Polis membuka 12 kertas siasatan berhubung penularan berita tidak benar yang mempunyai kaitan dengan wabak Covid-19 atau proklamasi darurat 2021.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, semua kertas siasatan itu dibuka menurut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No 2) 2021 sejak dikuatkuasakan pada 12 Mac 2021.
Katanya, siasatan dijalankan oleh unit siasatan jenayah terkelas, bahagian pendakwaan dan undang-undang JSJ Bukit Aman.
“Terkini satu kertas siasatan telah dibuka dan siasatan sedang dijalankan berhubung kenyataan Facebook yang telah dikeluarkan oleh penama ‘Muhammad Fahmi Abdullah’ yang dikesan pada 3 Mei 2021, mengenai pesawat penerbangan MH191 dari New Delhi, India yang dikatakan membawa masuk penumpang ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur,” katanya.
Huzir berkata, polis juga menjalankan siasata terhadap pemilik akaun Facebook ‘Wan Hilmi Wan Mohd Nor Hilmi’ di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana membuat hantara yang mengandungi kenyataan jelikserta mengaibkan kerajaan.
“Kedua-dua hantaran tersebut selepas kerajaan mengeluarkan arahan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara pada 28 April 2021 yang melaksanakan sekatan sementara penerbangan penumpang keluar masuk dari negara India,” katanya.
Beliau berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh pemilik-pemilik akaun Facebook itu adalah berita tidak benar dan boleh menimbulkan kegusaran serta kebimbangan orang ramai berhubung langkah yang diambil oleh kerajaan dalam usaha mengekang penularan Covid-19.