran daripada polis.
“Kerajaan umum pergerakan negeri dan daerah mulai esok hingga awal Jun ini di seluruh negara perlu ada kebenaran polis.
“Kita sedang bincang SOP perkara itu, kerana arahan baru dikeluarkan semalam. Persoalan sama ada memadai guna surat majikan dan MITI untuk aktiviti itu antara perkara dibangkitkan,” katanya hari ini.
Mengikut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), pergerakan rentas daerah dan negeri dari dan ke kawasan PKP untuk tujuan kerja dibenarkan dengan surat kebenaran yang diluluskan oleh kementerian atau agensi yang berkaitan berserta dengan pas pekerja atau surat pengesahan majikan.
Syarikat dibenar beroperasi dan mengikut SOP yangditeyapkan MKN. Bagi sektor di bawah Miti dan KPDNHEP, operasi disokong kelulusan Miti dan bagi sektor lain kelulusan adalah mengikut kementerian masing-masing.
Syarikat boleh membenarkan hanya 30 peratus pekerja kumpulan pengurusan di kawasan PKP, namun tiada sekatan kapasiti kehadiran bagi pekerja bukan pengurusan.
SOP-AM-PKP-Kemaskini-7-Mei-2021-FINAL
SOP-PKP-Selangor-Kemaskini-7-Mei-2021 (1)
SOP-PKP-Kelantan-Kemaskini-7-Mei-2021
Mengenai individu merentas negeri dan daerah tanpa surat kebenaran, Abd Rahim berkata, pihaknya masih menggunakan budi bicara dengan mengarahkan pengguna jalan raya berkaitan berpatah balik.
Bagaimanapun, katanya, polis akan terus kompaun mereka yang masih berkeras dan berdegil ‘curi-curi’ rentas kawasan terbabit.
“Saya tiada maklumat berapa banyak individu diarah berpatah balik atau dikompaun kerana kesalahan itu berlaku baru-baru ini.
“Namun, saya ada terima laporan banyak kenderaan diminta berpatah balik ketika melalui jalan raya utama untuk memasuki Kelantan, semalam.
Media melaporkan sebanyak 500 kenderaan diarahkan berpatah balik hingga petang semalam, ketika melalui tiga sekatan jalan raya utama untuk memasuki Kelantan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat dipetik berkata, selain tiada surat kebenaran rentas negeri, pengguna jalan raya juga memberi alasan tidak munasabah.