Selebriti sensasi Noor Neelofa Mohd. Noor didakwa membelanjakan RM10,000 ketika mengunjungi sebuah premis menjual permaidani di Pusat Perniagaan Nilai 3, Nilai, Ahad lalu.
Seorang pekerja kedai berkenaan yang dikenali sebagai Hussein berkata, memang selebriti terkenal itu datang bersama suaminya untuk membeli permaidani di premis mereka.
“Neelofa dengan suami ada datang ke kedai dan membeli beberapa karpet termasuk karpet Iran yang berkualiti tinggi dan karpet jenis lain yang semuanya berharga RM10,000.
“Harga bagi satu karpet Iran ini sahaja ialah RM3,000 dan Neelofa beli dalam dua atau tiga gulung,” katanya memetik laporan Utusan Malaysia hari ini.
Kedai karpet yang dikunjungi oleh Neelofa, 32, dan suaminya Muhammad Haris Mohd. Ismail itu dikenali sebagai ‘Naeem Carpet’ yang mempunyai lebih kurang lima buah cawangan di sekitar Nilai 3.
Cawangan yang menjadi pilihan pasangan suami isteri itu merupakan kedai yang berada di Lot 122-124.
Hussein berkata, tindakan Neelofa membeli karpet di Nilai 3 dan penularan gambar serta video mereka menyebabkan nama ‘Naeem Carpet’ telah dikenali dan terkenal di seluruh Malaysia.
“Tapi tindakan dia (Neelofa) telah menimbulkan masalah dan polis telah datang ke kedai pagi semalam untuk ambil keterangan,” katanya.
Dalam pada itu, Hussein memberitahu, pada hujung minggu lalu kedai karpet tersebut dikunjungi ramai orang dan jualan berjalan seperti biasa selepas isu Neelofa merentas negeri untuk membeli karpet di premis mereka tular.
Terdahulu, polis pada 4 Mei lalu, telah memanggil Neelofa dan suaminya untuk diambil keterangan susulan tular gambar dan video mereka di media sosial yang dikatakan berada di sebuah premis menjual permaidani di Nilai.
Keterangan di ambil oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata,selain keterangan pasangan itu, polis juga telah mengambil keterangan pemilik premis serta pembantu kedai permaidani.
Neelofa dan suaminya didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) apabila dikatakan merentas negeri ke Nilai pada Ahad lalu.
Sebelum ini, Neelofa tampil memohon maaf secara terbuka berhubung dakwaan melanggar SOP pada majlis perkahwinan dan kunjungannya ke Langkawi, Kedah bersama Muhammad Haris.
Dalam pada itu, Mohd Fazley berkata, siasatan terhadap pasangan terbabit dijalankan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).