Sebanyak empat pos kawalan di tebing Sungai Golok dekat Rantau Panjang, di sini, melibatkan 27 anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) terpaksa dipindahkan selepas dinaiki air, semalam.
Komander PGA Briged Tenggara Senior Asisten Komisioner Hasan Basri Ahmad Safar berkata empat pos terbabit adalah Pos Ibrahim Pencen, Pos Haiwan, Pos Sharifah dan Pos Terusan yang kesemua pegawai dan anggota terbabit ketika ini ditempatkan sementara di Komtak PGA Taman Bakti, di sini.
“Empat pos kawalan ini dinaiki air sedalam antara 0.4 hingga 0.5 meter dan kesemua anggota terpaksa dipindahkan berikutan arus di situ agak deras yang boleh mendatangkan bahaya kepada mereka.
“Walaupun terdapat pos kawalan terjejas akibat dinaiki air, penugasan anggota tetap berjalan seperti biasa,” katanya seperti dilapor Bernama, hari ini.
Mengulas lanjut, Hasan Basri berkata PGA akan sentiasa berkolaborasi dengan agensi penguat kuasa lain bagi membanteras sebarang kegiatan jenayah rentas sempadan khususnya pada musim banjir ini.
“Op Wawasan akan berjalan seperti biasa dan anggota akan menggunakan kenderaan pacuan empat roda bagi menjalankan rondaan di kawasan dinaiki air,” katanya yang menambah terdapat sebanyak 17 pos kawalan milik PGA ketika ini sepanjang sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan.
Sementara itu, di Terengganu, dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Kampung Lubuk Periuk dan Kampung Peneh di sini turut dilanda banjir awal pagi ini sehingga menyebabkan penduduk yang berlindung di tempat yang sepatutnya ‘selamat’ itu cemas dan kebimbangan.
Arus banjir yang terlalu deras menyebabkan penduduk menjadi kelam-kabut dan segera menyelamatkan harta benda serta keluarga mereka ke kawasan lebih tinggi di kampung tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Lubuk Periuk, Abdul Rasek Ali berkata PPS di kampung itu yang menempatkan 315 mangsa pada awalnya telah ditutup pada 1 tengah hari semalam dan penduduk dibenarkan pulang ke rumah masing-masing setelah banjir surut sepenuhnya.
“Namun, air naik lagi pada tengah malam menyebabkan lapan penduduk (empat keluarga) yang rumah mereka terletak di kawasan lebih rendah bergegas semula untuk berlindung ke PPS itu malangnya, PPS turut dinaiki air pada 6.30 pagi tadi.
“Ada penduduk tak sempat pergi ke PPS dan jumlah penduduk yang terlibat kali ini masih belum dapat dipastikan kerana banyak rumah yang dinaiki air pagi ini dan kami masih membantu pasukan penyelamat dalam operasi memindahkan penduduk ke kawasan yang lebih tinggi,” katanya.
Kampung Lubuk Periuk dan Kampung Peneh adalah antara lokasi yang sering terjejas banjir di daerah Hulu Terengganu setiap kali hujan lebat berterusan dalam tempoh yang lama.
Sementara itu, penduduk Kampung Peneh, Rosliza Abdul Ghani, 41, ketika dihubungi Bernama berkata air naik terlalu cepat susulan hujan lebat berterusan sejak malam tadi.
“Memang suasana sangat kelam-kabut, tapi penduduk saling membantu menyelamatkan mangsa banjir yang terperangkap di rumah mereka terutama warga emas dan kanak-kanak untuk berlindung di Masjid Kampung Peneh.
“Walaupun pekarangan masjid telah dinaiki air, bahagian dalam masjid masih selamat untuk berlindung buat sementara waktu dan ketika ini, kesemua 60 rumah di Kampung Peneh telah dinaiki air,” katanya.