Skandal LCS: Pengarah operasi ‘VIP’ dalam senarai pertuduhan SPRM

August 15, 2022 · Isu semasa

Seorang pengarah operasi telah dicadangkan untuk didakwa di mahkamah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai individu yang berkepentingan dalam skandal kapal tempur pesisir pantai (LCS), lapor Utusan hari ini,

Akhbar berkenaan memetik sumber SPRM sebagai berkata pengarah operasi terbabit dianggap sebagai orang yang “sangat penting” dalam perolehan LCS di mana tidak satu pun daripada enam kapal telah disiapkan walaupun tempoh masa 10 tahun.

Menurut sumber SPRM, keputusan untuk mendakwa orang berkepentingan itu dibuat selepas penyiasat projek LCS menemu bual 35 saksi.

“Kesemua yang dipanggil SPRM dipercayai membabitkan individu dari Kementerian Pertahanan dan syarikat korporat yang ditawarkan projek LCS.

“Keterangan juga diambil melibatkan syarikat swasta di dalam dan luar negara,” kata sumber itu.

Menurut sumber, SPRM ha­nya menyiasat, melengkapkan siasatan, seterusnya mengesyor­kan pertuduhan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Selepas itu, AGC akan memutuskan sama ada kes boleh dibuat pertuduhan atau tidak tertakluk kepada hasil siasatan dikemukakan dan paling akhir penilaian dibuat AGC,” kata sumber itu.

Minggu lalu, SPRM dalam satu kenyataan mengesahkan kertas siasatan mengenai projek perolehan kapal tempur itu te­lah dikemukakan kepada AGC.

Kertas siasatan projek LCS itu termasuk dengan saranan untuk mempertimbangkan pertuduhan terhadap beberapa individu.

Mengulas lanjut, sumber memberitahu, mengikut prosedur SPRM selepas menye­rahkan laporan siasatan kepada AGC, agensi itu kini menunggu arahan lanjut daripada agensi itu mengenai status kertas siasatan tersebut.

Sebelum ini, kerajaan menggesa SPRM dan AGC segera bertindak berhubung pendedahan kepincangan projek LCS.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu diputuskan selepas ia dibincangkan secara terpe­rinci dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan siasatan projek perolehan berkenaan telah lama dijalankan pihaknya.

Skandal terbaharu yang menggegarkan negara setelah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sekali gus menumbangkan Barisan Nasional (BN), khususnya UMNO, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), meletus susulan pendedahan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 4 Ogos lalu.

Dalam pendedahan itu PAC berkata kerajaan BN/UMNO telah memberikan lebih RM6 bilion wang rakyat kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) untuk projek pembinaan enam kapal LCS, yang keseluruhannya bernilai lebih RM9 bilion.

Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata BNS telah membelanjakan semua RM6 bilion yang diberikan kerajaan untuk pembinaan enam kapal LCS itu.

Untuk rekod, kontrak pembekalan enam kapal LCS itu diberikan ketika Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Menteri Pertahanan sebelum digantikan Hishammuddin.

Ia bermula dengan pemberian surat anugerah pada 2011 disusuli penyerahan kontrak kepada BNS pada 2014 untuk membina enam kapal LCS.

Semua kapal itu sepatutnya diserahkan tahun ini, tetapi sehingga kini bukan sahaja tidak diserahkan sebaliknya sebuah LCS pun belum lagi siap sedangkan RM6 bilion telah diberikan oleh kerajaan semata-mata untuk BNS melaksanakan projek itu.

Seperti 1MDB, projek kapal LCS ini turut berlaku ketika BN dan UMNO memerintah negara.

Berita berkaitan
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024· Isu semasa
Isteri Tun Daim cabar kesahihan pertuduhan SPRM di Mahkamah Tinggi
March 5, 2024· Isu semasa
Jangan jadi ‘orang suruhan’ untuk kepentingan pihak tertentu, kata MB Kedah
January 8, 2024· Berita
1MDB: SPRM tak teruskan permohonan dapatkan dokumen dari peguam
December 5, 2023· Isu semasa
Popular
Kos sara hidup tinggi: Pelajar IPT terpaksa tangguh pengajian
September 30, 2022
Empat negeri miskin tegar, 4 negeri ‘orang kaya’
December 1, 2021
Hubungi 997 jika kena scam
October 14, 2022
Kasut selesa elak sakit kaki
January 24, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Setahun lebih Anwar jadi PM, kebebasan media jatuh ke tempat 107
May 3, 2024 · Isu semasa
Langkah Zafrul cuba perbetulkan fakta afidavit Zahid gagal, mahkamah tolak
May 2, 2024 · Isu semasa
Kes stoking: Pengarah KK Mart dan isteri kemuka representasi kepada AGS
April 29, 2024 · Isu semasa
Chegu Bard berdepan dua tuduhan Akta Hasutan berhubung isu KK Mart
April 29, 2024 · Isu semasa
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok