Ahli Parlimen keluar parti perlu kosongkan kerusi disandang kecuali dipecat

July 27, 2022 · Isu semasa

Kerusi yang disandang Ahli Parlimen (MP) keluar parti perlu dikosongkan bagi memberi laluan pilihan raya diadakan semula di kawasan tersebut.

Bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada MP yang dipecat tidak akan kehilangan kerusi yang disandang dan tiada pilihan raya semula perlu diadakan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti hari ini di Dewan Rakyat.

Dalam pembentangan RUU tersebut hari ini, terdapat lapan lapan parameter utama yang digariskan bagi menghalang mana-mana MP bertukar parti sewenang-wenangnya tanpa batasan.

Perdana Menteri berkata, MP yang meninggalkan parti politiknya selepas menang pilihan raya untuk menjadi wakil rakyat Bebas juga perlu mengosongkan kerusi disandang.

Jelasnya, RUU itu memperincikan keanggotaan MP merujuk kepada keahlian mereka dalam sesebuah parti politik, dan bukan keanggotaan parti itu dalam mana-mana gabungan.

Bagaimanapun, katanya, RUU itu turut memperuntukkan beberapa pengecualian kepada wakil rakyat yang bertukar parti, antaranya MP dipecat daripada partinya tidak perlu mengosongkan kerusi Parlimen disandang.

“Ahli Dewan Rakyat yang keluar daripada parti politik dalam satu parti gabungan dan menyertai parti politik yang lain dalam parti gabungan yang sama atau berbeza, adalah terhenti menjadi Ahli Dewan Rakyat.

“Mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang bertukar parti atau meninggalkan parti politik yang beliau menjadi calon semasa pilihan raya, untuk menjadi Ahli Dewan Rakyat Bebas, akan terhenti menjadi Ahli Dewan Rakyat dan perlu mengosongkan kerusi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri memaklumkan, RUU memperincikan keanggotaan seorang Ahli Dewan Rakyat merujuk kepada keahlian dalam parti politik sahaja, dan tidak membabitkan keanggotaan partinya dalam mana-mana gabungan.

Ia bermakna, sekiranya sesebuah parti politik keluar daripada gabungannya seperti yang berlaku pada 2020 apabila BERSATU memutuskan untuk keluar daripada Pakatan Harapan (PH), parti itu tidak kehilangan kerusi.

Menurut Perdana Menteri, keanggotaan Ahli Dewan Rakyat dalam parti gabungan tidak diambil kira kerana persoalan dasar yang menjadi asas kepada penggubalan RUU itu adalah membabitkan keahlian mereka dalam parti politik.

“Penggunaan simbol parti politik atau simbol parti gabungan tidak akan diambil kira dalam RUU berkaitan dengan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti,” katanya.

Berhubung pengecualian dalam RUU itu, katanya, selain pemecatan Ahli Dewan Rakyat daripada parti, RUU berkenaan turut mengecualikan kewajipan mengosongkan kerusi kepada Ahli Dewan Rakyat, jika parti politik mereka terbubar atau pendaftaran parti politik itu dibatalkan.

Selain itu, katanya, pengecualian itu turut diberikan kepada mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang dipilih menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Pada masa sama, katanya, RUU itu turut menyediakan peruntukan sama untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dengan memasukkan seksyen baharu 7A ke dalam Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan.

Namun, seperti dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum ini, penguatkuasaan seksyen 7A itu tertakluk kepada persetujuan Sultan dan Yang di-Pertua negeri serta kelulusan di peringkat DUN.

Terdahulu, Ismail Sabri mula membentangkan RUU itu di Dewan Rakyat sekitar jam 11.40 pagi, untuk ia mula dibahaskan selama dua hari bermula hari ini.

Selepas perbahasan dan penggulungan, undian belah bahagian perlu dilaksanakan untuk membolehkan RUU itu diluluskan di Dewan Rakyat.

Perkara 159 Perlembagaan memperuntukkan sesuatu RUU bagi meminda Perlembagaan, selain yang dikecualikan daripada peruntukan itu, hanya boleh diluluskan di Parlimen dengan sokongan tidak kurang dua pertiga pada bacaan kali kedua dan ketiga.

Berita berkaitan
Pegawai Kor Ming diletak calon DAP pada PRK Kuala Kubu Bharu
April 24, 2024· Politik
Tengku Zafrul hanya hadir sekali ke mesyuarat UMNO Selangor, kata Megat
April 22, 2024· Politik
Kerajaan boleh dianggap derhaka jika ingkar adendum, kata Annuar Musa
April 22, 2024· Politik
UMNO kekal pendirian beri laluan kepada calon DAP, kata Mat Hasan
April 22, 2024· Politik
Popular
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024
Majlis Hari Raya dengan tarian separuh bogel, polis tahan instafamous
May 30, 2022
Akaun FB rasmi Mat Sabu digodam : Pejabat menteri
June 13, 2023
Pfizer: Kaedah untuk remaja 12 tahun ke atas diputuskan minggu ini
June 21, 2021
Lagi Isu semasa terkini
Langkah Zafrul cuba perbetulkan fakta afidavit Zahid gagal, mahkamah tolak
21 jam lalu · Isu semasa
Kes stoking: Pengarah KK Mart dan isteri kemuka representasi kepada AGS
April 29, 2024 · Isu semasa
Chegu Bard berdepan dua tuduhan Akta Hasutan berhubung isu KK Mart
April 29, 2024 · Isu semasa
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok