110,000 pesakit berisiko kumpulan pertama dirawat guna Paxlovid

Seramai 110,000 pesakit Covid-19 berisiko tinggi akan menjadi kumpulan pertama diberikan ubat antiviral Paxlovid keluaran Pfizer dijangka diperoleh dalam tempoh dua minggu lagi.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata bagi perolehan fasa pertama ubat antiviral itu, Malaysia telah membelinya untuk 110,000 pesakit, bagi diberikan kepada individu berisiko tinggi.

“Kalau kita dapati penggunaan ubat ini berkesan seperti maklumat yang telah kita terima, kita akan tambah pembelian ubat ini, Paxlovid daripada Pfizer.

“Ada dua lagi yang kita akan beli (iaitu) Molnupiravir dan satu lagi daripada AstraZeneca, tetapi belum dimuktamadkan,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Sementara itu, Khairy ketika menyampaikan ucapan perasmian turut mencadangkan satu ciri baharu di aplikasi MySejahtera, yang membolehkan orang ramai berikrar untuk menjadi penderma organ.

Beliau berkata usaha itu perlu memandangkan negara kini berhadapan peningkatan pesakit penyakit buah pinggang kronik, manakala jumlah individu yang berikrar sebagai penderma organ semakin berkurang, malah Malaysia antara yang terendah di dunia.

“Saya akan cuba yang terbaik bagi dapatkan ikrar dan menjadikan ia lebih mudah untuk orang ramai ikrar untuk dermakan organ mereka…Saya sedang cuba untuk MySejahtera menambah ‘butang’ supaya hanya dengan menekan butang tersebut dan berikrar menjadi menderma organ,” katanya.

Beliau berkata pada 2016, lebih 40,000 pesakit penyakit buah pinggang kronik yang bergantung kepada rawatan dialisis, dan berdasarkan unjuran sekiranya tren ini tidak dikurangkan, jumlah pesakit itu dijangka meningkat kepada 100,000 pesakit.

Khairy berkata langkah pencegahan dan pengesanan penyakit kronik menerusi saringan kesihatan juga perlu dibudayakan, oleh itu kerajaan telah melaksanakan Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) bagi membantu golongan itu membuat saringan kesihatan secara percuma.

Namun, beliau berkata daripada 5 juta individu yang layak menjalani saringan kesihatan di bawah PeKa B40, kurang 12 peratus individu telah membuat saringan kesihatan.

BERITA BERKAIT
POPULAR