Polis menahan seorang lelaki warga Myanmar yang sengaja melompat ke atas cermin hadapan sebuah kereta yang sedang bergerak untuk memperlihatkan seolah-olah dia dilanggar, di Klang.
Bagaimanapun lelaki terbabit tidak menyedari perbuatannya dirakam kamera papan pemuka kereta itu, yang sekali gus mendedahkan perbuatannya adalah disengajakan.
Rakaman video berkenaan tular di media sosial sejak beberapa hari lalu dengan orang ramai dinasihat berhati-hati ketika melalui Jalan Goh Hock Huat di Klang.
Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner S Vijaya Rao mengesahkan lelaki terbabit ditahan di tempat kerjanya di Jalan Shahpadu di Rantau Panjang, Klang sekitar jam 10 pagi tadi.
“Lelaki berkenaan akan ditahan reman untuk siasatan lanjut dan polis percaya dia bergerak sendiri dan bukannya membabitkan kegiatan sindiket.
“Kes akan diklasifikasikan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki yang juga pemandu kereta yang terbabit insiden itu kira-kira jam 12 tengah hari pada 7 April lalu.
Katanya, kejadian berlaku apabila pemandu kereta membelok ke kiri dan secara tiba-tiba seorang pejalan kaki melintas di jalan berkenaan.
“Difahamkan, lelaki berkenaan berada di tengah jalan secara tiba-tiba dan terus berlari, seterusnya melompat ke arah cermin hadapan kereta.
“Bagaimanapun, lelaki berkenaan terus beredar dari lokasi selepas pemandu memaklumkan keretanya mempunyai kamera papan pemuka dan kejadian itu dirakam,” katanya.