Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mendakwa bahawa RM6 juta yang diterimanya daripada dua individu yang dikaitkan dengan pembekalan cip untuk pasport Malaysia, tidak lebih daripada derma politik bertujuan untuk kebajikan.
Beliau berkata mereka yang memberi wang itu sebelum ini mengakui bahawa sumbangan politik juga merupakan mekanisme “amal jariah” (sedekah).
“Ia sama sekali bukan suapan atau wang rasuah yang diberikan supaya saya melantik syarikat mereka untuk kontrak cip pasport.
“Pertuduhan terhadap saya adalah fitnah… fitnah…,” kata bekas timbalan perdana menteri dan menteri dalam negeri itu dengan suara lantang ketika memberi keterangan membela diri di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Zahid, 69, berkata demikian ketika mempertahankan diri terhadap dua pertuduhan masing-masing menerima RM5 juta dan RM1 juta untuk melantik Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB) bagi pembekalan 12.5 juta cip pasport Malaysia.
Zahid, yang menjadi menteri dalam negeri dari Julai 2015 hingga Mei 2018, dituduh menerima RM6 juta melalui cek yang dimasukkan ke dalam akaun pelanggan firma guaman Lewis & Co daripada timbalan pengarah urusan DTSB Chew Ben Ben.
Bagaimanapun, beliau berhujah tuduhan bahawa dia menerima rasuah daripada syarikat itu tidak lebih daripada fitnah terhadapnya dan juga DTSB, yang akhirnya dianugerahkan kontrak lima tahun untuk membekalkan cip itu pada 2015.
Beliau berkata ini kerana keputusan muktamad untuk menganugerahkan kontrak kepada DTSB dibuat oleh Kementerian Kewangan melalui rundingan terus.
Terdahulu, Zahid mengakui bahawa dua cek yang dimasukkan ke dalam akaun pelanggan Lewis & Co dikeluarkan oleh Syarikat Sarana KencanaSdn Bhd, milik Tan Sri Mohamed Hashim Mohamed Ali dan Datuk Abu Hanifah Noordin.
Bagaimanapun, beliau berkata Hanifah – yang juga pengarah urusan Kumpulan DTSB, sebelum ini memberi keterangan bahawa wang itu bukan bayaran, rasuah atau suapan untuk syarikat itu memenangi kontrak cip pasport.
“Saksi ini sendiri mengatakan wang itu adalah derma politik.
“Beliau memberi keterangan bahawa dia percaya derma politik juga sebahagian daripada kebajikan… Hanifah dan Chew telah memberi keterangan bahawa wang itu tiada kaitan dengan kontrak,” katanya sambil merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan DTSB pada 2018 menafikan syarikat atau pengarahnya telah membuat sebarang pembayaran kepada Zahid berhubung pembekalan 12.5 juta cip untuk pasport Malaysia.
Zahid berkata semua prosedur telah dipatuhi sebelum kontrak diberikan kepada DTSB.
“Peranan saya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu hanya memberi bantuan dan memberi maklum balas yang sewajarnya kepada Kementerian Kewangan, Jabatan Imigresen dan bahagian perolehan KDN,” katanya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah diteruskan.