‘Mencurah wang’ daripada syarikat berkait Jho Low masuk akaun Najib

September 28, 2022 · Isu semasa

Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini berbilion wang masuk dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak, dianggarkan kira-kira sebanyak RM2.23 bilion.

Dua syarikat dikenalpasti dikaitkan dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low iaitu Blackstone Asia Real Estate Partners dan Tanore Finance Corp. memasukkan sejumlah RM2.17 bilion ke akaun bekas Perdana Menteri itu sekitar 2012 dan 2013, menurut laporan Utusan Malaysia.

Pendedahan itu diberitahu Ketua Pasaran Modal Perbankan Persendirian Ambank, Yap Wai Keat, 57, sebagai saksi pendakwaan ke-38 semasa prosiding perbicaraan hari ini.

Menurut saksi tersebut, Tanore Finance Corp. mendepositkan sejumlah RM2.08 bilion ke dalam akaun Najib melalui sembilan transaksi manakala Blackstone memasukkan sebanyak RM90.89 juta.

Tanore ialah syarikat yang dikawal oleh sekutu perniagaan Jho Low, iaitu Eric Tan Kim Loong.

Wai Keat berkata, sejumlah RM60.6 juta didepositkan ke dalam akaun Najib oleh kerabat Diraja Arab Saudi, Putera Faisal Turkey Bandar Al Saud melalui dua transaksi pada Februari dan Jun 2011.

Saksi berkenaan menyatakan demikian ketika membacakan pernyataan saksi pada pemeriksaan utama yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalam.

Pada perbicaraan itu, Wai Keat berkata, maklumat berhubung wang yang akan dipindahkan disampaikan oleh Bahagian Kiriman Wang Ambank dan Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu bagi membolehkan maklumat itu dipanjangkan kepada Najib.

Ujar saksi, Joanna mengarahkannya melaksanakan penukaran wang daripada USD kepada MYR selepas mendapat kelulusan daripada pelanggan.

“Selepas itu, jabatan saya memasukkan data yang berkaitan ke dalam sistem yang dikenali MUREX di mana penukaran dilakukan mengikut kadar yang dipersetujui seperti dalam kontrak.

“Kemudian, jabatan saya menghubungi Bahagian Kiriman Wang dan memaklumkan nombor kontrak dan kadar pertukaran.

“Dalam hal ini, jabatan saya bertindak mengikut arahan seperti yang diarahkan oleh Joanna selepas menerima arahan daripada pelanggan,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Wai Keat memberi keterangan pada perbicaraan terhadap Najib, 69, atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Najib berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM 5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Berita berkaitan
Langkah Zafrul cuba perbetulkan fakta afidavit Zahid gagal, mahkamah tolak
May 2, 2024· Isu semasa
Kes stoking: Pengarah KK Mart dan isteri kemuka representasi kepada AGS
April 29, 2024· Isu semasa
Chegu Bard berdepan dua tuduhan Akta Hasutan berhubung isu KK Mart
April 29, 2024· Isu semasa
Kes saman fitnah Zahid terhadap Muhyiddin selesai secara baik
April 26, 2024· Politik
Popular
110,000 pesakit berisiko kumpulan pertama dirawat guna Paxlovid
March 5, 2022
Tiada Ketua Polis Daerah di Selangor suspek kes dera
September 9, 2022
Punca penderaan di taska meningkat
April 24, 2022
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024
Lagi Isu semasa terkini
Setahun lebih Anwar jadi PM, kebebasan media jatuh ke tempat 107
17 jam lalu · Isu semasa
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok