Pengurusan kes rayuan kerani kemalangan basikal lajak 28 Jun

May 11, 2022 · Isu semasa

Mahkamah Rayuan menetapkan 28 Jun bagi pengurusan kes selanjutnya dalam rayuan Sam Ke Ting terhadap sabitan dan hukuman penjaranya kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja menaiki basikal yang diubah suai dikenali sebagai basikal lajak.

Tarikh itu ditetapkan selepas pengurusan kes diadakan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Haron hari ini, menurut laporan Bernama.

Peguam Harvinderjit Singh dan Faizal Mokhtar yang mewakili Sam menghadiri prosiding pengurusan kes itu manakala Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee hadir bagi pihak pendakwaan.

Ketika dihubungi, Harvinderjit Singh berkata timbalan pendaftar menetapkan 28 Jun bagi pengurusan kes selanjutnya untuk mendapatkan rekod rayuan dan bagi membolehkan rekod rayuan itu diserahkan kepada pihak-pihak dalam kes itu.

Beliau berkata dia juga memaklumkan kepada Mohd Khairi bahawa bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram telah dilantik sebagai peguam utama dan beliau (Harvinderjit) sebagai peguam bersama untuk mewakili Sam dalam rayuannya.

Harvinderjit Singh berkata pihak pendakwaan juga mengesahkan mereka telah menerima notis rayuan yang difailkan Sam.

Beliau berkata pihak pembelaan memaklumkan kepada timbalan pendaftar mereka mahukan rekod rayuan, nota prosiding dan hujahan untuk rayuan terdahulu pada 2019 oleh pihak pendakwaan dimasukkan ke dalam rayuan di hadapan Mahkamah Rayuan.

“Ini kerana isu kes prima facie juga akan ditentukan oleh Mahkamah Rayuan.

“Mahkamah memerintahkan supaya surat ditulis kepada Mahkamah TInggi Johor Baharu untuk memohon perkara yang sama,” katanya.

Pada 28 Okt 2019, Mahkamah Majistret Johor Bahru membebaskan Sam tanpa mengarahkannya membela diri atas pertuduhan memandu secara melulu dan menyebabkan kematian lapan remaja di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, Johor pada 3.20 pagi pada 18 Feb 2017.

Lapan remaja yang terbunuh dalam insiden itu ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.

Pada 2019, Hakim Mahkamah Tinggi Shahnaz Sulaiman membenarkan rayuan pendakwaan dan memerintahkan Sam untuk membela diri atas tuduhan memandu secara melulu.

Majistret Siti Hajar Ali, yang mendengar kes itu pada 2019, sekali lagi melepas dan membebaskan Sam di akhir kes pembelaan menyebabkan pihak pendakwaan memfailkan rayuan kedua di Mahkamah Tinggi.

Pada 13 April lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abu Bakar Katar membenarkan rayuan pendakwaan dan mensabitkan Sam atas pertuduhan memandu secara melulu dan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000.

Sam mendapat kebenaran untuk merayu daripada Mahkamah Rayuan pada 18 April lepas terhadap sabitan dan hukuman penjaranya. Mahkamah Rayuan juga membenarkan permohonan Sam untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan bebas dengan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu pendengaran rayuannya.

Berita berkaitan
Kes stoking: Pengarah KK Mart dan isteri kemuka representasi kepada AGS
April 29, 2024· Isu semasa
Chegu Bard berdepan dua tuduhan Akta Hasutan berhubung isu KK Mart
April 29, 2024· Isu semasa
Kes saman fitnah Zahid terhadap Muhyiddin selesai secara baik
April 26, 2024· Politik
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024· Isu semasa
Popular
Kenapa generasi muda semakin hilang adab?
February 14, 2023
Minyak botol vs minyak peket
July 20, 2022
Kesan hapus subsidi, Bank Dunia jangka inflasi Malaysia naik 2.5 peratus
April 1, 2024
Kembalikan deria bau
November 9, 2021
Lagi Isu semasa terkini
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Kesan hapus subsidi, Bank Dunia jangka inflasi Malaysia naik 2.5 peratus
April 1, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok