Berkongsi kesyukuran dengan mereka yang tidak bernasib baik: Muhyiddin

July 10, 2022 · Isu semasa

Bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa rakyat agar menghayati erti pengorbanan sebenar dan berkongsi nikmat kesyukuran dengan mereka yang tidak bernasib baik.

Mantan Perdana Menteri kelapan dan juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) dalam perutusan sempena sambutan Aidiladha berkata ibadah korban membawa pengertian sangat besar kepada umat Islam dan kisah Nabi Ibrahim AS dengan anaknya Nabi Ismail AS wajar dijadikan pedoman.

“Selepas solat sunat Aidiladha nanti, kita akan melaksanakan ibadah korban yang membawa pengertian sangat besar kepada umat Islam sebagaimana diceritakan dalam Al-Quran dan hadis.

“Kisah kesediaan Nabi Ismail AS untuk dikorbankan oleh ayahnya Nabi Ibrahim AS bagi menuruti perintah Allah adalah satu pengorbanan besar yang menjadi pedoman kepada seluruh umat Islam dalam menjalani kehidupan seharian,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Muhyiddin juga mengimbau kembali pengorbanan sama yang perlu dihadapi rakyat semasa penularan Covid-19 melanda negara apabila sekatan dan peraturan dikenakan bagi menjaga nyawa orang ramai
daripada virus membunuh tersebut.

“Dalam konteks semasa, ketika negara berhadapan dengan peningkatan kes baharu Covid-19 akhir-akhir ini, setiap daripada kita perlu berkorban dengan kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sama ada ketika berada di masjid, surau, ketika melakukan ibadah korban atau menghadiri rumah terbuka,” katanya.

Selepas pelbagai dugaan dan cabaran dihadapi, kini negara kembali dalam fasa pemulihan dan Muhyiddin berkata setiap rakyat mempunyai peranan dan tanggungjawab untuk bersama-sama membantu golongan yang berada kesusahan selepas mengharungi keadaan yang mencabar semasa penularan Covid-19.

“Dalam fasa pemulihan negara pula, setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab untuk saling membantu mereka yang berada dalam kesusahan terutama kumpulan yang terjejas teruk.

“Ibadah korban adalah tanda kita bersyukur atas rezeki yang Allah berikan dan sebagai bukti, kita perlu berkorban dan berkongsi kesyukuran itu dengan mereka yang tidak bernasib baik dan memerlukan,” katanya.

Menurutnya, tidak ada yang mustahil dapat dilakukan sekiranya rakyat saling tolong menolong antara satu sama lain, khususnya membantu mereka yang dalam kesempitan hidup.

“Kita pernah melakukan pengorbanan ini ketika negara teruk dilanda pandemik dua tahun lalu yang mana setiap rakyat saling berganding bahu, bantu membantu mereka yang dalam kesukaran dan kesempitan dan insya-Allah kita boleh melakukannya sekali lagi,” ujarnya lagi.

Muhyiddin juga mendoakan agar ibadah korban yang dijalankan mendapat keberkatan daripada Allah dan berharap para jemaah mendapat haji mabrur nanti.

“Saya berdoa agar ibadah korban yang kita lakukan diterima Allah SWT dan kita sentiasa berada dalam rahmat-Nya.

“Saya juga mendoakan semua jemaah yang sedang menunaikan haji di Tanah Suci dipermudahkan ibadah mereka, diberi kesihatan dan memperoleh haji yang mabrur,” katanya.

Berita berkaitan
Ideologi yang berbeza,hala tuju yang tidak jelas Kerajaan Perpaduan
January 1, 2024· Rencana
Kes baharu Covid-19 seluruh negara catat peningkatan
December 17, 2023· Isu semasa
Kit Siang bangkitkan isu PM bukan Melayu, tapi Puad pula bidas PN
December 17, 2023· Politik
PM bukan Melayu, UMNO akan terpaksa ikut tuntutan DAP: Muhyiddin
December 16, 2023· Politik
Popular
Kesan hapus subsidi, Bank Dunia jangka inflasi Malaysia naik 2.5 peratus
April 1, 2024
Helikopter terhempas di Bidor, juruterbang terbunuh: Polis
September 12, 2022
Kenapa generasi muda semakin hilang adab?
February 14, 2023
Kembalikan deria bau
November 9, 2021
Lagi Isu semasa terkini
Kes stoking: Pengarah KK Mart dan isteri kemuka representasi kepada AGS
April 29, 2024 · Isu semasa
Chegu Bard berdepan dua tuduhan Akta Hasutan berhubung isu KK Mart
April 29, 2024 · Isu semasa
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok