Saman Najib ‘adalah serangan kolateral’ terhadap kes berkaitan 1MDB

September 10, 2022 · Isu semasa

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa saman Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas atas dakwaan menyalahgunakan kuasa dalam empat kes beliau membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sedang berjalan adalah satu ‘serangan kolateral.’

Peguam Alan Adrian Gomez, yang mewakili Thomas, berkata saman Najib ialah suatu penyalahgunaan proses mahkamah dan tidak boleh dipercayai kerana keempat-empat perbicaraan kes jenayah tersebut adalah prosiding yang boleh menghasilkan keputusan memihak kepada bekas Perdana Menteri itu, lapor Bernama.

“Alasan yang menyokong permohonan itu atau tuntutan utama terhadap anak guam saya adalah melampau, remeh, menyusahkan dan merupakan satu penyalahgunaan proses mahkamah.

“Plaintif tidak mempunyai kausa tindakan yang munasabah terhadap defendan dan tidak dapat dipertahan serta harus dibatalkan,” katanya pada prosiding pendengaran permohonan Thomas untuk membatalkan saman Najib.

Beliau berhujah unsur-unsur tindakan melulu dan salah guna dalam tuntutan membabitkan misfeasans memerlukan penentuan sama ada Thomas, ketika mengenakan pertuduhan, telah menyalahgunakan kuasanya atau bertindak melulu atau acuh tak acuh sekiranya tindakan sedemikian boleh menjejaskan Najib.

Gomez juga berhujah bahawa jika Najib berpendapat pertuduhan bagi kes 1MDB terhadapnya adalah salah, Ahli Parlimen Pekan itu sepatutnya memulakan prosiding semakan kehakiman untuk membatalkannya dan merujuk proses yang digunakan oleh bekas Pengarah Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) Datuk Profesor Dr N. Sundra Rajoo dalam satu kes lain.

Peguam itu berkata Najib belum dibebaskan daripada perbicaraan bagi salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB, perbicaraan membabitkan laporan audit 1MDB, perbicaraan membabitkan RM6.6 bilion dana International Petroleum Investment Co serta perbicaraan pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta dana SRC International Sdn Bhd oleh itu, beliau tidak boleh mengemukakan tindakan sivil ini.

Peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, yang mewakili Najib, pula berkata hujah Thomas tidak menjawab saman yang difailkan terhadap beliau sebaliknya adalah percubaan untuk mengalih perhatian mahkamah kepada pertuduhan jenayah yang dihadapi oleh ahli politik itu.

Firoz Hussein berkata pernyataan tuntutan Najib terhadap tindakan ini tidak memplid sebarang fakta berkaitan kesalahan atau ketidakbersalahan beliau dalam kes kesemua jenayah itu.

“Sebaliknya, fakta yang diplid berkisar tentang bagaimana defendan merancang pertuduhan terhadap Datuk Seri Najib sejak 2012 dan semasa berbuat demikian, beliau turut melobi untuk menjadi Peguam Negara sekiranya berlaku perubahan dalam kerajaan.

“Thomas telah campur tangan serta mempengaruhi siasatan terhadap Datuk Seri Najib dan selepas pertuduhan dikenakan ke atas anak guam saya, beliau (Thomas) secara konsisten membuat kenyataan umum mengenai Najib. Beliau melakukan perkara ini melalui kenyataan media dan buku yang ditulisnya iaitu My Story: Justice In The Wilderness,” katanya.

Beliau mendakwa Thomas juga turut menyembunyikan bukti yang boleh membantu pembelaan Najib dalam keempat-empat kes jenayah itu.

Pada 22 Okt 2021, Najib memfailkan saman tersebut yang mendakwa pertuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada langkah yang dirancang lebih awal oleh Thomas dan ia selari dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

Najib, 69, mendakwa beliau telah dituduh secara salah di mahkamah dalam kes yang membabitkan 1MDB, International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 serta pengubahan wang haram di bawah Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Beliau memohon satu deklarasi bahawa Thomas telah melakukan misfeasans dalam jawatan awam dan ganti rugi RM1.9 juta termasuk fi rundingan untuk pasukan audit bagi menyemak dokumentasi dalam penyediaan fakta untuk menangani pendakwaan terhadapnya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Bache bersambung pada 21 Okt ini.

Berita berkaitan
Langkah Zafrul cuba perbetulkan fakta afidavit Zahid gagal, mahkamah tolak
May 2, 2024· Isu semasa
Kes stoking: Pengarah KK Mart dan isteri kemuka representasi kepada AGS
April 29, 2024· Isu semasa
Chegu Bard berdepan dua tuduhan Akta Hasutan berhubung isu KK Mart
April 29, 2024· Isu semasa
Kes saman fitnah Zahid terhadap Muhyiddin selesai secara baik
April 26, 2024· Politik
Popular
Setahun lebih Anwar jadi PM, kebebasan media jatuh ke tempat 107
May 3, 2024
Pfizer: Kaedah untuk remaja 12 tahun ke atas diputuskan minggu ini
June 21, 2021
47 kematian, kes aktif naik semula
November 24, 2021
Menteri bidas tindakan bekas pemain badminton negara keluar kata-kata perkauman
February 13, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Setahun lebih Anwar jadi PM, kebebasan media jatuh ke tempat 107
6 jam lalu · Isu semasa
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok