Arahan melarang balik kampung nampaknya tidak dihiraukan orang ramai, malahan menjelang Aidilfitri kurang beberapa hari lagi jumlah kenderaan dari luar yang masuk ke Kelantan semakin naik walaupun negeri itu sedang teruk dilanda Covid-19.
Peningkatan sebanyak lima peratus itu dikesan hasil maklumat diperoleh menerusi sekatan jalan raya (SJR) yang sedang dikuatkuasakan di semua pintu masuk utama negeri ini, kata Ketua Polis negeri, Datuk Shafien Mamat.
“Bagi memastikan tiada pihak yang cuba mengambil kesempatan merentas negeri mahu pun daerah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, Polis Kelantan akan mewujudkan pasukan pemantau khas.
“Pasukan itu akan memantau aktiviti orang ramai dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan SOP dalam kalangan masyarakat tanpa mengira siapa terus dipatuhi,” katanya dipetik dalam laporan Utusan Malaysia hari ini.
Dalam pada itu, Shafien berkata polis akan menambah lima SJR di tiga daerah iaitu Kota Bharu, Tumpat dan Pasir Mas bagi mengelak orang ramai beraya merentas daerah.
Shafien turut memberitahu, hari ini sebanyak 75 kenderaan diarah berpatah balik selepas cuba memasuki negeri ini namun gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah selain memberi alasan yang tidak munasabah.