Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan saman bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh terhadap bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan atas alasan terdapat isu teknikal dalam kes itu, lapor Bernama.
Saman itu adalah berhubung kenyataan Musa yang didakwa berbaur fitnah semasa beliau berucap dalam satu forum di Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 30 Jan tahun lepas.
Peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, yang mewakili Musa, ketika dihubungi berkata Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff membatalkan saman itu selepas mendapati Yeoh gagal mematuhi arahan mahkamah berkaitan pemfailan beberapa dokumen praperbicaraan.
“Perintah pembatalan ini dibuat tanpa kos dengan kebebasan untuk plaintif memfailkan semula saman,” katanya selepas pengurusan kes secara dalam talian (e-Review) di hadapan Rozana.
Bernama melaporkan Peguam Lim Wei Jiet, yang mewakili Yeoh, pula berkata plaintif tidak dapat memfailkan beberapa dokumen kerana ia memerlukan persetujuan daripada peguam defendan dan meskipun kesemua dokumen sudah dihantar namun persetujuan itu belum diperoleh.
“Peguam defendan terpaksa menguruskan kecemasan peribadi beberapa hari lepas, yang menjadikan lebih sukar untuk memperoleh persetujuan itu. Malangnya, hakim tidak menerima penjelasan ini dan membuat keputusan seperti itu.
“Kes ini telah dibatalkan namun hanya atas alasan teknikal. Kami mendapat arahan untuk memfailkannya semua secepat mungkin dan tetap akan meneruskan saman fitnah terhadap Musa,” katanya.
Beliau kemudian memaklumkan pemberita bahawa saman itu telah difailkan semula hari ini dan sedang menanti mahkamah menetapkan tarikh baharu bagi pengurusan kes.
Berdasarkan tuntutan saman yang difailkan pada 3 Julai 2020, Yeoh mendakwa Musa memberi ucapan pada forum bertajuk “Wacana Isu Semasa Perjanjian Damai Hat Yai 1989: PKM Menyerah Diri?”