Kerajaan pertimbang laksana subsidi lebih bersasar: MoF

August 23, 2022 · Isu semasa

Kerajaan akan mempertimbangkan pelaksanaan mekanisme subsidi secara lebih bersasar supaya manfaatnya ditumpukan kepada golongan yang benar-benar memerlukan bantuan.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata inisiatif pembaharuan fiskal ini akan mengukuhkan kedudukan kewangan kerajaan di samping mewujudkan ruang fiskal, menurut laporan Bernama.

“Inisiatif pembaharuan fiskal ini bertujuan mengukuhkan kedudukan kewangan kerajaan serta mewujudkan ruang fiskal dan fleksibiliti bagi melaksanakan langkah ‘counter-cyclical’ (kitaran balas) untuk terus menyokong ekonomi dan mengukuhkan daya tahan negara bagi berdepan dengan cabaran masa hadapan,” katanya di sini, pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis konsultasi Bajet 2023 di Kementerian Kewangan.

Dalam melangkah ke hadapan, kerajaan terus komited untuk memastikan kesejahteraan rakyat termasuk melindungi isi rumah daripada impak penuh kenaikan harga komoditi dan makanan global, katanya.

Beliau berkata susulan langkah kerajaan untuk meneruskan dan menambah baik subsidi, perbelanjaan untuk bantuan dan subsidi dianggarkan meningkat kepada RM77.7 bilion berbanding dengan peruntukan Bajet 2022 sebanyak RM31 bilion.

Mohd Shahar berkata tanpa subsidi yang disediakan untuk barangan asas, inflasi dianggarkan akan mencapai 11.4 peratus.

Tahap inflasi di Malaysia kekal terkawal susulan pelaksanaan langkah kawalan harga dan pemberian subsidi oleh kerajaan, katanya.

“Tahap inflasi negara bagi tempoh enam bulan pertama 2022 mencatatkan kadar 2.5 peratus dan kadar inflasi ini jauh lebih rendah daripada inflasi di negara lain terutama dalam kalangan negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom yang mencecah sembilan peratus, sementara di negara-negara serantau seperti Thailand, Filipina dan Singapura mencecah lebih enam peratus,” katanya.

Mohd Shahar berkata bagi memastikan momentum pertumbuhan ekonomi negara berterusan, fokus kerajaan dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada Oktober 2022 tertumpu kepada inisiatif pembaharuan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Usaha itu akan dilakukan terutama melalui peningkatan pendapatan dan perlindungan sosial, daya saing perniagaan dan rantaian nilai berkaitan serta memperkukuh daya tahan negara terhadap kejutan masa hadapan, katanya.

Beliau berkata Bajet 2023 dirangka berdasarkan lima aspek utama iaitu memperkukuh momentum pemulihan ekonomi dari segi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Dasar (KDNK), aspek pekerjaan dan pendapatan rakyat serta kelangsungan perniagaan.

Aspek utama lain meliputi usaha meningkatkan daya saing negara dalam normal baharu pasca-Covid-19 dengan memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti melalui penerapan teknologi, automasi dan pendigitalan serta menggalakkan inovasi baharu untuk pertumbuhan ekonomi secara lestari; dan memperkukuh daya tahan ekonomi, kedudukan fiskal yang mampan serta pemberian subsidi dan bantuan secara lebih bersasar.

Selain itu, melindungi kesejahteraan rakyat melalui program perlindungan sosial yang memberi tumpuan berterusan kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan, pendidikan yang berkualiti, keselamatan awam dan persekitaran hidup yang lebih selesa juga merupakan aspek yang ditekankan.

Aspek kelima menggalakkan pembangunan yang inklusif dan mampan selaras dengan sasaran yang digariskan dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Beliau berkata sebanyak 242 organisasi termasuk persatuan, dewan perniagaan, akademia dan badan bukan kerajaan telah mengemukakan 1,935 memorandum yang merangkumi empat komponen utama (rakyat, perniagaan, ekonomi dan kerajaan) bagi penyediaan Bajet 2023 yang bertemakan ‘Memperkukuh Pemulihan dan Memudah Cara Pembaharuan ke arah Kemampanan Daya Tahan Ekonomi dan Kesejahteraan Keluarga Malaysia’.

Berita berkaitan
MOF tak benarkan pengeluaran KWSP bersasar kerana jejas simpanan persaraan
November 24, 2023· Isu semasa
Subsidi ditamatkan, jangan risau harga ayam tidak akan naik
November 1, 2023· Isu semasa
Langkah pengapungan akan jadikan harga ayam lebih murah: Menteri
October 31, 2023· Isu semasa
Tiada KWSP bersasar, Wan Saiful bidas kerajaan angkuh tak dengar rintihan rakyat
October 24, 2023· Isu semasa
Popular
10 peraturan kekal terpakai dalam fasa endemik mulai 1 April
March 9, 2022
Terdapat syarikat tandatangan MoU di China tiada rekod prestasi: Johari
May 22, 2023
RUU rokok: Bung nak buka rahsia KJ
June 7, 2023
Dua anggota tentera maut dihempap pokok ketika operasi di Gerik
July 11, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Setahun lebih Anwar jadi PM, kebebasan media jatuh ke tempat 107
May 3, 2024 · Isu semasa
Langkah Zafrul cuba perbetulkan fakta afidavit Zahid gagal, mahkamah tolak
May 2, 2024 · Isu semasa
Kes stoking: Pengarah KK Mart dan isteri kemuka representasi kepada AGS
April 29, 2024 · Isu semasa
Chegu Bard berdepan dua tuduhan Akta Hasutan berhubung isu KK Mart
April 29, 2024 · Isu semasa
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok