SRC: Catur terakhir ‘Bossku’ bermula hari ini di Mahkamah Persekutuan

August 15, 2022 · Isu semasa

Selepas empat tahun turun naik mahkamah, bekas Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Razak dan peguam baharunya akan menghadapi cabaran terbesar mereka apabila kes SRC International Sdn Bhd (SRC) memasuki fasa terakhir hari ini (Isnin, 15 Ogos 2022).

Tidak akan ada lagi rayuan buat Najib selepas ini dan tiada lagi penangguhan.

Langkah terakhir Najib merayu sabitan dan hukumannya selepas dia didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020, bermula di Mahkamah Persekutuan hari ini selama 10 hari sehingga 26 Ogos.

Selama tempoh itu mampukah ‘bidak’, ‘benteng’, ‘kuda’, dan ‘menteri’ menghalang daripada ‘raja’ ditumbangkan akan ditentukan Mahkamah Persekutuan selepas 26 Ogos, hari terakhir prosiding rayuan itu?

Sebelum ini, pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas Najib didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram RM42 juta dana milik SRC.

Selepas sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dikekalkan di Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021, rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan akan didengar dari 15 hingga 19 Ogos dan kemudian dari 23 hingga 26 Ogos.

Najib mungkin mencari strategi pertahanan baharu, tatkala muncul pula skandal enam kapal tempur Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bernilai RM9 bilion meletus 4 Ogos lalu, dengan RM6 bilion wang negara telah dibayar tetapi tiada sebuah pun kapal tempur pesisir pantai (LCS) yang diterima.

Dia telah cuba mendapatkan Peguam Diraja (QC) Britain Jonathan Laidlaw untuk mewakilinya dalam rayuan terakhir ini, tetapi ia telah ditolak pada Julai lalu.

Dia kemudiannya melantik firma guaman baharu, Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST), untuk mewakilinya selepas melepaskan Tetuan Shafee & Co.

Rakan kongsi firma dan peguam Datuk Zaid Ibrahim berkata firma guamannya bersetuju mengambil kes itu kerana Najib mempunyai rungutan yang sah berhubung sabitannya, khususnya mengenai perkara berkaitan kedaulatan undang-undang dan undang-undang yang berkaitan dengan berat sebelah dan konflik kepentingan.

“Kami hanya tertumpu kepada prinsip perlembagaan, kedaulatan undang-undang, prinsip keadilan semula jadi dan isu undang-undang dan fakta khusus dalam permohonan perbicaraan semula dan rayuan yang sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pendekatan sebelum ini, yang menyaksikan beberapa perbalahan terhadap hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini hakim Mahkamah Rayuan), nampaknya telah diketepikan, dengan Najib menarik balik dakwaan rasuahnya terhadap hakim itu.

Walaupun sebelum ini diancam oleh peguam baharu untuk menarik diri jika penangguhan tidak diberikan oleh Mahkamah Persekutuan, kedua-dua pihak dijangka memberikan yang terbaik dalam hujah mereka tentang mengapa Najib patut atau tidak patut dibebaskan atau jika beliau perlu mendapatkan perbicaraan semula.

Najib telah memfailkan 94 alasan mengapa Mahkamah Rayuan telah tersilap dalam keputusannya untuk mengekalkan sabitan dan hukuman Mahkamah Tinggi.

Dipercayai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat sendiri akan mengetuai panel hakim Mahkamah Persekutuan kerana beliau sebelum ini mengetuai rayuan lima orang dalam permohonan interlokutori (permohonan sebelum perbicaraan) dalam rayuan itu.

Difahamkan, ketika pengurusan kes pada 10 Ogos, perintah pertama yang ditetapkan pada hari ini ialah permohonan Najib untuk meminda usul yang difailkannya untuk mengemukakan bukti baharu dalam kes itu.

Ini akan diikuti dengan pendengaran usul itu sendiri.

Jika usul itu ditolak, mahkamah akan meneruskan rayuan utama yang sepatutnya,” kata sumber memetik laporan The Star.

Selepas kesimpulan hujah untuk usul bagi mendapatkan bukti baharu, pasukan Najib akan sekali lagi membuat permohonan lisan di hadapan mahkamah untuk menangguhkan rayuan utama.

Permohonan mereka melalui surat kepada mahkamah untuk menangguhkan rayuan utama telah ditolak bulan lalu.

Bagaimanapun, jika ia ditolak lagi, mereka tidak mempunyai pilihan selain meneruskan rayuan utama.

Kes berkaitan Najib menarik perhatian kerana dia menjadi PM keenam dari 2009 hingga 2018, dan ketua negara pertama Malaysia diheret ke mahkamah atas tuduhan jenayah.

Perbicaraan kesnya bermula pada 3 April 2019 dengan pendakwaan memanggil 57 saksi sebelum menutup kesnya pada 27 Ogos tahun sama.

Pada 11 November 2019, Najib diarahkan membela diri atas semua pertuduhan selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes ‘prima facie’ terhadapnya.

Pertama kali Najib dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 4 Julai 2018 atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Pada 8 Ogos 2018, Najib sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang sama.

Pada 8 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas Najib.

Apapun keputusan Mahkamah Persekutuan selepas ini, Najib belum lagi terlepas daripada beberapa lagi pertuduhan lain, termasuk kes membabitkan 1MDB, cukai dan laporan audit.

Berita berkaitan
Langkah Zafrul cuba perbetulkan fakta afidavit Zahid gagal, mahkamah tolak
May 2, 2024· Isu semasa
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024· Isu semasa
Terdapat ‘kesilapan fakta’ dalam afidavit Zahid, kata Tengku Zafrul
April 18, 2024· Politik
Perbicaraan 1MDB: Saksi beritahu perbincangan atas kapal tiada wakil pegawai kerajaan
January 5, 2024· Isu semasa
Popular
Setahun lebih Anwar jadi PM, kebebasan media jatuh ke tempat 107
May 3, 2024
Jalan tertinggi di Malaysia dibuka
January 14, 2022
Kos sara hidup tinggi: Pelajar IPT terpaksa tangguh pengajian
September 30, 2022
Chegu Bard berdepan dua tuduhan Akta Hasutan berhubung isu KK Mart
April 29, 2024
Lagi Isu semasa terkini
Setahun lebih Anwar jadi PM, kebebasan media jatuh ke tempat 107
May 3, 2024 · Isu semasa
Kes stoking: Pengarah KK Mart dan isteri kemuka representasi kepada AGS
April 29, 2024 · Isu semasa
Chegu Bard berdepan dua tuduhan Akta Hasutan berhubung isu KK Mart
April 29, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok