Hukuman penjara sebulan tidak mencukupi kerana Datuk Lokman Noor Adam melakukan kesalahan yang dianggap serius kerana menghina mahkamah, kata pasukan pendakwaan.
Sebaliknya, pihak pendakwa raya yang mengendalikan kes Lokman menghina mahkamah berhubung kenyataannya dalam kes rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) semasa berhujah hari ini berkata sekurang-kurangnya bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu dikenakan hukuman penjara tiga bulan.
Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, hukuman tersebut perlu ditingkatkan kerana perlu memelihara maruah institusi kehakiman negara daripada dicemari dengan tohmahan seperti dilakukan Lokman selepas ini, menurut laporan Malaysiakini.
Lokman hari ini dibicarakan bersabit kes rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 Julai tahun lalu yang menjatuhkan hukuman penjara sebulan ke atas Lokman kerana menghina mahkamah.
Permohonan pihak pendakwaan adalah mengenai dakwaan ugutan Lokman ke atas bekas pegawai khas Najib, Amhari Effendi Nazaruddin, yang merupakan saksi pendakwaan kelapan dalam perbicaraan rasuah 1MDB melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan oleh pasukan peguam Lokman untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuannya untuk membatalkan hukuman penjara itu.
Pihak pendakwaan pula kebetulan membuat rayuan bagi meningkatkan hukuman.
Kes penghinaan mahkamah dilakukan oleh pemimpin UMNO tersebut bukan kali pertama berlaku, sebelum ini Lokman diberi amaran terakhir selepas mendapati beliau bersalah menghina mahkamah kerana menyebut perkataan ‘bodoh’ semasa perbicaraan kes Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membabitkan Yayasan Akalbudi.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah Sebelum mengeluarkan amaran itu, Hakim Datuk Collin Sequerah memberi peluang kepada Lokman, 49, untuk membersihkan penghinaan itu dengan memohon maaf tanpa sebarang syarat.
“Isu yang timbul adalah perkara serius. Lokman sudah memohon maaf kepada mahkamah. Ini amaran terakhir dan tiada tindakan lanjut akan diambil terhadap Lokman,” katanya.
Lokman membuat permohonan maaf itu dari kandang saksi kepada semua pihak yang berkenaan.
“Saya mohon maaf secara suci hati tanpa sebarang syarat kepada pihak Yang Arif, mahkamah dan semua pihak terlibat dan saya berjanji perkara ini tidak akan berulang lagi.”